18 Mei 2015

Artikel Menarik Mei (2015) - Tekanan penyebab kes bunuh

TEKANAN daripada orang sekeliling boleh mendorong individu bertindak di luar kawalan. – Gambar hiasan

KHAMIS lalu, orang ramai dikejutkan dengan berita mengenai pembunuhan yang melibatkan seorang wanita yang ditikam tunangnya di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Mangsa, Nur Salina Nazir, 34, ditemui dalam keadaan terlentang tidak bernyawa dalam kereta Proton Wira miliknya dengan tujuh kesan tikaman pada anggota badan.
Kejadian yang dipercayai berlaku pada malam Selasa lalu bagaimanapun hanya diketahui sehari kemudian, selepas bapanya, Nazir Ramli, 67, menyedari kehilangan anaknya.
Menurut abang mangsa, Nor Salizam Nazir, 40, pada malam kejadian, adik bongsunya yang membuka perniagaan online dikatakan keluar bersama tunangnya yang berusia 26 tahun untuk menghantar barang tempahan pelanggan.
Desak kahwin
“Selalunya apabila selesai urusan tersebut, dia akan pulang ke rumah, namun pada hari kejadian, bayangnya tidak lagi kelihatan selepas dia melangkah keluar.
“Kami sekeluarga kemudian cuba menghubunginya, namun percubaan tersebut gagal,” ujarnya.
Jelas Nor Salizam, curiga dengan kejadian tersebut, bapanya kemudian bertindak mencari mangsa dengan berjumpa tunangnya yang bekerja sebagai guru agama di sebuah sekolah di Kuala Kubu Bharu.
Pertemuan tersebut akhirnya membawa kepada penemuan mayat mangsa yang sudah tidak bernyawa dalam keadaan menyayat hati.
Siasatan awal mendapati, suspek yang merupakan tunang mangsa mengaku membunuh wanita tersebut dengan menikam mangsa menggunakan sebilah pisau.
Perbuatan tersebut dikatakan berlaku selepas mangsa mendesak suspek untuk segera berkahwin dengannya.
Kejadian yang sama berlaku terhadap seorang wanita, Rosshida Abdullah, 30, Rabu lalu selepas dia dipercayai dibunuh oleh tunangnya.
Mayat mangsa yang bekerja di sebuah restoran sekitar Shah Alam dikatakan ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam belukar, di bawah jambatan susur keluar Putrajaya ke Pulau Meranti, Cyberjaya, kira-kira pukul 5 petang Selasa lalu.
ROSSHIDA ABDULLAH mati setelah dicekik sebelum dihumban ke bawah jambatan oleh tunangnya Selasa lalu.

Turut ditemui bersama mangsa ialah sekeping nota yang menceritakan pelbagai masalah termasuk tekanan perasaan kerana diburu ah long setelah berhutang sebanyak RM50,000.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Abdul Aziz Ali berkata, siasatan awal terhadap suspek yang berasal daripada Kota Bharu, Kelantan mendakwa, dia merupakan tunang kepada mangsa.
Ujar Abdul Aziz, ekoran daripada kejadian tersebut, suspek mengaku telah mencekik mangsa sebelum mencampaknya ke bawah jambatan.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan kerana membunuh.
Emosi
Dalam pada itu, Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud dalam mengulas dua insiden tersebut berkata, kelakuan seseorang individu boleh berubah disebabkan oleh ­de­sakan­ dan tekanan yang diterima daripada orang sekeliling.
“Jika difikir secara logik, individu tidak akan sewenang-wenangnya bertindak di luar kawalan sehingga menyebabkan berlakunya kematian.
“Lazimnya perbuatan tersebut didorong oleh faktor tekanan yang diberikan oleh orang sekeliling. Jika seseorang itu sering didesak dengan perkara yang boleh mendatangkan kemarahan kepada mereka, kebarangkalian untuk individu bertindak di luar kawalan adalah tinggi,” jelasnya.
Tambah Fatimah lagi, disebabkan itu, tidak mustahil jika perkara yang kecil juga boleh menyebabkan berlakunya pembunuhan dan kematian.
Justeru itu jelas Fatimah, bagi mengelakkan gejala itu daripada berterusan, individu disarankan untuk belajar mengawal emosi.
“Kita perlu belajar cara bagaimana untuk menangani tekanan dengan betul. Jika boleh ia perlu ditekankan sejak di bangku sekolah lagi bagi mengelakkan kejadian-kejadian seperti ini daripada terus berulang.
“Bukan itu sahaja, orang ramai juga disaran supaya membataskan diri daripada menonton filem-filem aksi dari negara barat. Ini kerana, kandungan penceritaan yang terlalu ganas mampu mendorong individu untuk meniru aksi-aksi yang ditonjolkan jika mereka berada di luar kawalan,” jelasnya.


RUJUKAN : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3ZsvaamXR 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan