24 Ogos 2015

Artikel Menarik Ogos (2015) - Hidup seperti masyarakat zaman batu





"SAYA rasakan seolah-olah berada pada zaman batu kerana perlu menjalani kehidupan yang serba kekurangan dan tiada kemudahan serta infrastruktur yang disediakan. "Sepanjang berada di sini, lumpur dan runtuhan batu merupakan cabaran utama yang perlu ditempuhi hampir setiap waktu.
"Disebabkan masalah tersebut, trak yang dinaiki saya juga pernah berhenti beberapa jam kerana penduduk terpaksa membaiki runtuhan jambatan dengan hanya menggunakan kekuatan tenaga sahaja," jelas jurugambar dari Itali, Roberto Pazzi.
Bukan itu sahaja, Pazzi malahan mengalami kesukaran untuk berkomunikasi memandangkan masyarakat di kawasan berkenaan mempunyai bahasa yang pelik dan pelbagai.
Menurutnya, perkara tersebut merupakan kenangan luar biasa yang berjaya ditempuhinya sepanjang 10 hari menginap di Papua Barat, Indonesia.
Disebabkan pulau tersebut terpencil dan kurang meniti di media masa, justeru, ramai yang tidak mengetahui kehadiran pulau tersebut sehingga kejadian nahas yang melibatkan pesawat Trigana Air yang berlaku pada Ahad lalu.
Tragedi tersebut lantas menyingkap semula ingatan dunia terhadap pulau terpencil itu di peta dunia.
Perjalanan dari Jayapura ke bandar terbesar di Papua Barat iaitu Wamena mengambil masa 40 minit melalui udara.
Untuk ke Jayapura iaitu ibu negeri Papua Barat itu pula, individu perlu mengambil penerbangan dari Jakarta.
KEUNIKAN tarian dan kebudayaan kaum Dani membuatkan pelancong tertarik untuk mengunjungi Papua Barat.


Puak Dani
Di Papua Barat, Wamena lebih dikenali dalam kalangan pelancong kerana majoriti penduduk di situ merupakan puak Dani yang masih menjalani kehidupan primitif.
Hutan liar, gunung-ganang dan paya yang memenuhi kawasan sekeliling Papua Barat, menjadikan ramai individu seringkali menganggap kawasan tersebut sebagai pulau yang tidak berpenghuni.
Bagaimanapun, pada tahun 1938 seorang juruterbang yang membuat tinjauan udara di atas Papua Barat sebelum terpandang landskap besar di Wamena yang dipenuhi dengan ladang-ladang dan pondok bulat.
Tertarik melihat keunikan yang ada pada pulau tersebut, juruterbang itu kemudian mengambil keputusan untuk mendaratkan kapal terbangnya di Tasik Habema dan akhirnya menemui kewujudan masyarakat puak Dani yang kebanyakannya mendiami kawasan di sekitar Wamena.
Bagaimanapun sekitar tahun 1950-an, Papua Barat mula dibuka kepada dunia luar selepas beberapa orang penyelidik meneroka kawasan tersebut dan seterusnya diikuti dengan transmigrasi pulau tersebut daripada Indonesia.
Kali terakhir masyarakat Papua Barat yang hidup di pedalaman hutan bertemu dengan masyarakat dari dunia luar kira-kira 60 tahun lalu, apabila ahli-ahli antropologi Amerika Syarikat terbang masuk untuk melakukan penyelidikan.
Menurut Ketua Bahagian Penyelidikan di Universiti Papua Indonesia, Dr. Semiarto Aji Purwanto, Papua Barat terkenal dengan puak Dani yang dipercayai telah menghuni pulau tersebut sejak 20,000 tahun yang lalu kerana kemesraan dan kepintaran mereka ketika berkomunikasi.
"Menurut mereka, pada awalnya, puak Dani sukar menerima kedatangan orang asing ke kampung tersebut dan hubungan antara mereka juga dingin.
"Bagaimanapun, lama-kelamaan, hubungan tersebut menjadi semakin akrab dan sejak dari itu, Papua sering menerima kunjungan pelancong luar," ujarnya.
Dalam puak Dani, perang antara puak sering berlaku bagi menandakan kematangan dan kuasa antara mereka.
Peperangan tersebut bertujuan untuk menentukan lelaki yang paling berkuasa dan layak untuk mentadbir ahli puak yang lain.
MAJORITI kepulauan Papua dihuni oleh puak Dani.




Perebutan kuasa
Individu tersebut bagaimanapun bukan berperanan sebagai ketua puak tetapi hanya menjadi lelaki yang mempunyai kuasa.
"Mereka yang dilantik mestilah cukup kuat untuk memikul tugas-tugas tertentu selain memimpin ritual-ritual di sekitarnya termasuk ritual kematian.
"Lazimnya, sebelum pemilihan dijalankan, lelaki tersebut perlu menunjukkan kesemua kemahiran yang dimilikinya," katanya.
Menerusi kajian yang dijalankan oleh ahli antropologi dari Amerika Syarikat pada tahun 1963, Marshall David Sahlins, lelaki yang berkuasa itu perlu pandai bercucuk tanam, memburu dan berkomunikasi dengan baik.
Bagaimanapun, lelaki itu juga perlu mempunyai kuasa ajaib dan keupayaan untuk membimbing ritual selain berani mengetuai peperangan.
Ketika berlakunya perang, lelaki tersebut hanya akan duduk bahagian atas menara buluh untuk mengawasi tenteranya.
Bagaimanapun, ujar Sahlins lagi, walaupun tradisi tersebut semakin berubah dari zaman ke zaman, namun peperangan akan tetap berlangsung kerana ia merupakan satu-satunya cara untuk mendapatkan kuasa.
KAUM wanita menggunakan unggun api untuk memasak makanan.




Tarikan pelancong
Keunikan dan kebudayaan yang ada pada Papua Barat menyebabkan seorang jurugambar dan pemandu pelancong, Evi Aryati Abray sanggup membuat beberapa siri lawatan ke negara tersebut, selepas lawatan pertamanya pada tahun 2004.
"Selain daripada pemandangan yang menakjubkan, budaya di tempat itu juga masih tidak terusik. Saya bangga kerana berpeluang menjejak puak ini sehingga menjadi akrab.
"Apa yang membuatkan saya tertarik mengenai puak ini ialah acara kebudayaan tahunan yang meriah dengan persembahan lakonan pertempuran, muzik dan tarian tradisional," ujarnya.
Jelas Abray, lebih unik apabila puak ini sanggup mendiami kediaman yang hanya dibina menggunakan jerami padi dan kayu.
"Bukan itu sahaja, pakaian mereka juga begitu unik seperti masyarakat zaman batu, biarpun dunia kini telah melalui banyak perubahan,
"Sebagai contoh, mereka masih lagi tidak berpakaian dan puak lelaki menggunakan 'koteka' yang dibuat kayu nipis sebagai pelindung kemaluan mereka.
"Uniknya, koteka yang bersaiz panjang, tajam dan sempit juga turut digunakan untuk menyimpan tembakau rokok dan juga wang," ujarnya.
Dunia berbeza
Walaupun begitu, jelasnya, makanan di kepulauan tersebut masih lagi ketinggalan zaman.
"Saya ditawarkan makanan tradisional yang lazimnya dimakan oleh puak Dani seperti keledek, pes sagu yang dimasak di dalam daun pisang, keladi dan ubi kayu. Kesemua makanan ini bukan sahaja kelihatan tidak menyelerakan, bahkan mempunyai rasa yang sangat teruk.
"Bagaimanapun, saya tertarik dengan hidangan 'tawi', iaitu makanan berasaskan cili merah yang selalunya dijadikan hidangan makan tengah hari," ujarnya.
Jelas Abray, tawi merupakan makanan popular yang paling dihargai oleh puak Dani kerana ia didakwa mampu menyembuhkan atau mencegah kesemua jenis penyakit termasuk kanser dan HIV.


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0823&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3jiMbWzaM 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan