19 Oktober 2015

Artikel Menarik (Oktober 2015) - Panduan keselamatan dalam hutan




SEBILAH parang disisip kemas pada pinggang sementara tangannya memegang bungkusan plastik berisi roti untuk dibuat bekalan makanan ketika masuk ke perut hutan.
Kelengkapan lain iaitu lampu suluh, pemetik api dan pisau lipat turut sama dibawa sebagai persediaan jika berdepan dengan situasi kecemasan seperti tersesat atau tercedera sewaktu menerokai rimba.
Ibarat alah bisa tegal biasa, pengalaman selama lebih 20 tahun menjadikanAKTIVITI meredah hutan sebagai kegiatan masa lapang membuatkan Nik Mohd. Faizul Ibrahim, 44, sudah arif dengan keadaan semasa berada di belantara.
Menurut lelaki yang berasal dari Kampung Padang Selising, Machang, Kelantan itu, dia begitu menggemariAKTIVITI lasak seperti meredah hutan untuk melihat keindahan alam semula jadi yang dilakukan pada setiap minggu.
“Saya bukannya masuk ke hutan untuk berburu, tetapi lebih suka ‘menghendap’ keadaan di dalam hutan sambil menghayati keindahan alam semula jadi,” tuturnya yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Universiti Teknologi Mara kampus Machang.
Tanda laluan
Ditanya tentang pengalaman sepanjang melakukanAKTIVITI meredah hutan, Nik Mohd. Faizul atau lebih mesra disapa Faizul memberitahu, dia bersyukur kerana tidak pernah berdepan dengan situasi mencemaskan semasa berada di dalam hutan.
Menurut Faizul yang melakukanAKTIVITI tersebut seorang diri, pengalaman seperti tersesat sehingga tidak menemui jalan keluar dapat dielakkan jika seseorang itu peka dan tahu perkara-perkara asas yang perlu dilakukan semasa meredah hutan.
“Seseorang yang masuk ke dalam hutan seharusnya melalui laluan yang sama ketika keluar bagi menggelakkan kekeliruan yang boleh menyebabkan mereka tersasar daripada laluan asal.
“Sebagai langkah selamat, saya biasanya akan membuat tanda seperti mematahkan ranting atau mencantas dahan sebagai petunjuk kepada laluan yang telah saya lalui,” ujarnya yang menjadikan Hutan Simpan Ulu Sat di Machang sebagai lokasi melakukan aktiviti meredah hutan.
Berkongsi tip yang sama, Pegawai Waran 1 (B), Muhammad Fahmi Petrus Abdullah, 46, yang merupakan seorang bekas anggota komando dari Pasukan Gerak Khas Kem Sungai Udang, Melaka juga memberikan beberapa panduan sekiranya berlaku situasi kecemasan sewaktu berada di dalam hutan.
Menurut pesara tentera yang berasal dari Kampung Kiulu, Tamparuli, Sabah itu, kehidupannya yang dibesarkan di kawasan pedalaman ditambah dengan pengalaman selama 27 tahun dalam bidang ketenteraan banyak memberi pendedahan kepadanya terutama dalam dunia perhutanan.

MEMAKAI pakaian terang juga digalakkan sewaktu melakukan aktiviti meredah hutan kerana mudah dilihat jika berlaku sebarang masalah tersesat atau hilang di dalam hutan.


Bertenang
Ditanya tentang apakah langkah pertama yang harus diambil semasa sesat di dalam hutan, Fahmi memberitahu, mereka yang tersesat tidak kira sama ada secara berkumpulan mahupun bersendirian haruslah bertenang dan membuat pendengaran terhadap keadaan sekeliling.
“Langkah ini bertujuan untuk kita mengetahui jikalau terdapat aliran sungai yang boleh menjadi petunjuk selain mengelakkan diri daripada berasa panik,” tutur bapa kepada enam orang cahaya mata itu.
Tambahnya lagi, jika gagal mencari sungai, mereka yang tersesat di dalam hutan perlu mencari tempat yang tinggi seperti dengan memanjat pokok untuk melihat keadaan di sekeliling.
Namun, perkara tersebut tidak digalakkan untuk dilakukan oleh orang yang tidak berkemahiran kerana bimbang ia boleh mendatangkan kecederaan jika terjatuh sekali gus boleh menyukarkan lagi usaha untuk mencari jalan keluar.
Dalam latihan komando sendiri, setiap anggota dilatih untuk berhadapan dengan pelbagai situasi dan kemahiran seperti melihat anak bulan bagi mengetahui lokasi yang boleh menentukan kedudukan sama ada berada di arah barat, selatan, timur dan utara.
“Apa jua jenis binatang atau serangga adalah makanan bagi kami bagi mendapatkan tenaga,” jelas Fahmi yang pernah memakan binatang seperti ular dan katak semasa ditinggalkan di dalam hutan selama tiga minggu sewaktu sesi latihan.
Sebagai panduan untuk mengetahui jenis tumbuhan atau buah hutan yang boleh dimakan, Fahmi memberitahu, buah atau pucuk yang dimakan oleh kera dan monyet juga boleh dimakan oleh manusia dan tidak beracun.
Tambahnya lagi, serangga seperti belalang, semut, ulat pada pokok mati dan burung juga boleh dimakan.
Sebagai anggota komando, kemahiran untuk membina pondok dan memasang jerat juga penting semasa berada di dalam hutan sebagai perlindungan.
Jelasnya, pondok kecil yang didirikan bukan sahaja menjadi tempat berteduh jika berdepan dengan cuaca buruk seperti hujan tetapi juga menjadi tempat berlindung daripada ancaman binatang-binatang buas.
“Sebab itu pisau sangat penting dan perlu dibawa jika masuk ke dalam hutan untuk digunakan bagi pelbagai tujuan selain daripada garam yang ditaburkan mengelilingi pondok bagi mengelak daripada dimasuki ular.

LATIHAN anggota komando yang melatih anggotanya untuk berdepan dengan keadaan darurat seperti terpaksa memakan ular sewaktu di dalam hutan. – Gambar hiasan


Tiga Modul
Tidak terkecuali, latihan ala tentera seperti komando juga dipraktikkan dalam latihan bagi anggota badan beruniform Pengakap yang didedahkan kepada pelajar sewaktu menuntut di sekolah.
Menurut Penolong Pesuruhjaya Kelana Daerah Jasin, Melaka, Nasaruddin Rahmat, 42, anggota Pengakap dibentuk melalui tiga modul yang menjadi teras dan panduan bagi setiap anggota.
Jelasnya lagi, tiga modul tersebut merangkumi aspek ketuhanan, ikhtiar hidup dan kecemasan yang diterap sebagai panduan yang perlu diketahui oleh Pengakap.
“Modul ketuhanan terbahagi kepada dua iaitu unsur alam dan juga manusia di mana, kita harus percaya bahawa dunia ini dihuni oleh dua unsur iaitu alam ghaib dan juga alam nyata.
“Oleh sebab itu, kita harus mempercayai dan menghormati unsur-unsur lain jika kita masuk ke dalam hutan yang menjadi tempat tinggal ‘mereka’ (unsur ghaib),” jelas Nasaruddin yang mula menceburi badan beruniform Pengakap sejak 20 tahun lalu.
Modul ikhtiar hidup melatih anggota Pengakap cara-cara bagaimana untuk meneruskan hidup dengan menggunakan unsur-unsur alam yang ada di sekeliling.
Jelas Nasaruddin yang juga merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bendahara, Jasin, Melaka, antara ikhtir hidup yang boleh dibuat adalah dengan memanjat pokok atau berada di tempat tinggi sambil mengibarkan baju untuk memberitahu lokasi seseorang itu berada.
Begitu juga dengan penerapan modul ketiga iaitu kecemasan di dalam hutan apabila anggota Pengakap sendiri perlu tahu tentang ilmu membaca kompas serta perkara-perkara asas jika tersesat di dalam hutan.
“Perkara penting yang perlu diingatkan adalah supaya jangan berpecah atau keluar daripada kumpulan dan duduk di suatu tempat sehingga pasukan mencari dan menyelamat tiba,” ujarnya yang aktif dalam persatuan Pengakap sejak tahun 1994.
Melanjutkan perbualan, Nasaruddin turut memberitahu, ikatan dan simpulan yang diajar dalam Pengakap seperti ikatan buku sila, ikatan seraya, ikatan palang dan ikatan silang sangat berguna untuk dipraktikkan pada waktu-waktu kecemasan untuk mendirikan pondok atau membuat rakit.


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3oyevofUC 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan