RITUAL ini dilakukan bagi menguji kekebalan masyarakat Banten, Indonesia.
“HARAM kau sentuh kulitku, haram kau minum darahku, haram kau makan dagingku, urat dawai, tulang besi, kulit baja, aku keluar dari rahim ibunda,” seru seorang lelaki berbaju hitam dengan nada yang kuat.
Sambil duduk di tengah-tengah laman rumah, lelaki tersebut mengunyah dan menelan sebiji bebola kaca.
Beberapa minit kemudian, lelaki tersebut dilihat tunduk sambil mengeluarkan seekor anak kelawar yang masih hidup keluar daripada mulutnya.
Itu merupakan salah satu upacara yang dilakukan oleh masyarakat Banten, Indonesia, dalam ritual Debus Banten.
Debus Banten merupakan satu ritual seni mempertahankan diri yang diamalkan oleh masyarakat Banten bagi menonjolkan kemampuan luar biasa seperti kekebalan terhadap senjata tajam dan lain-lain lagi.
Perkataan debus pada asalnya berasal daripada bahasa Arab iaitu dablus yang bermaksud sejenis senjata tajam atau besi berbentuk runcing.
Medium hiburan
Bagaimanapun, menurut Ali Gufron, debus bagi masyarakat Banten berasal daripada perkataan gedebus iaitu salah satu peralatan tajam yang digunakan dalam pertunjukan kekebalan tubuh.
“Objek tajam yang digunakan wajib diperbuat daripada besi dan digunakan untuk melukakan diri sendiri.
“Oleh sebab itu perkataan Debus dalam istilah pelaksanaan ritual ini lebih banyak merujuk sebagai tidak tembus atau kebal,” jelasnya.
Menurut Ali Gufron lagi, sepanjang ritual dijalankan, orang ramai yang menonton ritual tersebut akan melaungkan ayat ‘tiada daya upaya melainkan kerana Tuhan semata’ sehingga selesai ritual dijalankan.
Ini kerana, dengan laungan tersebut, pisau, parang atau peluru yang digunakan tidak akan melukakan tubuh badan mereka.
“Pada awalnya, ritual ini berperanan sebagai salah satu kaedah untuk penyebaran agama Islam bagi kaum Banten, Indonesia.
“Ketika penjajahan Belanda dan pemerintahan Sultan Agung Tirtayasa satu ketika dahulu, seni ini digunakan untuk membangkitkan semangat pejuang dalam kalangan rakyat Banten untuk melawan Belanda,” jelasnya.
Bagaimanapun, dewasa ini, seiring dengan peredaran zaman, kesenian ini hanya digunakan sebagai medium hiburan masyarakat semata-mata.
Lazimnya, ritual ini dimainkan oleh seorang ketua, beberapa orang tukang karut, pemain, dan pemukul gendang.
Kira-kira satu hingga dua minggu sebelum berlangsungnya ritual tersebut, para pemain akan berpantang daripada melakukan perkara-perkara terlarang bagi memastikan kelancaran ritual.
Antara larangan tersebut ialah individu tidak dibenarkan minum minuman keras, berjudi, mencuri, tidur bersama isteri atau wanita lain dan sebagainya.
“Peralatan yang digunakan dalam permainan ini pula ialah parang dan pisau. Ia bagi menghiris tubuh. Selain itu, bola lampu turut digunakan untuk dikunyah atau dimakan serta periuk bagi menggoreng telur di atas kepala.
“Bukan itu sahaja, beberapa peralatan lain seperti minyak tanah, buah kelapa, gendang, rebana dan seruling juga turut digunakan dalam ritual ini,” jelasnya.
Sebelum ritual dijalankan, ketua adat akan menyanyikan beberapa lagu tradisional.
Usai tamat nyanyian lagu tersebut, ritual dilanjutkan dengan bacaan zikir dan ‘macapat’, iaitu puji-pujian terhadap Tuhan dengan tujuan agar semua individu dilindungi serta selamat daripada sebarang malapetaka.
“Ritual kemudian diteruskan dengan permainan pencak silat yang dilakukan oleh satu atau dua orang pemain tanpa menggunakan senjata tajam.
“Kemuncak ritual ini ialah pertunjukan aksi seperti menusuk perut menggunakan parang, mengupas, membakar dan memecahkan buah kelapa di atas kepala sendiri, membakar tubuh dengan minyak tanah, berjalan-jalan di atas bara api dan memakan kaca atau bola lampu,” jelasnya.
Acuan kehidupan
Bagaimanapun, sepanjang melakukan ritual tersebut, mereka perlu membaca mantera supaya tubuh badan kebal daripada senjata tajam.
“Biarpun ritual ini mengerikan dan agak keterlaluan, namun jika dilihat secara mendalam, ritual Dabus Banten yang dilakukan oleh masyarakat Banten sebenarnya mengangkat nilai-nilai yang boleh dijadikan sebagai acuan dalam kehidupan harian selain bekalan untuk kehidupan selepas kematian.
“Nilai-nilai tersebut antaranya ialah kerjasama, kerja keras dan aspek keagamaan,” jelasnya.
Ujarnya lagi, nilai kerjasama dan kerja keras dapat dilihat menerusi usaha yang dilakukan oleh pemain sepanjang melakukan ritual tersebut.
“Dalam hal ini seseorang yang ingin memainkan Debus harus berlatih sepanjang hari selain mematuhi pantang-larang yang ditetapkan agar ritual tersebut dapat dijalankan dengan sempurna.
“Sementara itu, nilai keagamaan pula dapat dilihat melalui zikir dan bacaan doa yang dilaungkan oleh pemain. Doa-doa tersebut dibaca dengan tujuan agar pemain sentiasa dilindungi,” jelasnya.
Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3yKkqmwVJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan