Jin-Sung sanggup mengambil cuti selama setahun bagi menguruskan dua orang anaknya.
KETIKA Kim Jin-Sung menyuarakan hasrat untuk bercuti semata-mata mahu menjaga dua anaknya yang masih kecil, pengurusan kanan di tempat dia bekerja sangat terkejut dan marah.
“Mereka bertanya ratusan kali sama ada saya benar-benar serius dengan keputusan itu,” cerita Jin-Sung, 40, yang bekerja sebagai jurujual dalam industri teknologi maklumat di Seoul, Korea Selatan itu.
Reaksi rakan-rakan juga tidak menyebelahi keputusan yang dibuat. Kebanyakan mereka tidak memahami alasan lelaki itu mahu bercuti panjang dan mengorbankan kerjayanya untuk mengambil alih tugas seorang isteri.
Bagaimanapun, selepas berhempas-pulas berjuang dan merayu dengan pihak pengurusan untuk bercuti, dia diberikan cuti selama setahun. Keputusan seumpama itu merupakan yang pertama dalam sejarah 15 tahun majikannya.
“Ia adalah proses yang sangat sukar, namun saya benar-benar bernasib baik kerana mendapat keputusan itu,” katanya.
Jin-Sung merupakan salah seorang daripada golongan bapa yang semakin sedar dan memilih untuk berehat seketika daripada kerjaya bagi menjaga anak-anak.
Ia menjadi satu pemikiran baharu tentang tanggapan masyarakat yang selalu menganggap tanggungjawab itu terletak pada golongan wanita.
Kempen
Kadar kelahiran yang rendah disebabkan oleh keengganan wanita untuk melakukan tanggungjawab tradisional itu mendorong kerajaan supaya melakukan satu perubahan sosial dalam membantu pasangan memperoleh keluarga yang lebih besar.
kerajaan Korea Selatan memberikan elaun kepada golongan bapa yang bercuti kerana menguruskan isteri bersalin.
Kempen berskala besar telah dilakukan termasuk subsidi untuk menggalakkan lebih ramai suami mengambil cuti bagi menguruskan isteri bersalin meskipun usaha itu menerima tentangan daripada badan korporat.
Golongan bapa seperti Jin-Sung melupakan gaji yang diberikan syarikat tetapi menerima elaun daripada kerajaan dengan kadar 40 peratus daripada pendapatan bulanan mereka yang dihadkan kepada 1 juta won (RM3,610).
Menurut undang-undang negara itu, suami dan isteri berhak mendapat cuti bersalin atau mengurus isteri bersalin sehingga satu tahun.
Korea Selatan mempunyai kadar kesuburan 1.19 kelahiran bagi setiap wanita pada tahun 2013. Kadar itu adalah paling rendah dalam kalangan negara Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan jauh lebih rendah daripada purata OECD, 1.67.
Situasi itu menunjukkan peralihan demografi yang membimbangkan dalam negara yang menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar di Asia.
Harga hartanah yang melambung tinggi dan aspek pekerjaan menjadi sebab golongan muda di negara itu sama ada lelaki atau wanita melambatkan atau mengelak daripada berkahwin.
Kaum wanita pula memberontak terhadap norma tradisional, ibu yang tinggal di rumah dengan mengendalikan semua kerja rumah.
Mencatatkan kadar kelahiran paling rendah dalam OECD, kaum lelaki di Korea Selatan hanya menghabiskan masa kira-kira 45 minit sehari untuk melakukan kerja-kerja rumah termasuk menjaga anak.
“Minda kita masih terperangkap dalam zaman dahulu apabila lelaki dijadikan sebagai pencari nafkah tunggal.
“Kita perlu mendidik lebih ramai bapa untuk mewujudkan budaya yang mendorong mereka secara semula jadi untuk mengambil bahagian dalam urusan penjagaan anak.
“Syarikat-syarikat juga boleh mengurangkan waktu pejabat yang lama,” kata Presiden Park Geun-Hye ketika mesyuarat dengan pakar-pakar untuk membincangkan kadar kelahiran rendah negara itu. – AFP
Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz3yKnlobii
Tiada ulasan:
Catat Ulasan