24 Ogos 2015

Artikel Menarik Ogos (2015) - Terapi mati thalaikoothal



DALAM sesetengah kes, warga tua ini dibiarkan kebuluran selama beberapa hari sebelum menjalani thalaikoothal.


DADA Aruna berombak kencang mencari nafas yang semakin pendek. Kaki dan tangannya yang diikat kemas pada bucu katil meronta-ronta menahan kesakitan.
Dengan hidung dikepit rapat, warga emas berusia 75 tahun itu dipaksa menelan susu lembu yang dimasukkan secara paksa ke dalam rongga mulutnya.
Dia sedaya upaya cuba menolak, namun ternyata kudrat tuanya tidak mampu melawan dan akhirnya warga emas itu terkulai menemui ajal.
Lebih menyedihkan, perbuatan yang disifatkan kejam itu dilakukan sendiri oleh anak-anaknya dalam amalan tradisional di India yang dipanggil thalaikoothal.
Menurut seorang warga emas yang dikenali sebagai Maariyamma, 65, perbuatan membunuh ibu bapa itu adalah salah satu amalan yang masih dipraktikkan segelintir masyarakat di Tamil Nadu sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Katanya, amalan itu dilakukan berikutan desakan hidup yang kian meruncing.
"Ibu bapa yang sakit, uzur dan tidak menyumbang kepada ekonomi keluarga dianggap sebagai bebanan yang perlu dihapuskan. Oleh sebab itulah nyawa mereka diakhiri menerusi cara sedemikian," katanya seperti dipetik portal berita The Hindu.

AIR kelapa yang diminum selepas ritual mandi minyak boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang. – Gambar hiasan


Mandi minyak
Maariyamma mengakui, dia juga bakal menerima nasib yang sama jika dia terus berada di bawah jagaan anak-anaknya.
Cerita wanita itu, keempat-empat orang anaknya terpaksa menjalani kehidupan yang sukar bagi menyara keluarga dan menyekolahkan anak masing-masing.
"Saya tahu saya membebankan hidup mereka. Saya juga tidak sanggup mati di tangan anak-anak sendiri, jadi lebih baik saya hidup bersendirian," katanya.
Maariyamma memberitahu, sebelum amalan thalaikoothal dijalankan, anak-anak akan memaklumkan perkara itu terlebih dulu kepada kedua-dua ibu bapa mereka.
"Ada sesetengah daripada warga emas ini yang secara sukarela mahu perkara itu dilakukan ke atas diri mereka dan ada juga yang bertindak sebaliknya," katanya.
Amalan thalaikoothal dimulakan dengan memandikan ibu bapa yang uzur dengan sejenis minyak khas pada malam sebelum kejadian.
Keesokan harinya, mereka akan diberi minum air kelapa muda yang telah disejukkan diikuti sejenis minuman yang diperbuat daripada ekstrak daun tulsi.
'Terapi susu'
Menurut Pakar Perubatan di Madurai, Dr. Ashok Kumar, amalan meminum air kelapa muda secara berlebihan selepas menjalani ritual mandi minyak boleh mengakibatkan kegagalan fungsi buah pinggang.
"Air kelapa diketahui umum sebagai ejen penyejuk. Hal ini boleh menyebabkan suhu badan menurun daripada 36.5 darjah Celcius kepada 33 darjah Celcius. Keadaan ini menyebabkan elektrolit jadi tidak seimbang sehingga mengganggu metabolisme tubuh.
"Biasanya, dalam tempoh 24 hingga 48 jam, mereka boleh diserang demam panas. Lebih buruk, ia juga boleh mengakibatkan jantung terhenti.
"Warga tua selalunya akan mati mengejut jika diserang demam sebegini ekoran sistem imunisasi tubuh yang sudah sedia lemah," jelasnya.
Selain itu, terdapat beberapa cara lain yang digunakan untuk menamatkan riwayat warga emas tersebut iaitu menerusi kaedah 'terapi susu' atau memberi minum susu secara paksa.
"Hidung mereka akan dikepit rapat dan susu itu akan dimasukkan ke dalam mulut tanpa henti sehingga mangsa tersedak dan meninggal dunia serta-merta," kata seorang lagi penduduk tempatan, Paul Raj.
Menurutnya, beberapa hari sebelum 'terapi susu' dijalankan, mangsa akan dibiarkan kebuluran.
"Makanan pejal tidak akan diberikan sehinggalah hari 'terapi susu' tiba. Susu yang dituangkan ke dalam mulut tanpa henti akan menyebabkan hidung tersumbat lalu memasuki rongga pernafasan dan akhirnya boleh mengakibatkan kematian," katanya


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0823&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm#ixzz3jiNnkZ6I 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan