06 Oktober 2015

Artikel Menarik (September 2015) - Pemakanan ayam penentu kuaiti telur


Telur QL Omega dan Deli Fresh diperkaya dengan bahan Omega 3 yang mengandungi kolesterol 40 peratus lebih rendah berbanding telur biasa.


TIDAK kiralah sama ada dimasak kicap, sambal, goreng biasa dan separuh masak, Mohd. Fikri Shoib, 26, pasti sukar menolak sekiranya sajian telur ayam kegemaran itu dihidangkan di hadapannya.
Menurut anak jati Sungai Petani, Kedah itu, selain sajian ayam, telur ayam adalah makanan kesukaannya dan merupakan salah satu pelengkap sajian makan tengah hari ataupun makan malamnya. Ciri telur yang mudah dimasak dan versatil untuk pelbagai jenis masakan menjadikannya pilihan utama selain kaya dengan sumber protein.
“Kebiasaannya pada waktu pagi saya akan membuat telur hancur di rumah untuk sarapan sebelum pergi keKERJA. Saya juga akan memesan telur goreng sebagai pelengkap sajian utama jika makan di restoran. Struktur telur yang lembut dan mengenyangkan adalah sebab saya menggemari telur.
“Saya juga akan memakan telur separuh masak selepas bersenam untuk mengembalikan semula tenaga,” katanya yang mengambil telur bagi tujuan kesihatan.
Begitupun, pelbagai produk dan jenama telur di pasaran. Kini, pengguna bukan sahaja membeli telur yang dikelaskan mengikut gred A, B, C, D, E dan F tetapi variasi telur dengan manfaat istimewa seperti Omega 3.
Telur Omega 3 mempunyai jumlah kolesterol lebih rendah yang dihasilkan menerusi penyerapan minyak ikan yang kaya dengan asid lemak perlu (EFA) dan asid asid dokosaheksaenoik (DHA). Asid yang terkandung dalam Omega 3 ini yang membantu meningkatkan kandungan kolesterol baik dan mengurangkan risiko sakit jantung.
Bagaimanapun, telur Omega 3 turut mempunyai kualiti yang berbeza. Bagi syarikat pengeluar telur terkemuka, QL Resources Berhad (QL), setiap pek telur QL Omega dan QL Deli Fresh yang dijual di pasaran merupakan produk terpilih berkelas premium. Pelanggan boleh mengenalpasti kandungan Omega menerusi informasi nutrisi pemakanan pada bungkusan telur.
Menurut Pengarah Eksekutif QL, Chia Seong Pow, kualiti premium telur dihasilkan menerusi bantuan kemudahan teknologi terkini bermula dari kawalan pusat ternakan ayam sehinggalah kualiti produk akhir menggunakan sistem sensor automatik.
“Kami menggunakan teknologi terkini untuk menyediakan tempat dan suasana terbaik supaya ayam dapat membesar dengan sihat serta produktif apabila mencapai usia matang 17 minggu.
“Pada masa sama, kawalan keselamatan bio yang ketat dan pencapaian standard kebersihan membolehkan anak ayam membesar dalam keadaan persekitaran bebas penyakit,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat QL di Shah Alam baru-baru ini.
Jelasnya, antara langkah yang diambil untuk menjaga kebersihan persekitaran adalah setiap pekerja di ladang ternakan diwajibkan untuk mandi di ruang disediakan syarikat sebelum masuk ke dalam kawasan ternakan ayam. Kenderaan luar yang ingin memasuki kawasan ladang pula akan disembur dengan air untuk memastikan tidak membawa masuk sebarang kotoran berbahaya.
Perkara lain yang diambil berat adalah kawalan suhu pusat ternakan tersebut iaitu tidak melebihi 28 darjah Celsius.
“Orang ramai harus memahami kepentingan suhu yang diperlukan oleh haiwan ternakan. Jika suhu terlalu sejuk, haiwan-haiwan ini akan memerlukan tenaga yang banyak untuk memanaskan badan mereka. Secara tidak langsung kuantiti makanan turut meningkat dan ia melibatkan kos yang tinggi.
“Bagaimanapun, pihak kami tidak menggunakan pendingin hawa seperti yang didakwa dan sering didengar tentang produk ternakan premium. Kami hanya menggunakan kipas penyedut untuk memastikan suhu serta pengaliran udara berlaku dengan betul,” katanya. Penggunaan kipas penyedut juga melindungi haiwan ternakan daripada udara tidak sihat seperti jerebu yang kini melanda negara.
Tambahnya, apabila ayam membesar dalam keadaan sihat, ia membolehkan haiwan ternakan memanfaatkan sepenuhnya zat makanan pada tahap optimum, sekali gus mengurangkan kos untuk penghasilan telur.
Formula terbaik

DOKTOR Veterinar, DR. TAN SAN HUA, memeriksa tahap kesihatan anak ayam bagi memastikan ia membesar dengan sihat, sekali gus dapat menghasilkan telur premium.


Untuk memastikan produk terus mencapai kualiti optimum, QL turut menggunakan perkhidmatan doktor haiwan dan pakar sains haiwan dan penternakan untuk mendapatkan formula terbaik telur QL Omega.
Sehingga kini, telur QL Omega dan QL Deli Fresh telah diperkaya dengan bahan Omega 3 yang mengandungi kolesterol sehingga 40 peratus lebih rendah berbanding telur biasa. Kandungan kolesterol dalam telur biasa dinyatakan sebagai 372 miligram/100 gram.
Sehubungan itu, Seong Pow berkata, telur QL Omega adalah salah satu alternatif diet makanan yang baik untuk mengawal penyakit kardiovaskular memandangkan jumlah purata rakyat Malaysia mengambil protein daripada sumber telur adalah sebanyak 290 biji dalam tempoh setahun dengan kadar tertinggi adalah 340 biji.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Pusat Ternakan QL, Dr. Danish Cheong Abdullah berkata, untuk membolehkan ayam melawan penyakit-penyakit biasa seperti selesema, suntikan vaksin terbaik diberikan. Tahap kesihatan ayam turut dipantau secara harian kerana ia mempengaruhi tahap kualiti telur dihasilkan merangkumi putih telur, kuning telur dan ketebalan kulit telur.
“Dengan tahap kesihatan yang baik, kami boleh mengawal kandungan jumlah tenaga dan protein di dalam telur dengan menentukan saiz mengikut formula bahan makanan dan pengawalan jumlah stimulasi cahaya ketika waktu bertelur,” jelasnya.
Ujarnya, prinsip menghasilkan kualiti telur berkualiti tinggi adalah amat mudah iaitu ia bergantung kepada jenis pemakanannya.
Setiap ekor ayam juga akan berikan kuantiti makanan dan formula yang berbeza mengikut kesesuaian usia bagi memastikan zat-zat dibekalkan dapat diserap dengan baik sebelum dapat menghasilkan telur Omega.
Selain menjadi peneraju dalam pasaran telur, syarikat QL juga mencipta nama dalam perniagaan bekalan makanan ayam berkualiti tinggi pada peringkat global.
Sementara itu, Eksekutif Pengawalan Kualiti QL, Teoh Keng Joon berkata, fokus konsisten yang diberikan kepada kualiti produk mendorong kepada peningkatan permintaan pelanggan sejak penubuhannya pada tahun 1987.
Mesin pengimbas

TEKNOLOGI mesin sinaran ultra ungu digunakan untuk mengimbas rekahan halus pada kulit telur yang sukar dikesan oleh mata kasar.


Sehingga kini, QL mengeluarkan kira-kira 3.2 juta biji telur setiap hari. Peningkatan jumlah pengeluaran itu dibantu oleh pelaburan penggunaan teknologi terkini, mesin pengimbas sinaran ultra ungu.
“Sejak awal penubuhan syarikat kami telah pun meletakkan objektif untuk menyediakan telur berkualiti tinggi kepada pelanggan dengan jaminan tidak mempunyai rekahan dan kotoran. Pengawasan keadaan telur dilakukan secara manual bermula kerja penggredan sehinggalah lapisan proses penelitian rekahan oleh pekerja-pekerja.
“Bagaimanapun, pada tahun 2013, kami telah menggunakan teknologi terkini mesin sinar ultra ungu dari Jepun untuk mengimbas rekahan halus pada kulit telur yang sukar dikesan oleh mata kasar.
“Mesin itu boleh mengimbas sebanyak 30,000 biji telur dalam tempoh satu jam. Telur yang mempunyai cela akan diasingkan sebelum dijual sebagai telur biasa mengikut gred,” katanya menambah setiap kuantiti pengeluaran dan kerosakan akan direkodkan supaya pakar-pakar dapat mencipta formula baharu untuk menjadikan kulit telur lebih tebal.
Mesin sinaran ultra ungu itu juga dapat mengesan sekiranya terdapat bintik darah di dalam telur yang disebabkan pecahnya pembuluh darah semasa penghasilan telur.
Selain memastikan fizikal telur dalam keadaan baik, pakar juga akan menjalankan ujian ketinggian dan keanjalan putih telur serta perbandingan standard warna telur kuning pada setiap hari sebelum telur dipasarkan.
Mengulas lanjut mengenai ketebalan kulit telur, Keng Joon memberitahu, ia dikawal menerusi jumlah zat kalsium yang terkandung dalam makanan diberi kepada ayam.
Sehingga kini QL menternak sebanyak 1.1 juta ekor ayam di Pajam, Negeri Sembilan dengan jumlah purata penghasilan telur untuk seekor adalah 500 biji dalam tempoh 80 minggu.


Artikel Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1006&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3nkRYHvKf 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan