19 Oktober 2015

Artikel Menarik (Oktober 2015) - 47 hari penuh ketakutan



Anggota penyelamat menenangkan Norieen (baju merah) dan Mirsudiar (baju putih) yang ditemui di tebing Sungai Perias setelah dibawa ke Pos Tohoi.


TEKA-TEKI dan misteri tujuh kanak-kanak Orang Asli yang dilaporkan hilang selepas lari dari asrama sekolah mereka pada 23 Ogos lalu akhirnya terjawab berikutan penemuan mayat salah seorang daripada mereka pada 7 Oktober lalu.
Mayat salah seorang daripada kumpulan kanak-kanak itu, Sasa Sobrie, 8, ditemui tersangkut pada batang kayu di tepi Sungai Perias selepas 46 hari usaha mencari dan menyelamat dilakukan.
Tidak sampai 24 jam selepas mayat Sasa ditemui, pasukan pencari menemui pula tengkorak dan tulang rusuk dipercayai milik seorang kanak-kanak kira-kira 800 meter dari tempat mayat Sasa ditemui sekali gus merungkai peristiwa yang menyayat hati seluruh rakyat Malaysia.
Penemuan mayat dan rangka tersebut seterusnya membawa kepada penemuan dua orang kanak-kanak yang masih hidup iaitu Norieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11, mereka ditemui dalam keadaan kurus kering dan lemah selepas berada di dalam hutan selama 46 hari.
Kedua-dua kanak-kanak itu ditemui bersembunyi dalam banir sebatang pokok di tebing Sungai Perias yang hanya terletak kira-kira tiga kilometer dari sekolah mereka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di Gua Musang, Kelantan.
Hilang
Semasa ditemui, Norieen dan Mirsudiar kelihatan sangat kurus sehingga menampakkan tulang yang jelas menggambarkan penderitaan yang mereka dilalui sewaktu berada hampir dua bulan di dalam hutan.
Menyingkap semula peristiwa kehilangan tujuh anak Orang Asli dari suku Temiar itu, kesemua mereka yang terdiri daripada Mirsudiar Alij, 11; Norieen Yaakob, 10; Haikal Yaakob, 8; Ika Ayel, 9; Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Tohoi dilaporkan sesat di hutan berhampiran Pos Tohoi.
Mereka dikatakan lari ke kawasan hutan tersebut kerana takut dimarahi guru ekoran mandi di sungai pada 23 Ogos lalu sebelum usaha mencari dan menyelamat dijalankan selepas menyedari kehilangan tujuh sekawan itu.
Menjelang 28 Ogos, pasukan mencari yang terdiri daripada 500 orang termasuk penduduk kampung gagal mengesan kedudukan kesemua mangsa walaupun gerakan mencari telah dilakukan secara besar-besaran melibatkan pelbagai anggota keselamatan.

MIRSUDIAR ditenangkan ibunya, Rorita Baher selepas ditemui dalam keadaan selamat.


Petunjuk pertama yang ditemui sewaktu gerakan mencari dilakukan adalah penemuan stoking sekolah berwarna putih dipercayai milik salah seorang kanak-kanak terbabit. Stoking tersebut ditemui berhampiran jambatan Sungai Mas, Simpang Gemala pada 1 September lalu.
Lihat rakan mereput
“Kita percaya stoking sekolah terbabit adalah milik salah seorang pelajar yang hilang sejak 10 hari lalu,” ujar Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Siful Bahri Abdullah dalam laporan akhbar pada September.
Menurutnya lagi, stoking belah kiri yang terkoyak itu ditemui oleh dua anggota pasukan mencari pada pukul 11.30 pagi di kawasan hutan kira-kira sejam berjalan kaki dari SK Tohoi.
Pasukan operasi yang disertai 65 anggota dari pelbagai pasukan penyelamat itu turut menemui kesan tapak kaki dipercayai milik kanak-kanak berhampiran lokasi penemuan stoking sebelum menemui kesan daun pokok pisang serta pokok seakan-akan telah dipatahkan.
Pelbagai teori dan andaian dibuat selepas usaha mencari menemui jalan buntu setelah hampir sebulan beratus-ratus anggota keselamatan termasuk bantuan penduduk Orang Asli gagal menemui mangsa.
Spekulasi dan andaian seperti kemungkinan kesemua kanak-kanak itu hilang akibat lemas berikutan fenomena kepala air ketika mandi atau sewaktu menyeberangi sungai menjadi antara teori yang memungkinkan kesemua mereka sukar untuk ditemui.

RORITA BAHER menenangkan anaknya, Mirsudiar ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.


Andaian lain seperti dibaham binatang buas juga tidak dapat ditolak berikutan hutan di sekitar Sungai Perias diketahui menjadi habitat haiwan seperti harimau dan gajah sementelah kelibat kesemua mereka langsung tidak ditemui.
Namun, kuasa Tuhan tiada siapa yang dapat menduga walaupun kisah kehilangan tujuh kanak-kanak Orang Asli itu berakhir dengan lima daripadanya disahkan telah meninggal dunia.
Bagi dua yang terselamat iaitu Norieen dan Mirsudiar, sukar bagi mereka berdua untuk melupakan peristiwa tersebut lebih-lebih lagi apabila mereka menjadi saksi melihat Ika dan Juvina mereput dan berulat.
“Kata Norieen, dia sendiri menyaksikan bagaimana Juvina mati sehinggalah mayat berkenaan mulai reput dan berulat sehingga dia tidak dapat tidur kerana tidak tahan dengan bau mayat rakan-rakannya,” ujar Midah Angah, 40, yang merupakan ibu kepada Norieen.
Kedua-dua rakan baik yang terselamat itu kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zianab II (HRPZ) mula menunjukkan perkembangan baik, namun masih berada dalam keadaan trauma selepas mengharungi pengalaman hitam selama 47 hari berada di dalam hutan.
Sehingga kini, daripada empat mayat yang ditemui, identiti tiga daripadanya telah disahkan oleh ahli keluarga masing-masing iaitu Sasa, Ika dan Juvina, manakala satu lagi rangka belum disahkan identitinya dan operasi mencari masih diteruskan untuk mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3oyg2EoSF 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan