Mat Azman (dua dari kiri) bergambar bersama rakan lain ketika di Somalia.
TIADA apa yang membezakan Markas Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Somalia (Unosom II) pada tanggal 3 Oktober 1993 berbanding hari sebelumnya.
Kebiasaannya, pasukan tentera dari negara-negara yang terlibat dalam misi pengaman di Somalia akan menjalankan tugas rutin seperti melakukan rondaan di negara yang bergolak itu.
Begitu juga bagi pasukan Batalion Malaysia 1 (Malbatt I) yang diketuai oleh Kolonel Abdul Latif Ahmad yang sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk sebarang tugasan.
Somalia ketika itu berhadapan situasi konflik perang saudara setelah kerajaan yang berkuasa digulingkan pada 1991.
Setelah kerajaan pimpinan Siad Barre, digulingkan Kongres Kesatuan Somalia (USC) mengambil alih Moghadishu dan melantik Ali Mahdi Muhammad sebagai presiden baharu.
Namun sayap tentera USC yang diketuai oleh Jeneral Mohamed Farrah Aidid menentang pelantikan tersebut sehingga mencetuskan konflik peperangan antara beberapa pihak di bandar tersebut.
Namun, pada hari itu, satu kompeni Rangers tentera Amerika Syarikat (AS) telah menjalankan operasi gerakan khas.
Operasi itu bertujuan menangkap Ketua Militan Somalia, Jeneral Mohamed Farrah Aidid. Risikan tentera AS mendapati, pemimpin itu akan mengadakan mesyuarat di bangunan besar dua tingkat di Mogadisghu, Somalia.
Malangnya operasi itu gagal memerangkap Aidid. Hanya pembantu-pembantu kanan beliau saja ditangkap manakala dua helikopter UH-60 Black Hawk ditembak jatuh oleh pasukan militan Somalia menggunakan Rocket Propelled Grenade (RPG).
Dalam suasana tegang itu, 70 anggota Rangers dan lima kru udara tentera AS terperangkap dan diserang bertubi-tubi. Pada peringkat awal, tentera AS cuba melakukan gerakan menyelamat bersendirian, malangnya mereka gagal. Lalu, keadaan memaksa mereka meminta bantuan daripada Malbatt I dan tentera Pakistan.
Pertempuran
Seramai 11 pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Malbatt I telah ditugaskan bersama pasukan AS untuk menjalankan misi menyelamat itu.
“Kami sedia untuk mati apabila berada di medan pertempuran dan langsung tiada perasaan takut untuk menyertai misi itu,” jelas Mejar Mat Azman Mat Piah, 49, salah seorang anggota Malbatt I yang terlibat dalam operasi tersebut.
Mat Azman yang ketika itu berpangkat Leftenan diarah mengatur gerak platun dengan membawa peluru tambahan ke kawasan pelabuhan.
Sebelum pasukan konvoi memasuki Pasar Bakara, suasana ketika itu begitu tegang, dia dan anggota lain telah bersiap sedia untuk mendepani apa jua keadaan.
“Kumpulan konvoi kami menjadi sasaran musuh apabila ditembak dari segenap arah oleh kumpulan militan. Tembakan ke arah kenderaan kami menyebabkan pergerakan menjadi perlahan.
“Ketika diserang dua kereta kebal Pakistan yang ditugaskan mengawal konvoi secara tiba-tiba berundur. Ketika itu pasukan yang mendahului konvoi adalah platun 2 dan diikuti subunit lain,” katanya.
Oleh kerana ketika itu sub unit berada berhampiran kedudukan yang ditinggalkan tentera Pakistan, dengan pantas ia digerakkan untuk menjaga kawasan yang dikosongkan itu.
“Perubahan posisi itu telah menyebabkan kami menerima tentangan yang lebih hebat dan pasukan saya terpaksa bertahan di kedudukan itu sehingga tentera AS yang terperangkap berjaya dibawa keluar.
“Menjelang waktu subuh, tentangan yang diterima daripada kumpulan militan semakin reda dan kesempatan itu digunakan oleh kami berundur ke kawasan selamat,” jelasnya.
Peristiwa hitam itu kini sudah hampir 23 tahun berlalu. Namun, bagi Mat Azman yang berada dalam situasi genting itu, pengalaman tersebut tidak mungkin luput daripada ingatannya.
Kehilangan teman seperjuangan, kecederaan yang dialami, kepantasan merancang operasi dalam situasi terdesak, selain keadaan muka bumi yang jauh berbeza berbanding tanah air, semuanya terpahat dalam sanubarinya.
Detik getir
BUKU Aku Masih Ingat.. Memoir Seorang Komander turut menceritakan pengalaman Abdul Latif ketika di Somalia.
Dalam pada itu, pengalaman mengetuai misi pengaman di Mogadishu, Somalia termasuk operasi menyelamat kumpulan renjer AS yang dikepung oleh kumpulan militan pemberontak telah mendorong Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Latif Ahmad menghasilkan buku yang bertajuk, Aku Masih Ingat...Memoir Seorang Komander.
Buku setebal 324 muka surat itu menceritakan detik-detik getir selama tujuh bulan di Mogadishu, Somalia serta pengalaman lain sepanjang beliau berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Abdul Latif yang ketika itu merupakan Komander Malbatt 1, pengalaman yang dilalui oleh 876 orang anggota yang terdiri daripada 53 pegawai dan 823 lain-lain pangkat (LLP) dari Rejimen ke-19 Askar Melayu Diraja (Mekanis) di dalam Malbatt I sepanjang berada di Somalia turut dicatatkan di dalam buku tersebut.
Misi menyelamat
Tambahnya, buku itu bukan hanya menceritakan misi pengaman di Somalia, malah dia turut berkongsi pengalamannya semasa terlibat dalam konfrontasi Indonesia-Malaysia serta tragedi Peristiwa 13 Mei.
Abdul Latif berkata, dia mengambil masa hampir dua tahun bagi menyiapkan buku itu.
“Buku ini belum lagi dipasarakan di kedai-kedai buku dan mereka yang berminat untuk mendapatkannya boleh menghubungi pengedar rasmi saya iaitu Media Resources di talian 018-256 0941,” jelasnya.
Mengimbas detik-detik operasi menyelamat renjer AS yang terperangkap, Abdul Latif berkata, selepas mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 5.30 petang, Kompeni Bravo di bawah pimpinan Mejar Abd. Rashid Ahmad telah diarah bersiap sedia di New Port, jika perlu untuk membantu mengeluarkan seberapa ramai askar US Rangers yang terperangkap di Bakara.
“Saya dimaklumkan Komander QRF (US) Kol. Lawrence Casper dilantik untuk mengetuai gabungan pasukan Tentera Amerika, trup kereta kebal Tentera Pakistan dan dua Kompeni Makanis Malbatt untuk melancarkan operasi menyelamat.
Kompeni Aplha, di bawah pimpinan Mejar Abdul Aziz dengan lima pegawai dan 42 anggota lain-lain terlibat dalam misi menyelamat bersama pasukan Pakistan dan Amerika Syarikat.
Sekitar pukul 9 malam, Markas Unosom telah mengubah rancangan hanya meminta menggunakan sejumlah 32 kereta perisai (APSs) untuk membawa tentera penyelamat US Rangers dari New Port ke kawasan sasaran.
Jelas Abdul Latif, masalah akan timbul jika hanya memberi pinjam kereta perisai kerana belum tentu mereka boleh memandu kenderaan itu dengan cekap.
“Bagaimanpun kereta perisai yang diberi pinjam itu masih belum dapat menyelesaikan masalah.
“Akhirnya bagi memudahkan operasi tersebut semua pegawai, ketua kereta, pemandu, penembak di belakang dan operator semboyan dikekalkan dan terlibat secara langsung dalam gerakan itu,” katanya.
Jelas Abdul Latif, seramai 11 orang pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Malbatt I mara secara langsung dan terlibat dalam gerakan bersama itu.
Genting
“Pada 4 Oktober pukul 3.08 pagi, kenderaan No.2 platun Kompeni Alpha yang memasuki kawasan sasaran ditembak dengan RPG di bahagian pemandu dari arah hadapan sehingga menyebabkan cermin kalis peluru APC yang dipandu pecah.
“Kesan tembakan itu telah menyebabkan Prebet Mat Aznan Awang mengalami cedera parah dan beliau meninggal dunia pada pukul 3.30 pagi,” katanya.
Pada pukul 4.30 pagi, ketua-ketua kompeni Malbatt I mula melaporkan bahawa keadaan semakin genting dan meminta kebenaran untuk mengundur ke tempat yang lebih selamat.
“Kompeni Alpha mula berundur dari kawasan sasaran dengan membawa anggota-anggota tentera AS yang cedera dan terperangkap.
“Pergerakan keluar dari kawasan sasaran dilakukan secara taktikal dan berhati-hati kerana sepanjang laluan masih terdapat tembakan bertubi-tubi daripada kumpulan militan,” jelas Abdul Latiff.
Menurut Abdul Latiff, pada pukul 5.45 pagi, Kompeni Bravo telah diarahkan untuk berundur bersama kumpulan tentera AS dan mereka sampai ke Stadium Mogadishu pada pukul 6.40 pagi.
“Kesudahan daripada pertempuran itu yang berlangsung selama enam jam itu menyebabkan kemusnahan empat buah kereta perisai iaitu tiga buah kondor twin GPMG dan satu kondor 20mm Orlikon.
“Dalam pentempuran tersebut seorang anggota Malbatt terkorban dan sembilan lagi cedera manakala 18 anggota tentera AS terkorban dan 77 yang lain tercedera.
“Beberapa hari selepas itu Pegawai Pemerintah Batalion dari AS, Leftenan Kolenal William C. David mengutuskan surat ucapan terima kasih atas gerak cepat dan keberanian anggota Malbatt I yang terlibat dalam operasi tersebut,” jelasnya.
Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3yKol95Vh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan