Seorang Profesor Sains Fizik dari A.S ada membuat kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Dari sudut ilmu fizik, tubuh badan manusia mempunyai dua cas elektrik, positif dan negatif. Dalam aktiviti seharian samada bekerja, bergerak, berfikir, beriadhah, banyak tenaga akan digunakan. Proses pembakaran tenaga ini akan melibatkan pertukaran cas-cas positif dan negatif yang menjuruskan kepada ketidakseimbangan cas di dalam badan manusia. Natijahnya rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Cas-cas ini perlu diseimbangkan semula supaya kesegaran tubuh boleh dikembalikan ke tahap normal.
Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan dari sudut beliau sebagai seorang non muslim, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa bilangan rakaat solat fardhu di dalam Islam tidak sama. Dimaklumi, semasa solat berjemaah kita dituntut melurus dan merapatkan saf, bersentuhan kaki dan bahu. Dari sudut sains, sentuhan tubuh yang berlaku antara ahli jemaah yang berada di kiri dan kanan akan menyeimbangkan kembali cas – cas di dalam tubuh apabila proses pertukaran cas ini berlaku dengan cas yang berlebihan di dalam badan akan ditarik keluar dan cas yang berkurangan akan ditarik ke dalam badan. Semakin lama sentuhan dan pergeseran tubuh berlaku, keseimbangan akan semakin stabil. Persoalannya, sebagai seorang pengkaji yang tidak beriman kepada Allah, kenapa pula solat fardhu mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.
Secara logik, setiap kali manusia bangun dari tidur di pagi hari, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat beberapa jam. Tubuh mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Kita hanya memerlukan sedikit sahaja lagi pertukaran cas supaya keseimbangan penuh boleh berlaku. Sebab itulah solat Subuh didirikan dua rakaat.
Setelah seharian kita memeras tenaga dari pagi hingga tengah hari, berlaku banyak kehilangan cas-cas dari tubuh. Keletihan dan kelesuan adalah kesan langsung. Solat berjemaah yang disyariatkan oleh Islam berperanan untuk memulihkan cas-cas berkenaan. Solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk member ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas di dalam tubuh.
Situasi yang sama turut berlaku di waktu petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Hasilnya, sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Sebagaimana solat Zuhur, empat rakaat solat Asar yang didirikan memberi ruang yang lebih lama untuk proses pertukaran cas.
Lazimnya, selepas waktu asar dan pulang dari kerja, manusia tidak lagi melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan juga agak singkat. Maka, solat Maghrib dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya.
Timbul persoalan di fikiran Profesor ini tentang solat Isyak yang mengandungi empat rakaat. Logiknya, di waktu malam tidak banyak aktiviti menggunakan tenaga yang dilakukan dan selang waktu juga tidak lama. Setelah penelitian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa disyariatkan empat rakaat solat Isyak. Islam amat menggalakkan ummatnya bangun beribadat di sepertiga malam. Waktu solat Isyak yang panjang sebanyak empat rakaat badan akan mengumpulkan bekalan cas dan tenaga yang cukup sebagai bekalan untuk bangun menyembah Allah di malam hari. Subhanallah.
PENUTUP
Solat satu ibadah khusus, penyembahan seorang hamba kepada Allah yang telah menciptakannya. Diperintahkan melalui nas yang qat’ie di dalam Al Quran. Sungguh ia satu anugerah agung dari Tuhan Rabbul Jalil yang perintahNya bersesuaian dengan fitrah kejadian dan naluri manusia. Tiada satu ruang untuk tidak mengerjakannya dengan alasan yang direka-reka kerana Allah maha mengetahui dengan apa yang diperintah dan apa yang dilarang-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan