26 Jun 2023

Artikel Menarik - Kerap menjerit, hempas badan akibat sindrom tourette

PERGERAKAN atau pertuturan tidak terkawal, misalnya ada yang mengelipkan mata dengan kerap, menjerit, melompat-lompat, malah melakukan gerakan yang boleh mengundang kecederaan seperti menghempaskan badan.

Situasi itu sering dianggap aneh, disalah tafsir sebagai pesakit mental dan disisihkan, namun itulah antara dilema dihadapi penghidap Sindrom Tourette.

Persepsi sebegini kerap terjadi kerana penyakit jarang jumpa ini yang boleh membuatkan individu rasa tidak menentu dan terkawal dan berdepan kemurungan akibat stres.

Pakar Perunding Neurosurgeri dan Pengarah Perubatan, MSU Medical Centre, Prof Dr Badrisyah Idris, berkata kesedaran mengenai Sindrom Tourette masih rendah, disebabkan ia sukar dijumpai di negara ini.

"Saya pasti ada penghidap sindrom ini di sekeliling kita, cuma ia sukar nak dikenal pasti. Biasanya kena perhatikan lama, baru boleh kenal pasti sama ada individu itu penghidap sindrom tourette.

"Jadi, kerana itu ada banyak salah tanggapan dalam kalangan masyarakat, misalnya menganggap ia penyakit kenan, malah ada segelintir berpandangan seolah-olah individu ini mengada-ngada, buang tabiat dan berkelakuan tidak senonoh.

"Susah sebenarnya nak bezakan antara Simptom Tourette atau tabiat. Misalnya ada tabiat seperti kelip mata dan kerap berdehem boleh dikaitkan dengan simptom ini," katanya.

Gangguan pada saraf otak

Memperincikan mengenai penyakit itu, Dr Badrisyah berkata, sehingga kini masih belum ada kajian saintifik secara mendalam mengenainya, malah tiada bukti mengaitkan ia dengan faktor genetik.

"Simptom ini disebabkan gangguan pada saraf otak. Ia mungkin disebabkan oleh gangguan pada perkembangan otak, sehingga membawa kepada pergerakan atau suara yang tidak terkawal.

"Kawasan otak yang terbabit dipanggil basal ganglia, ia mengawal pergerakan kita. Ada pergerakan yang boleh dikawal secara 'voluntary' (sendiri), spontan dan ada yang tak terkawal secara spontan. Otak kita ini ada satu tempat di mana emosi mengawal pergerakan dan pertuturan.

"Pergerakan ketika diserang simptom ini mungkin disebabkan ada gangguan kawalan emosi dan tak boleh dikawal," katanya.

"Sebab itu kadang kala penghidap Tourette ini, kalau dia cuba nak tahan, dia rasa tak sedap...perlu lepaskan juga.

"Sama seperti keadaan kita nak bersin, tak boleh ditahan-tahan. Jadi sesiapa yang mengalaminya, kawalan emosi kepada pergerakan itu tak menentu dan tak terkawal," katanya.

Gejala Simptom Tourette

Dr Badrisyah berkatan, Simptom Tourette dikaitkan dengan gejala yang teruk, manakala gerenyet, bagi yang mengalami simptom ringan.

Gejala bagi individu menghidap penyakit ini berbeza-beza, individu berdepan simptom ringan, mungkin hanya melakukan satu pergerakan tidak kompleks seperti kerap berdehem atau mengerit gigi.

"Bagi individu yang berdepan Simptom Tourette teruk, boleh berdepan dua atau tiga pergerakan mahupun bunyi suara yang kompleks.

"Mereka yang hanya diserang gejala ringan juga ada kemungkinan boleh berdepan keadaan lebih serius, misalnya pertambahan gerakan lain.

"Misalnya, ketika awal menghidapnya, cuma saraf kenyit mata tak berhubung dengan saraf mengawal emosi untuk kenyit mata.

"Selepas setahun dua atau beberapa bulan, mungkin boleh bertambah pergerakan atau masalah pertuturan lain," katanya yang turut memberitahu, serangan dihadapi penghidapnya juga boleh hilang dengan sendiri dan tingkah laku kembali normal.

Lelaki kerap hidap Simptom Tourette

Purata umur penghidap Simptom Tourette paling kerap dijumpai dalam kalangan kanak-kanak, lingkungan umur sekitar lima hingga 15 tahun.

Bagaimanapun, ia lebih banyak menyerang lelaki iaitu tiga atau empat kali lebih kerap berbanding perempuan.

"Tak semestinya mendapat simptom ini ketika lahir. Ada yang dapat penyakit ini waktu sekolah rendah.

"Ada kebanyakannya apabila masuk sekolah menengah atau universiti hilang (gejala) dengan sendiri. Ada juga sebilangan kecil gejala dihadapi mereka sehingga dewasa. Itu kebanyakannya bagi mengalami sindrom lebih teruk," katanya.

Punca diserang

Mengupas lanjut berhubung punca kelompok kanak-kanak paling ramai diserang penyakit berkenaan, katanya ini dipengaruhi keadaan otak mereka yang masih dalam fasa sedang berkembang.

Dalam proses otak berkembang, simptom ini boleh menyerang mungkin disebabkan stres atau sedang cuba belajar benda baharu atau dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran.

"Faktor persekitaran juga boleh mempengaruhi perkembangan otak. Sebab itu kebanyakan sindrom ini terjadi ketika usia muda," katanya.

Mengenai kaedah rawatan bagi penghidap Simptom Tourette, terdapat beberapa pilihan bergantung kepada tahap serangan masing-masing.

"Ada ubat-ubatan diberikan bagi mengawal gejala dan emosi pesakit. Ini disebabkan ada pesakit cenderung berdepan kemurungan akibat stres kerana tak diterima masyarakat.

"Selain itu, selalunya pesakit diberikan rawatan terapi tingkah laku untuk mengawal gejala dihidapi.

"Tetapi sekiranya ada berdepan gejala teruk, boleh dibuat pembedahan otak untuk memasukkan wayar elektrod ke dalam kawasan di mana gangguan berlaku. Kita panggil prosedur ini sebagai 'deep brain stimulation," katanya.

Kaedah pembedahan itu hanya disarankan kepada penghidap yang berdepan serangan kompleks, mengambil kira pembedahan otak adalah berisiko tinggi.

INFO

Simptom ringan Simptom Tourette

  • Kerap mengenyit mata
  • Suka berdehem tanpa henti
  • Mengerit gigi

Simptom yang kompleks dan teruk

  • Melompat-lompat
  • Menari tidak tentu arah
  • Menghempaskan badan

Kekerapan serangan

  • Berbeza bagi setiap pesakit
  • Paling teruk, serangan setiap seminit

Kawalan stres penting

  • Mungkin pesakit terdedah kepada penyakit mental
  • Gangguan emosi

SUMBER: https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2023/06/1118721/kerap-menjerit-hempas-badan-akibat-sindrom-tourette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan