12 Mei 2015

Artikel Menarik Mei (2015) - Perabot daripada tumbuhan semula jadi


MUNRO bersama bingkai lampu daripada pokok yang terbentuk secara semula jadi.

KERANA minat dan cintakan alam semula jadi, seorang pereka dari Britain telah menghasilkan rekaan perabot rumah menakjubkan serta mesra alam daripada pokok yang ditanam sendiri.
Pereka itu, Gavin Munro telah­ menghasilkan perabot-perabot tersebut dengan menggunakan acuan plastik yang direka khas dan melalui beberapa proses pangkas sebelum membentuk dahan-dahan pokok itu menjadi rangka perabot yang kukuh.
Melalui kaedah yang dipraktikkan itu, Munro berjaya mereka beberapa prototaip atau rangka lampu daripada dahan kayu yang ditanam di ladangnya di Derbyshire dalam wilayah Shire, Britain.
Dalam pada itu, lelaki berusia 39 tahun itu juga sedang menanam kira-kira 400 buah pokok berbentuk meja, kerusi serta bingkai lampu.
Munro yang sememangnya seorang pencinta alam sekitar percaya bahawa teknik yang digelar pembuatan botanikal itu mampu menjana pertumbuhan keles­tarian dan memelihara ekologi pembuatan perabot pada skala yang besar suatu hari nanti.
“Saya berlatih dengan mencantas dahan pada pokok muda dan membentuknya apabila pokok mula membesar,” kata Munro yang bekerja bersama isterinya, Alice.
Bercerita tentang kaedah yang digunakan, Munro memberitahu, dia tertarik untuk menggunakan cara menghasilkan perabot itu secara natural kerana langkahnya seperti percetakan 3D yang menggunakan udara, tanah dan cahaya matahari sebagai bahan sumber semula jadi.
POKOK-POKOK ditanam pada acuan mengikut bentuk perabot yang diinginkan.

Selepas pokok mula membesar dan menjadi bentuk seperti yang diinginkan, Munro akan terus membiarkan pokok itu betul-betul matang sebelum memotongnya pada musim sejuk dan membiarkannya kering.
Munro akan memilih pokok-pokok yang mempunyai daya tahan yang kuat dan cepat tumbuh bagi setiap rekaan perabotnya, malah dia kini turut menghasilkan perabot daripada beberapa jenis pokok seperti pokok ash, hazel dan oak.
Idea untuk menghasilkan pe­rabot secara semula jadi tercetus sewaktu lelaki itu bekerja sebagai tukang kebun di San Francisco,­ Amerika Syarikat dan pernah menghasilkan perabot daripada kayu hanyut pada waktu lapang.
Munro yang kini mengusahakan syarikat miliknya, Full Grown telah menuai hasil pertamanya berupa meja, kerusi dan rangka lampu, sedang mempersiapkan hasil tanaman pe­rabotnya yang lebih kompleks berupa rak buku dan laci.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz3ZstZMtLK 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan