Hari ini ramai golongan bapa semakin prihatin keperluan anak-anak mereka. – Gambar hiasan
Sudah banyak kali kita mendengar atau membaca berita anak yang maut kerana jatuh dari tingkap, jatuh dari tangga bergerak atau ditinggalkan di dalam kereta yang berkunci.
Ada juga kanak-kanak yang mati kerana didera atau diabai, malah ada juga yang dijadikan pengemis atau dibawa mengemis untuk mengumpan simpati orang ramai.
Kita lalu menyoal apakah tindakan yang dikenakan ke atas ibu bapa atau penjaga atau mana-mana pihak yang ada kaitan dengan kes-kes berkenaan?
Dalam hal ini, mungkin ramai yang menarik nafas lega apabila pindaan dibuat kepada Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Di bawah pindaan itu, ibu bapa atau penjaga yang melakukan kesalahan menganiaya, mengabai, membuang atau mendedahkan, menggunakan kanak-kanak untuk mengemis dan sebagainya serta membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang berpatutan bakal dikenakan tindakan Perintah Khidmat Masyarakat (CSO).
Kerja komuniti
Ia membabitkan kerja komuniti dan modul keibubapaan. Hukuman CSO ini dilaporkan untuk tempoh tidak kurang daripada 36 jam dan tidak melebihi 240 jam dengan pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Perkara tersebut merupakan antara tiga peruntukan baharu yang akan diperkenalkan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim membuat pengumuman pindaan undang-undang itu pada sesi penerangan media di Kuala Lumpur pada 17 Januari lalu.
Menurut beliau, penggubalan akta itu mengambil kira perkembangan semasa dan turut menyifatkannya sebagai memberi pengajaran bukan menghukum.
CSO ini diharap dapat memberi kesedaran serta keinsafan kepada ibu bapa khususnya supaya memberi lebih perhatian serta kasih sayang kepada anak.
Tanpa sebarang alasan, ibu bapa perlu mengambil segala langkah yang sesuai untuk memastikan keselamatan anak mereka setiap masa dan bukan berserah kepada takdir jika nasib malang menimpa ana-anak mereka.
Ibu bapa juga perlu memainkan peranan keibubapaan mereka dalam penjagaan anak tanpa melepaskan tanggungjawab itu kepada pengasuh di taska atau tadika mahupun kepada pembantu rumah.
Anak-anak yang cukup perhatian serta kasih sayang ibu bapa serta pendidikan agama sudah tentu tidak akan tergamak melakukan sesuatu yang boleh membahayakan keselamatan diri mereka atau mencalit arang ke muka ibu bapa.
Berapa banyak kes remaja yang terlibat dalam penyalahgunaan najis dadah atau jenayah juvana memberi alasan kurang kasih sayang atau perhatian ibu bapa.
Dalam hal ini, penulis mengagumi wanita yang sanggup mengorbankan kerjaya demi menjaga anak di rumah tanpa bergantung kepada pembantu rumah.
Menjadi trend pada masa kini apabila golongan Adam mengambil tanggungjawab menjaga anak-anak daripada isteri.
Kepada Kevin Zahri yang dirujuk sebagai cikgu kecergasan Malaysia yang menulis dalam Facebooknya, beliau akan mengambil cuti sepanjang tahun 2016 untuk menjadi home dad demi memberi sepenuh perhatian kepada keluarganya.
Kasih sayang
Pemandu teksi yang sempat penulis intai namanya, Azhar, yang tertera pada lesen memandu teksi.
Azhar sanggup menjadi pemandu teksi supaya mempunyai masa yang fleksibel untuk menjaga empat orang anaknya. Beliau mula memandu teksi seawal pukul 7 pagi sebelum berhenti beberapa jam kemudian untuk menguruskan anaknya.
Bekas tentera ini memberitahu, dia menjadi pemandu teksi sejak anak sulungnya berumur enam tahun. Anaknya itu kini berusia 16 tahun. Dia juga memberitahu penulis, kesemua anaknya sudah tahu mengurus diri mereka dan tidak perlu bergantung kepada pembantu rumah.
Penulis percaya jika berkesempatan, ramai yang mahu mengikut jejak langkah Kevin dan Azhar.
Sesungguhnya, tidak ada yang dapat menggantikan masa bersama anak-anak, membelai dan membesarkan mereka dengan sepenuh kasih sayang.
– Bernama
Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3yKpLE2ky
Tiada ulasan:
Catat Ulasan