06 Oktober 2015

Artikel Menarik (Oktober 2015) - Tidak perlu kurus untuk amalkan yoga



Badan gempal bukan penghalang guru yoga ini untuk melakukan aksi yang sukar.


Seorang wanita berbadan gempal dan dikategorikan sebagai obes dilihat mengunjungi sebuah gimnasium awam seorang diri. Melihat daripada tubuh badannya, ramai menyangka dia ke sana untuk melakukan senaman kardio yang bertujuan untuk memecahkan lemak-lemak degil dalam badan.
Bagaimanapun, siapa sangka, wanita itu, Valerie Sagun, 28, merupakan seorang guru yoga bertauliah yang mula menceburkan diri secara aktif dalam senaman yoga kira-kira tiga tahun lalu.
Umum mengetahui, senaman yoga berasal dari India merupakan satu bentuk senaman yang memerlukan keseimbangan badan yang tinggi. Senaman itu dilakukan untuk keseimbangan tubuh badan serta minda sekali gus menyebabkannya begitu popular di seluruh dunia.
Sukar
Melihat kepada gaya wanita dari San Francisco, Amerika Syarikat itu, sesiapa pun akan menjadikan dia sebagai inspirasi selepas melihat postur-postur yoga yang sukar, namun Sagun berjaya dilakukannya.

Sagun mahu wanita yang bersaiz sepertinya yakin untuk melakukan yoga kerana baginya tiada apa yang mustahil.


“Saya juga tertekan dengan saiz badan seperti wanita-wanita gempal lain, dan tiada apa yang diingini, selain menjadi kurus. Saya berasakan begitu banyak perkara yang tidak boleh dilakukan akibat saiz badan ini,” cerita Sagun.
Namun, kira-kira empat tahun lalu, Sagun mengambil keputusan untuk ke kelas yoga di universiti yang dipanggil Hatha Yoga dua minggu sekali.
“Selesai sahaja kelas pertama, saya berasakan bahawa yoga adalah terlalu sukar buat saya walaupun seronok melakukannya.
“Saya tidak berputus asa dan tetap hadir ke kelas itu kerana diajar oleh seorang jurulatih lelaki yang kurus dan dia tidak putus-putus memberikan semangat.
“Selepas boleh melakukan pelbagai postur yang sukar seperti mengimbangkan badan menggunakan kepala, saya mulai sedar mampu melakukan apa sahaja dengan berat badan sekarang. Malah, keinginan untuk menjadi kurus mulai hilang perlahan-lahan,” terangnya.
Sejak itu, Sagun mula merakamkan aktiviti yoganya yang kemudian dimuat naik di laman sosial Instagram @biggalyoga yang kini mempunyai lebih daripada 80,000 pengikut dari serata dunia.
Selepas mendapat pujian daripada pengikut, Sagun berasa teruja kerana video-videonya telah memberikan inspirasi kepada ramai orang.
Inspirasi
“Saya rasa seolah-olah telah berjaya mengubah persepsi orang ramai terhadap wanita bersaiz ‘besar’ yang mengamalkan senaman ini.

Selepas aktif yoga, wanita ini percaya dia mampu lakukan apa sahaja.


“Saya mahu mereka yang berbadan besar untuk tidak sesekali berasa rendah diri atau takut untuk mencuba senaman yoga. Hanya kerana pengamal yoga yang anda lihat kebanyakannya berbadan kurus dan langsing, tidak bermakna anda juga harus kurus untuk mencuba,” jelasnya.
Semua orang bertarung dengan pelbagai isu berkaitan badan dan Sagun mahu memberikan inspirasi kepada pengikut supaya mereka mencintai tubuh sendiri.
“Yoga merupakan satu senaman yang memerlukan kekuatan minda dan jika minda kita percaya kita mampu melakukannya, tiada apa yang boleh menghalangnya,” jelas Sagun lagi.
Sebelum mencuba senaman popular itu, Sagun mengakui dia sering memandang rendah pada keupayaan dirinya untuk melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan terjun udara.
“Saya rasa terlalu besar dan berat untuk melakukan semua aktiviti itu, namun kini lebih berkeyakinan.
“Saya tahu saya boleh lakukan apa sahaja,” ujarnya


Artikel Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz3nkTGv1VF 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan