PENURUNAN taburan hujan di Malaysia dijangka berkurang antara 20 hingga 60 peratus mulai bulan hadapan berikutan fenomena El Nino yang kini mulai melanda negara.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail berkata, fenomena El Nino semasa dikategorikan sebagai kuat dan suhu negara dijangka meningkat antara 0.5 hingga dua darjah Celsius (°C).
Menurutnya, fenomena itu akan berterusan sehingga April, malah negeri di bahagian utara Semenanjung sudah mula merasai kesannya.
“Kesan El Nino turut dirasai oleh penduduk di semua negeri Semenanjung, Sabah dan beberapa bahagian di Miri serta Limbang di Sarawak pada penghujung bulan ini.
“Berdasarkan rekod, suhu maksimum negara apabila dilanda El Nino pada 1998 mencapai sehingga 40.1 darjah Celsius,” jelasnya kepada Bernama.
Tambahnya, dia tidak menolak kemungkinan situasi yang sama akan berulang pada tahun ini.
“El Nino dijangka mencapai kemuncaknya pada bulan ini dan secara beransur-ansur kurang pada Februari. Keadaan dijangka menjadi neutral selepas Jun tahun ini,” jelasnya.
Fenomena El Nino di Malaysia dicatatkan berlaku sebanyak 12 kali sejak 1951-1952 dan terakhir pada 1997- 1998.
Suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998.
Fenomena El Nino juga memberi kesan terhadap kesihatan manusia apabila cuaca panas berterusan dijangka mengakibatkan penyakit seperti batuk, selesema, demam dan penyakit berkaitan cuaca panas.
El Nino adalah keadaan pemanasan suhu permukaan laut berlaku selama enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik.
Ia boleh menyebabkan rantaian perubahan iklim di seluruh dunia, antaranya hujan lebat di beberapa kawasan dan kemarau yang berpanjangan.
Hidupan marin
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengeluarkan satu kenyataan pada Disember tahun lalu memberi peringatan bahawa fenomena El Nino melanda seluruh dunia. Kesan akan mula dirasai dengan keadaan sederhana di bahagian Pasifik sebelum ia bertambah buruk dan melanda sebahagian besar negara di Asia hingga Pasifik.
Fenomena El Nino dijangka memberi kesan yang kuat di bahagian tengah dan selatan India, tengah dan timur laut Thailand, tengah dan selatan Filipina, utara Kemboja, timur Indonesia, Papua New Guinea dan kebanyakan negara-negara Kepulauan Pasifik.
Dalam pada itu, fenomena El Nino yang sedang melanda negara pada masa ini dijangka memberi impak terhadap hidupan marin dan pembiakan terumbu karang di perairan.
Fenomena yang dijangka akan berterusan sehingga penghujung Mac ini boleh menyebabkan hidupan marin dan terumbu karang mati akibat pemanasan permukaan suhu air laut.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Hasrizal Shaari berkata, pihaknya akan membuat pemantauan mengenai perkara itu sebaik sahaja musim tengkujuh berakhir kerana keadaan laut yang masih bergelora ketika ini.
“Fenomena El Nino juga menyebabkan berlakunya peningkatan suhu permukaan air laut yang ketara sehingga mencecah 30 darjah Celsius dan ia sedikit sebanyak turut menjejaskan ekosistem marin di lautan.
“Terumbu karang ialah indikator kepada persekitaran sihat untuk ekosistem marin di lautan dan usaha memuliharanya perlu terus diperkasakan sebaik fenomena El Nino berakhir,” katanya.
Beliau berkata, hasil kajian yang dijalankan beberapa pihak sebelum ini turut mendapati fenomena itu mempengaruhi jumlah tangkapan ikan di perairan negeri itu.
“Memang terdapat pengurangan daripada segi jumlah pendaratan ikan sepanjang fenomena ini berlaku. Perkara ini secara tidak langsung akan menjejaskan pendapatan nelayan,” jelasnya kepada Bernama.
Sementara itu, berbeza pula di bahagian utara Semenanjung apabila cuaca panas dan terik ekoran fenomena El Nino yang sedang melanda negara ketika ini amat baik bagi proses pertumbuhan dan penghasilan mangga harum manis yang berkualiti.
Pengarah Institut Agroteknologi Lestari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Mahmad Nor Jaafar berkata, cuaca panas dan kering akan melebatkan pertumbuhan putik bunga seterusnya berupaya meningkatkan pengeluaran buah harum manis yang lebih banyak.
“Apabila cuaca terik dan kemarau, pokok akan mengeluarkan bunga yang lebat akibat mengalami proses tekanan dan menganggap dirinya hampir mati, lalu menghasilkan putik bunga yang lebat.
“Lebih banyak putik bunga yang terhasil, maka ia lebih baik untuk potensi pengeluaran buah kerana hanya 10 peratus bunga yang akan menjadi buah,” katanya.
Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_02.htm#ixzz3zulDdCRP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan