22 Mei 2015

Artikel Menarik Mei (2015) - Suntik darah cantikkan wajah

SUNTIKAN vampire mampu menjadikan kulit kekal remaja.



WAJAHNYA kelihatan pucat saat pertama kali diperkenalkan dengan kaedah rawatan vampire.
Mana tidaknya, mendengar nama rawatan sahaja sudah cukup menakutkan, apatah lagi apabila diberitahu teknik rawatan yang dijalankan menggunakan kaedah suntikan darah pada permukaan wajah.
Namun, apabila memikirkan masalah wajah yang semakin merungsingkan, Mimiwati Zainal, 38, nekad untuk beradu nasib dan mencuba sendiri rawatan tersebut.
“Siapa yang tidak takut apabila jarum suntikan singgah di bahagian muka. Bukan satu atau dua, tetapi lebih daripada lima jarum suntikan pada satu masa.
“Namun, melihat kesan positif yang diperolehi selepas mencuba sendiri kaedah rawatan vampire ini, ia membuatkan saya semakin yakin dengan teknik rawatan biarpun prosedur yang dilakukan sedikit menyakitkan,” jelasnya.
Ujar Mimiwati, sikap skeptikalnya terhadap produk kosmetik membuatkan dia memberanikan diri untuk mencuba sendiri kaedah rawatan tersebut.
Tambahan pula melalui kaedah rawatan vampire ini, individu tidak tercemar dengan penggunaan bahan-bahan kimia. Sebaliknya, rawatan yang dijalankan seratus peratus menggunakan sel stem yang terdapat di dalam sel darah merah milik individu itu sendiri.
Popular
Menggunakan kaedah rawatan yang sama seperti selebriti popular antarabangsa, Kim Kardashian, menurut Sueraz Jaaman, 44, perubahan usia dan kesan jeragat yang terdapat di permukaan kulit muka membuatkan dia nekad mencuba kaedah rawatan vampire.
Biarpun terpaksa membelanjakan ribuan ringgit, namun Sueraz berpuas hati apabila melihat perubahan yang ketara pada wajahnya.
“Jika sebelum ini kita hanya mendengar kaedah ini diguna pakai di negara-negara barat sahaja, namun kini saya berbangga apabila kaedah ini turut digunakan di dalam bidang estetik di Malaysia.
“Malah, saya turut gembira setelah menjadi salah seorang daripada individu yang menggunakan kaedah ini. Lebih-lebih lagi apabila melihat hasil yang begitu positif selain permukaan kulit yang tidak dicemari dengan penggunaan bahan kimia yang lain,” jelasnya.
Rawatan vampire atau nama saintifiknya Platlet Rich Plasma (PRP) merupakan kaedah merawat kulit menggunakan sel stem yang terdapat di dalam darah pesakit.
Menurut Pengamal Estetik Klinik Pesona, Dr. Abdul Jamil Jamal Buhari, biarpun kaedah rawatan vampire masih lagi kedengaran asing di negara ini, namun ia sebenarnya telah lama diguna pakai di beberapa buah negara maju seperti Jepun dan Eropah.
“Pada asalnya, kaedah rawatan vampire ini sering digunakan di dalam perubatan terutamanya penyakit-penyakit kronik seperti pembedahan jantung, ortopedik dan urologi, namun disebabkan skop perubatan ini semakin meluas, ia kemudian mula digunakan oleh atlet-atlet untuk merawat tisu ligamen dan tendon yang terkoyak.
“Bagaimanapun, bermula pada tahun 2000, rawatan ini mula digunakan dalam bidang perubatan estetik terutamanya untuk merawat parut pada wajah selain mengekalkan keremajaan kulit,” jelasnya.
Darah akan dimasukkan ke dalam tabung khas untuk tujuan pengasingan sel.

Selain perubatan estetik, suntikan rawatan vampire ini sesuai dipraktikkan untuk merawat masalah keguguran rambut dan menyembuhkan luka bagi pesakit kencing manis.
Lazimnya, rawatan vampire boleh dijalankan terhadap individu seawal umur 18 tahun.
Sel stem
Lazimnya, penggunaan produk kosmetik merupakan antara pendekatan yang sering digunakan oleh orang ramai, terutamanya golongan wanita untuk merawat masalah pada bahagian wajah.
Bagaimanapun menurut Abdul Jamil, kaedah penggunaan darah iaitu rawatan vampire terbukti lebih berkesan dalam merawat masalah tersebut memandangkan kandungan estetik yang tinggi di dalam darah mampu merangsang tumbesaran hormon secara semula jadi.
Tambahan pula, rawatan ini tidak melibatkan penggunaan bahan-bahan kimia yang lain.
“Menerusi rawatan ini, darah pesakit akan digunakan sebagai sumber untuk mendapatkan sel stem. Ini kerana, darah merupakan sumber yang mudah diproses berbanding sumber-sumber lain seperti daripada bahagian lemak atau sum-sum tulang.
“Tambahan pula, darah terbina daripada empat sel utama iaitu sel darah merah, putih, platlet dan plasma darah yang kesemuanya merupakan sel-sel hidup. Ditambah pula dengan kehadiran sel cytokine di dalam kandungan darah, ia secara tidak langsung membantu merangsang pembentukan darah baharu,” jelasnya.
Disebabkan itu, sel darah merah digunakan dalam rawatan vampire.
Sel baharu
Menurut Abdul Jamil lagi, rawatan yang mengambil masa 45 minit itu tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan terhadap pesakit memandangkan ia tidak menggunakan bahan lain, melainkan sel stem yang terdapat di dalam tubuh individu itu sendiri.
Bagaimanapun, bagi mengelakkan sebarang komplikasi sewaktu rawatan dijalankan, individu dilarang untuk mengambil ubat cair darah atau jamu sekurang-kurangnya tiga hari sebelum rawatan.
Rawatan vampire tidak mendatangkan kesan sampingan memandangkan ia hanya melibatkan penggunaan darah milik individu itu sendiri


“Bagi setiap rawatan vampire yang dijalankan, sebanyak 20 hingga 50 mililiter darah akan diambil daripada lengan pesakit.
“Darah tersebut kemudian akan diletakkan di dalam sebuah tabung khas sebelum dimasukkan di dalam mesin yang dipanggil centrifuge kira-kira 15 minit untuk memisahkan serum dan sel darah merah yang mengandungi sel stem, platlet serta hormon,” jelasnya.
Tambah Abdul Jamil, setelah proses pemisahan dijalankan, hanya plasma iaitu cecair bening yang berada di atas permukaan darah akan digunakan dalam rawatan tersebut memandangkan lapisan tersebut mempunyai banyak sel penyembuhan.
Cecair yang dikenali sebagai platlet darah itu kemudian akan diasingkan dan dipindahkan ke tiub khas bebas kuman sebelum disuntik ke bahagian-bahagian tertentu.
“Lazimnya, suntikan platlet akan dilakukan pada tiga baha­gian utama iaitu pipi, dagu dan lekuk wajah menggunakan jarum suntikan yang kecil bagi mengelakkan sebarang kesan.
“Individu bagaimanapun ti­­dak perlu risau kerana proses rawatan ini tidak menyakitkan kerana pesakit akan disapu krim kebas bagi mengelakkan kesakitan,” jelasnya.
Suntikan tersebut berupaya membina sel-sel baharu bagi menggantikan sel yang telah rosak dan membuatkan permukaan kulit lebih anjal dan gebu secara semula jadi.
Bagaimanapun ujar Abdul Jamil, kesan rawatan tersebut hanya dapat dilihat dalam tempoh dua minggu selepas rawatan dijalankan.


RUJUKAN : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3ZsuSFsGh 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan