18 September 2015

Artikel Menarik (September 2015) - Senaman jalanan pertama Gaza




HUMAN flag merupakan salah satu teknik senaman jalanan.


Walaupun cuaca panas terik dan peluh berguguran dari kepala sehingga hujung kaki, Bakr al-Makadmed, 23, tidak berputus asa untuk meneruskan aksi di palang-palang senaman.
Otot-otot dan urat Bakr jelas kelihatan ketika dia melakukan senaman jalanan iaitu kaedah senaman yang mula mendapat perhatian di Gaza, Palestin.
Orang ramai yang berpeleseran di sekitar perairan pantai Gaza tergamam melihat gelagat beberapa pemuda yang giat melakukan senaman jalanan itu.
Bakr pula menunjukkan beberapa teknik senaman jalanan yang dikenali sebagai human flag, back and front lever dan muscle up.
Human flag merupakan satu teknik yang menyebabkan badan individu itu berada pada posisi melintang di samping bertahan pada palang.
“Anda tidak boleh melakukan senaman-senaman ini dan menjadi mahir dalam tempoh satu hari. Ia sangat mencabar terutama apabila anda baharu berjinak-jinak dalam sukan ekstrem.
“Saya mengambil masa enam bulan untuk mendapatkan teknik dan posisi yang betul. Jika tersilap langkah, anda boleh mencederakan diri sendiri,” katanya yang melakukan aksi dipalang buatan sendiri bersama rakan-rakan.
Walaupun Bakr bekerja di kedai barang gantian motosikal selama 12 jam sehari, dia akan meluangkan masa selama dua jam untuk melakukan senaman.
Bakr serta rakan-rakan menubuhkan pasukan yang dikenali sebagai Bar Palestin. Kumpulan itu telah melakukan senaman jalanan lebih setahun.
“Kami mendapat inspirasi untuk melakukan senaman ini daripada video YouTube. Malah, ia merupakan satu trend terkenal di Sweden,” jelasnya.
Tanpa mengira musim, Bar Palestin kerap menjalankan aktiviti senaman di pesisiran perairan Laut Mediterranean.
“Kebanyakan orang gembira tatkala melihat kami beraksi dan mereka sangat menghargainya. Sesetengah golongan muda juga tertarik untuk mengikuti jejak langkah kami.
“Walaupun tampak senang, hakikatnya tidak semua mampu melakukan apa yang kami lakukan,” kata salah seorang ahli kumpulan itu, Eyad Ayad, 21.
Dulu, kumpulan itu mempunyai ramai ahli iaitu seramai 20 orang tetapi kini, hanya tinggal empat orang dan Suleiman Taleb merupakan salah seorang yang masih bertahan.
Suleiman yang mempunyai kepakaran dalam bidang sukan lasak terutamanya parkour memberitahu, kemahiran itu membantu dia melakukan senaman jalanan tersebut.
“Saya bangga kerana kami merupakan kumpulan pertama untuk melakukan senaman jalanan di Palestin dan mendedahkan kepada orang ramai.
“Walaupun dengan bencana yang menimpa di Gaza seperti peperangan, ia tidak melemahkan semangat kami untuk terus berjuang,” jelasnya.
Kecederaan
Kumpulan Bar Palestin meluangkan masa dua jam setiap hari untuk bersenam.


Selepas sesi temu bual bersama media tempatan, Suleiman menyertai Eyad dan Mahmud Nasmane yang sedang melakukan senaman di palang.
Selepas itu, mereka bertiga menunjukkan tapak tangan masing-masing yang mempunyai beberapa kecederaan kecil seperti kulit mengelupas dan melecet.
Mereka melakukan latihan menggunakan peralatan yang sedia ada. Contohnya, jika para atlet menggunakan kapur untuk mengesatkan tangan daripada berpeluh, mereka pula menggunakan pasir pantai.
Senaman jalanan dicipta untuk latihan luar dan berbeza dengan senaman di gimnasium.
Namun, kawasan di Gaza tidak mempunyai peralatan untuk senaman itu.
“Kami pernah menghubungi pihak berkuasa seperti komuniti belia dan sukan mengenai perihal itu tetapi tiada seorang pun yang mengendahkan kami,” jelas Suleiman.
“Apabila kami menghasilkan peralatan kami sendiri daripada bahan-bahan terpakai seperti besi buruk, ia dirosakkan dan kembali seperti sediakala pada keesokan hari,” kata Mahmud, 21.
Golongan-golongan muda di negara itu mempunyai banyak potensi untuk berkembang seperti menjadi atlet, penyanyi, dan artis. Namun, hanya segelintir yang dapat berkembang
Kumpulan Bar Palestin berhasrat untuk menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa supaya mereka diberikan peluang bertemu dengan atlet-atlet dunia yang melakukan senaman jalanan.
Namun, impian mereka hanya sekadar angan-angan dan mustahil untuk menjadi realiti kerana negara itu dikepung oleh Mesir dan Israel selama sembilan tahun.


Rujukan :  http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz3m4cu70Sw 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan