06 Oktober 2015

Artikel Menarik (Oktober 2015) - Restorasi Masjid Rembang Panas




SEPANJANG perjalanan melewati Kampung Rembang Panas, Juasseh, Negeri Sembilan, keindahan desa itu bagaikan menyambut mesra setiap insan yang bertandang.
Ketika asyik mengamati pemandangan mata tersorot pada satu laluan kecil bertar yang membawa ke dalam kawasan ladang kelapa sawit, kelihatan sebuah papan tanda kecil dengan tulisan Jalan Masjid Lama mendorong arah untuk melaluinya dan merungkai destinasi di penghujung jalan.
Perjalanan tanpa tujuan itu telah membawa kepada satu lokasi tanah lapang berhadapan perkuburan Islam di mana tersergam indah sebuah binaan klasik yang dahulunya pernah menjadi rumah ibadat buat masyarakat di desa tersebut sebelum pembinaan masjid kariah baharu pada tahun 1994.
Masjid lama atau Masjid Warisan Kampung Rembang Panas merupakan hasil seni bina yang berusia 118 tahun dan salah satu masjid tertua di negeri adat perpatih itu.
Gotong-royong
Masih segar di ingatan Suman Lahab, 130, yang ketika itu masih di bangku sekolah. Dia dan penduduk kampung lain bergotong-royong mendirikan masjid tersebut pada tahun 1897.
“Waktu itu, suasana seperti pesta keraian, kaum lelaki bersama-sama membina masjid manakala golongan wanita menyediakan juadah untuk menjamu selera.
“Setiap orang seperti memahami tugas masing-masing dan mereka bukan sahaja menyumbang kudrat malah semangat mereka untuk mempunyai masjid sebagai tempat beribadat,” kata lelaki tertua di kampung itu.
Tambahnya, sebelum pembinaan masjid lama, penduduk kampung hanya melaksanakan solat berjemaah di kawasan lapang berdekatan tapak masjid tersebut sejak kampung itu dibuka pada tahun 1810.
Pembinaan asal Masjid Warisan Kampung Rembang Panas menggunakan dana, tenaga dan kepakaran 100 peratus penduduk kampung.

Keadaan masjid lama sebelum dibaik pulih.


Mereka yang terlibat dalam gotong-royong untuk mendirikan masjid dibahagikan tugas mengikut kepakaran seperti memotong kayu, mengetam, mengukir dan membuat atap rumbia.
Suman memberitahu, pembinaan masjid warisan itu juga menggunakan dua jenis kayu utama iaitu kayu seraya dan kayu kumus (balak balau kumus).
“Zaman dahulu tiada sebarang jentera digunakan untuk membina masjid, semua kayu membuat tiang, lantai dinding dan tangga diambil dari hutan berdekatan yang ditarik keluar menggunakan kerbau.
“Rekaan masjid dan setiap seni ukiran di dalamnya merupakan hasil kreativiti penduduk kampung sendiri malah, ia juga mempunyai kubah yang unik serta binaannya tidak menggunakan paku,” jelasnya.
Dengan adanya masjid ketika itu aktiviti keagamaan semakin rancak dianjurkan oleh penduduk kampung termasuklah menunaikan ibadah solat lima kali sehari, solat sunat tarawih, solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha malah, aktiviti lain seperti kelas mengaji al-Quran, tazkirah, usrah, majlis bacaan Yasin serta tahlil turut diadakan.
Keunikan Masjid Warisan Kampung Rembang Panas turut terpalit dengan sumber air dari sebuah perigi yang digunakan oleh penduduk kampung untuk mengambil wuduk dikenali sebagai Perigi Solok, terletak lebih kurang 50 meter dari kawasan masjid.
Landskap
Menurut kisah yang diceritakan oleh Suman, perigi tersebut mendapat nama Solok kerana kawasan sekitarnya dahulu merupakan tempat gajah berkubang malah, sehingga kini airnya masih mengalir dari celah batu dan ia tidak pernah kering walaupun tiba musim kemarau.
Melewati zaman, Kampung Rembang Panas telah melalui perubahan landskap setelah penanaman pokok kelapa sawit dan getah menggantikan sawah padi.
Peningkatan jumlah penduduk dan perubahan jalan membawa kepada pembinaan masjid baharu, Masjid Kariah Kampung Rembang Panas di lokasi 1 kilometer merentasi ladang kelapa sawit bersebelahan jalan utama berikutan masjid warisan tidak lagi mampu menampung jumlah jemaah.
Pengerusi Kariah Masjid Kampung Rembang Panas, Ahmad Latip Manap, 63, memberitahu, sejak itu masjid warisan tidak lagi digunakan dan terbiar begitu sahaja.

Kini, Masjid Warisan dijadikan sebagai surau dan pusat aktiviti kemasyarakatan warga desa.


“Setelah pembinaan masjid baharu, pengurusan kariah masjid turut dipindahkan manakala masjid lama hanya diuruskan oleh penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tersebut.
“Walaupun pengurusan masjid tersebut tidak dilakukan secara menyeluruh, ia tetap digunakan sebagai surau oleh sebahagian penduduk,” ujarnya.
Tambahnya, selepas 21 tahun masjid lama ditinggalkan, struktur asalnya masih lagi kukuh dan beberapa baik pulih telah dilakukan seperti menukar atap rumbia kepada zink.
Tahun 2014 telah membawa perubahan kepada Masjid Warisan Kampung Rembang Panas apabila seorang anak desa (yang tidak mahu namanya didedahkan) telah mengeluarkan dana sebanyak RM180,000 untuk melakukan usaha baik pulih terhadap masjid tersebut.
Menurut penjaga masjid warisan, Mazlan Raffin, 44, setiap perincian dari segi ukiran mahupun reka bentuk masih sama seperti dulu.
“Keluarga saya telah menjaga masjid ini sejak dahulu lagi, keadaan masjid ini pada asalnya masih kukuh namun terdapat beberapa bahagian yang sedikit rosak akibat diserang anai-anai.
“Usaha baik pulih ini telah memberi nafas baharu kepada masjid warisan tetapi masih mengekalkan identitinya, sekali gus mempertahankan warisan peninggalan nenek moyang,” katanya yang tinggal bersebelahan masjid warisan.
Penambah baik hanya meliputi 30 peratus bahagian masjid yang melibatkan cat dan pertukaran atap, tingkap, tangga, kayu reput, pembinaan tandas dan pagar di sekeliling masjid manakala 70 peratus merupakan bahagian asal yang dikekalkan.
Identiti
Kini, masjid warisan telah mendapat penjagaan rapi malah, ia juga dijadikan sebagai surau dan lokasi untuk majlis keraian seperti Maulidur Rasul serta ibadah korban.

MASJID Warisan Kampung Rembang Panas dibina atas hasil usaha gotong-royong masyarakat kampung.


Dana masjid warisan juga turut diasingkan melalui tabung khas yang akan menampung perbelanjaan bagi penyelenggaraan dan pengurusan masjid tersebut di bawah pantauan jawatankuasa kariah serta Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung.
Keunikan dan keaslian Masjid Warisan Kampung Rembang Panas juga telah menarik minat pihak muzium serta pelajar universiti untuk membuat kajian.
Mazlan menambah, masjid warisan ini merupakan salah satu monumen yang telah menjadi saksi kepada kehidupan masyarakat di sini sejak ia didirikan ia harus dikekalkan.


Artikel Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1005&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3nkUxoGfm 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan