08 Mei 2015

Artikel Menarik Mei (2015) - Mendaki cenuram di Tebing Barat


Rakan-rakan di bawah memberi sokongan moral kepada rakannya yang sedang memanjat tebing batu.



Menggenggam erat bongkah batu sambil mencari tempat sesuai untuk berpijak, Salwa Khashan perlahan-lahan memanjat dinding batu keras di kawasan Tebing Barat yang didiami oleh warga Israel sambil kawan-kawannya di bawah menjerit memberi kata-kata semangat.
Salwa dan rakan-rakannya ialah kumpulan pertama dari Palestin dianugerahkan sijil selepas berjaya menamatkan kursus memanjat Wadi Climbing yang berlangsung selama tiga hari di bahagian utara Ramallah.
“Saya gembira melakukan aktiviti ini dan ia mengajar saya banyak perkara.
“Saya belajar untuk menolak diri dengan menggunakan kekuatan mental dan fizikal bagi mencari jalan untuk memanjat,” kata Salwa yang tinggal di timur Baitulmuqaddis yang dikuasai rejim Zionis sejak 1967.
Menurut gadis yang berusia 23 tahun itu, dia dan kumpulan pendaki yang lain berterima kasih kepada dua pemuda warga Amerika Syarikat kerana berkongsi minat memanjat dan memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman itu.
Will Harris Chicago dan Tim Bruns yang berasal dari Connecticut mengembara ke Tebing Barat dengan satu tujuan.
“Bruns dan saya datang ke Palestin adalah untuk membangunkan komuniti memanjat tembok dinding di sini.
“Kami telah menjelajah sebahagian besar Palestin dan melihat terdapat kawasan yang mempunyai potensi besar untuk melakukan aktiviti ini,” ujar Harris Chicago.
Mereka berdua dan beberapa rakan lain memulakan aktiviti tersebut dengan melakukan beberapa ujian memanjat di kawasan Ramallah.
Selepas itu, mereka menganjurkan aktiviti tersebut dengan membabitkan penduduk sekitar termasuk rakyat asing yang tinggal di situ.
Kemudian, baru mereka memutuskan untuk melancarkan projek Wadi Climbing.
Kini, mereka berusaha untuk membangunkan pusat aktiviti memanjat tembok dinding yang pertama di Palestin.
Mustahil
Nadine Abu Rmeileh yang kali pertama mencuba aktiviti tersebut berkata, ia merupakan satu pengalaman yang sukar untuk dilupakannya.
“Sukar untuk menggambarkan perasaan apabila saya berjaya sampai ke puncak.
“Pada mulanya, apabila melihat tebing tinggi, saya fikir amat mustahil untuk di panjat. Begitupun, apabila saya mengangkat kaki dan mula memanjat tanpa disedari, saya berjaya sampai ke bahagian atas dan ia merupakan satu pencapaian yang hebat,” ujarnya.
Wadi Climbing diasaskan oleh dua rakyat Amerika Syarikat, Harris Chicago dan Bruns.

Dalam pada itu, sekumpulan 12 orang berkumpul di lokasi tersebut dan mereka kemudiannya dipisahkan menjadi tiga pasukan mengikut keupayaan masing-masing iaitu baru belajar, sederhana dan mengambil ujian.
Mereka yang baru belajar diberi sepasang kasut khas sebelum diajar perkara-perkara asas dan teknik yang betul untuk melakukan aktiviti tersebut.
“Ia sungguh menakutkan, tetapi anda perlu memaksa diri untuk membuat sesuatu yang belum pernah dilakukan terutamanya di negara yang sentiasa bergolak ini,” ujar Omar Abu Arra yang berasal dari Jenin, sebuah bandar yang terletak di utara Tebing Barat.
Mencari lokasi
Mencari lokasi yang sesuai untuk aktiviti tersebut di Tebing Barat sememangnya mempunyai cabarannya yang tersendiri.
“Amat sukar untuk mencari lokasi memanjat yang sesuai di Palestin.
“Disebabkan itu, kami mahu membangunkan kawasan baharu untuk aktiviti ini yang boleh dimasuki oleh orang Palestin tanpa dihalang oleh pihak Israel,” kata Bruns.
Akhirnya projek Wadi Climbing berjaya ditubuhkan di dua tempat iaitu di Ain Qiyani dan Yabrud yang terletak dalam satu kawasan di Tebing Barat dan dikawal oleh orang awam Palestin dan kawalan keselamatan Israel.
Apa yang mendorong mereka untuk mengembara ke kawasan Tebing Barat dan melaksanakan projek tersebut adalah untuk mengisi kegiatan masa lapang penduduk-penduduk di wilayah-wilayah Palestin.
“Kami rasa terkejut dan sedih dengan kekurangan tempat untuk rakyat Palestin berekreasi,” kata Bruns.
Kedua-dua pemuda tersebut mengajar kursus sebahagian besarnya dalam bahasa Inggeris dan diselang seli dengan bahasa Arab yang mereka pelajari semasa bersama-sama melakukan aktiviti mendaki di Jordan.
Sementara itu, Rami Zughayer, 27, berkata, dia mengetahui tentang projek tersebut daripada kakaknya yang telah mengikuti kursus itu.
“Kali pertama kakak saya pergi, saya fikir ia satu aktiviti yang bodoh.
“Kemudian saya melihat gambar dia memanjat sebuah cenuram setinggi hampir 20 meter dan saya memberitahunya, saya juga akan datang menyertainya,” ujarnya. – AFP


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3ZVYlqHL9 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan