KUALA LUMPUR: Warisan budaya dan
seni Kelantan yang diiktiraf UNESCO akan dipamerkan di Washington D.C, Amerika
Syarikat (AS) buat kali pertama bulan ini melalui program Diplomasi Budaya
"Sounds and Soul of the East Coast".
Kedutaan Malaysia
di Washington D.C dalam satu kenyataan yang disediakan kepada Bernama di sini
pada Sabtu berkata, acara eksklusif itu akan memperkenalkan keindahan karya
seni dari Kelantan kepada penonton yang terdiri daripada diplomat, pegawai
Kerajaan Persekutuan AS dan pakar industri pelancongan.
Peserta yang
menghadiri acara itu akan berpeluang menikmati dan menyaksikan wayang kulit,
tarian, muzik dan ritual rawatan tradisional dari Kelantan.
"Kebudayaan
memainkan peranan penting dalam diplomasi, berfungsi sebagai jambatan yang
memupuk persefahaman dan hubungan antara negara.
"Adat resam
dan tradisi adalah alat yang kuat yang membolehkan kita untuk lebih memahami
intipati budaya yang berbeza, akhirnya membawa kepada pemahaman yang lebih baik
tentang rakyat mereka," menurut Duta Malaysia ke AS Datuk Seri Nazri Aziz
dalam kenyataan itu.
Berlangsung dari 19
hingga 30 Oktober, peserta akan dapat mengalami persembahan dan demonstrasi,
termasuk wayang kulit Kelantan, perubatan kerohanian Main Teri, tarian Tari
Inai, seni bela diri Silat Jawi dan persembahan muzik, Dikir Barat.
Teater Mak Yong,
yang diiktiraf oleh Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan
UNESCO akan menjadi tumpuan utama dalam program budaya ini.
"Sounds and
Soul of the East Coast (berkaitan dengan pantai timur semenanjung Malaysia)
menandakan acara sulung dalam siri program diplomasi budaya yang akan dihoskan
oleh Nazri," menurut kenyataan itu.
Program-program itu
bertujuan untuk mempromosikan seni dan budaya Malaysia sebagai penyatuan kepada
identiti kebangsaan, menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan
mencipta momentum menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Tambahan
pula, inisiatif itu memainkan peranan penting dalam memupuk celik budaya
Malaysia dalam kalangan diaspora di AS dan masyarakat global," tambahnya. –
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan