|
Kepetahan bercakap dalam dialek Kelantan ketika dihubungi menerusi telefon menyebabkan penulis tidak menyangka dia seorang lelaki Cina.
Owi Boon Teck, 60, atau lebih dikenali sebagai Pok Seik membesar bersama masyarakat Melayu di kampung halamannya.
Walaupun bermata sepet dan berkulit putih, lagaknya tidak ubah seperti orang Melayu. Tutur kata dan cara dia bergaul berbeza daripada orang berketurunan Cina di negeri-negeri lain.
“Ketika bersama kawan-kawan Melayu, tidak ada jurang perbezaan antara kami. Malah, saya berasa mereka seperti keluarga sendiri.
“Kami mempunyai semangat kerjasama yang erat dan sering bergotong-royong terutama semasa kenduri-kendara,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini.
Mengimbau kenangan zaman kecilnya, pesara itu sering menghabiskan masa bersama kawan-kawan untuk mandi-manda di sungai, menangkap ikan dan melastik burung yang merupakan rutin harian pada masa lapang.
Dia mengakui mempunyai ramai kawan Melayu berbanding Cina kerana belajar di sekolah kebangsaan dari sekolah rendah hingga menengah.
Menariknya, makanan harian Boon Teck sekeluarga juga sama seperti orang Melayu Kelantan yang menggemari budu, petai, jering, ikan singgang dan pelbagai jenis kerabu.
“Budu wajib ada setiap kali kami makan kerana tidak lengkap rasanya tanpa menu istimewa itu.
“Saya paling gemar makan ikan singgang bersama nasi, budu dan ulam-ulaman kerana ia sangat menyelerakan,” ujar generasi ketujuh kampung tersebut.
Juadah istimewa
Menurut anak pertama daripada empat adik-beradik itu, juadah istimewa mereka pada malam Tahun Baru Cina berbeza dengan Cina di tempat lain yang cukup sinonim dengan yee sang.
“Kami sekeluarga akan menikmati juadah tradisional masyarakat Cina Peranakan Kelantan iaitu kim cham (bunga kim cham goreng), bok nyi (cendawan hitam goreng) dan bak hong (daging masak kicap) bersama nasi.
“Kuih tradisi pada perayaan itu pula adalah tepung bungkus (tao pao) dan kuih bakul yang akan dihidangkan kepada tetamu,” katanya.
Tepung bungkus dihasilkan daripada tepung beras pulut dengan inti kacang hijau. Ia dimasak dengan cara dikukus selama dua jam.
“Proses membungkus makanan ini agak rumit kerana ia mesti kemas dan berbentuk tiga segi,” terangnya yang suka berkebun pada masa lapang.
Tambah Boon Teck, kuih bakul pula dibuat menggunakan tepung beras pulut dan gula sebelum dikukus selama empat jam.
Bercerita mengenai pakaian ketika Tahun Baru Cina, Boon Teck berkata, mereka memakai pakaian baharu pada hari tersebut. Pada hari-hari biasa, kaum wanita lebih gemar berkain batik atau memakai kebaya.
Sementara itu, Owi Chu Eng, 83, yang masih lagi mengekalkan rumah tradisional masyarakat Cina Peranakan Kelantan berkata, seni bina itu sudah semakin pupus.
“Hanya ada beberapa tempat yang masih mengekalkan seni bina ini di Kelantan. Ia sangat unik kerana menggabungkan elemen Siam dengan atap rumah dibeli khas dari Songkhla, Thailand.
“Rumah yang sudah berusia 65 tahun ini masih lagi kukuh dan menjadi tempat berteduh kami sekeluarga.
“Rumah ini dibina tanpa menggunakan paku dan disambungkan dengan pasak kayu manakala pintu hadapan mempunyai tulisan Cina iaitu ‘lian’ yang bermaksud keamanan serta kebahagiaan,” jelas bapa kepada Boon Teck itu.
Terangnya, pintu rumah sengaja dibuat mengeluarkan bunyi ketika dibuka dan ditutup sebagai langkah keselamatan bagi mengawasi orang asing yang memasuki kediaman itu.
Perkahwinan campur
Jelasnya lagi, rumah juga dibina tinggi bagi memudahkan penghuni menyimpan barang di bawah rumah seperti peralatan pertanian kerana kebanyakan penduduk di kampung itu merupakan petani.
Menurut Chu Eng, kebanyakan orang Cina di Kelantan merupakan hasil perkahwinan campur dengan masyarakat Siam.
Oleh sebab itu, hidup mereka dipengaruhi oleh tiga budaya iaitu Siam, Melayu dan Cina.
Sehubungan itu, kebanyakan kaum Cina di Kelantan terutamanya golongan tua boleh berbahasa Siam.
Dalam pada itu, pengaruh budaya Melayu turut meresap ke dalam diri tok dalang tersohor, Eyo Hock Seng, 61, yang merupakan anak jati Kampung Pasir Parit. Hock Seng menceburi bidang tersebut sejak berumur sembilan tahun lagi.
“Pergaulan dengan kawan-kawan Melayu telah menerbitkan rasa cinta terhadap seni tradisional masyarakat Melayu Kelantan iaitu wayang kulit dan dikir barat.
“Bagi saya, ia sangat unik kerana boleh menyampaikan mesej-mesej yang berguna kepada masyarakat, bukan sebagai penghibur semata-mata,” kata ahli kumpulan wayang kulit dan dikir barat Sri Campuran itu.
Dia yang lebih mesra dipanggil Pak Cu Tok Dalang cukup dikenali dalam arena seni dikir barat dan wayang kulit.
Selain itu, dia sering menerima jemputan untuk membuat persembahan di dalam dan luar negara.
Hock Seng turut mempunyai pelbagai koleksi wayang kulit dan dikir barat di rumahnya yang boleh dianggap sebagai muzium mini.
Malah, terdapat juga barangan tradisional masyarakat Cina Peranakan Kelantan seperti keranda lama yang sudah tidak digunakan sekarang.
“Keranda itu sangat unik kerana ia berbentuk kelopak bunga dan diperbuat daripada kayu cengal, tembusu dan durian.
“Ia boleh tahan sehingga ratusan tahun dan sangat berat sehingga memerlukan lapan hingga sepuluh orang untuk mengangkatnya,” kata anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu.
Berhijrah
Pada perkembangan yang sama, Penghulu Kampung Pasir Parit, Koh Cheng Law, 42, berkata, kebanyakan penduduk di kampung itu bekerja sebagai petani, penoreh getah, membuka bengkel kereta dan motosikal serta berniaga secara kecil-kecilan.
“Kampung ini berkeluasan 250 hektar dan mempunyai kira-kira 1,500 orang penduduk. Ia dikelilingi beberapa perkampungan Melayu seperti Kampung Jintan, Padang Hangus dan Galuk.
“Pada suatu ketika dahulu, penduduk di sini rata-ratanya mengerjakan sawah padi dan kini tanah tersebut kebanyakannya dijadikan kebun getah serta dusun buah-buahan,” katanya.
Menurutnya, ramai golongan muda berhijrah ke bandar bagi mencari pekerjaan sekali gus menyebabkan hanya orang-orang tua dan anak-anak yang masih menuntut di alam persekolahan tinggal di kampung itu.
Ceritanya lagi, pada bulan Jun setiap tahun, kampung itu akan mengadakan bekwoh gedung iaitu kenduri di tokong bagi memperingati hari lahir dewa.
“Kenduri itu akan berlangsung selama tiga hari tiga malam yang menghimpunkan seluruh masyarakat Cina di kampung ini.
“Antara aktiviti yang dilakukan ialah sembahyang, persembahan nyanyian dan jamuan makan untuk orang kampung,” ujarnya.
Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0208&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3zuj5qdWb
Tiada ulasan:
Catat Ulasan