07 April 2023

Puasa kurangkan gejala kemurungan

 

MANFAAT berpuasa amat banyak, selain memberi kebaikan kepada kesihatan fizikal, ia turut memberi kesan positif kepada kesihatan mental.

Menurut Perunding dan Pakar Psikiatri Hospital Burjeel, Abu Dhabi, Dr Nada Omer Mohamed Elbashir, keyakinan individu akan semakin meningkat dan memberi kesan positif kepada kesihatan mental kepada mereka yang menjalani ibadah puasa.

"Individu yang berpuasa mengalami peningkatan dalam menangani gejala kemurungan, kebimbangan dan tekanan.

"Mereka juga melaporkan penurunan keletihan dalam minggu kedua berpuasa. Ini boleh dikaitkan dengan metabolisme keton dan kesan anti-radangnya yang menyumbang kepada tahap tekanan yang lebih rendah." katanya.

Justeru, penghantar saraf (neurotransmitter), iaitu komponen kimia penting otak untuk menghantar isyarat sekali gus mempengaruhi cara kita bercakap, berfikir dan apa yang kita rasakan.

"Banyak kajian menunjukkan puasa boleh meningkatkan tahap serotonin dalam darah, jadi 'neurotransmitter' sangat dikaitkan dengan kemurungan dan kebimbangan.

Dopamine pula, satu lagi penghantar saraf yang telah dikaitkan dengan kemurungan dan psikosis, nampaknya tidak berubah dengan berpuasa.

"Bagaimanapun, kajian lanjut sedang dijalankan pada masa hadapan yang mungkin boleh membuktikan sebaliknya," katanya.

Pantau kesihatan fizikal


Dalam pada itu, pakar juga menegaskan ketika Ramadan individu yang berisiko kepada komplikasi perubatan atau mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental sedia ada tidak digalakkan berpuasa.

Namun, penting individu memantau kesihatan fizikal dan mental, selain mendapatkan bantuan dan nasihat doktor bagi melihat keadaan mereka termasuk yang mengambil ubat berkaitan kesihatan mental sebelum berpuasa.

Pengambilan ubat menepati masa juga penting, terutama apabila tahap terapeutik dalam darah diperlukan.

Contohnya, mereka yang mengalami gangguan bipolar dan skizofrenia harus mengekalkan pengambilan ubat-ubatan seperti disyorkan.

"Ramai orang bergelut untuk menyesuaikan pengambilan ubat pada siang hari ketika Ramadan.

"Disyorkan ubat diambil dalam dos yang ditetapkan jika memilih untuk berpuasa dan ia boleh disesuaikan ketika berbuka puasa dan bersahur.

"Bagaimanapun, individu itu perlu mendapatkan nasihat pakar mengenai pengambilan ubat, sekiranya memilih untuk berpuasa dan mengubah masa pengambilannya" katanya.

Puasa mengurangkan tekanan, kemurungan

Pakar Psikiatri dari International Modern Hospital Dubai, Dr Farinaz Aghajan Nashtaei, pula berkata beberapa kajian menunjukkan puasa boleh memberi kesan positif kepada kesihatan mental seperti mengurangkan tekanan, kebimbangan dan gejala kemurungan.

"Sebagai contoh, satu kajian mendapati berpuasa pada Ramadan membawa kepada pengurangan ketara kepada tahap tekanan dan kebimbangan dalam kalangan respondan.

"Satu lagi kajian mendapati puasa boleh meningkatkan neuroplastisitas yang turut menyumbang kepada pengurangan gejala kemurungan," katanya.

Sebagai tambahan kepada manfaat kesihatan mental ini, Dr Nashtaei berkata, puasa juga mampu untuk meningkatkan fungsi kognitif dan mencegah penurunan kognitif yang berkaitan dengan usia.

Katanya, penyelidikan menunjukkan berpuasa boleh melambatkan neurodegenerasi dan meningkatkan pemulihan fungsi selepas strok.

"Kesan ini dianggap dimediasi oleh pelbagai mekanisme neuroendokrin psikologi, seperti peningkatan paras plasma ghrelin dan serotonin, yang boleh meningkatkan tahap mood dan fungsi kognitif," katanya.

Bagaimanapun, beliau juga menjelaskan, puasa pada Ramadan juga masih boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental.

"Dehidrasi dan keletihan boleh menyebabkan kerengsaan, perubahan mood dan kesukaran dalam penumpuan," katanya.

Di samping itu, perubahan dalam corak tidur dan diet boleh membawa kepada kebimbangan, kemurungan, dan tekanan, malah sesetengah individu juga mungkin mengalami rasa kesunyian akibat interaksi sosial yang tidak pada bulan puasa berbanding hari biasa.

Justeru, Dr Nashtaei menyarankan individu berpuasa pada Ramadan harus untuk mengambil langkah melindungi kesihatan mental mereka.

Selain itu, pembabitan dalam aktiviti fizikal dan mengekalkan hubungan sosial boleh membantu mengurangkan perasaan sunyi dan kemurungan.

"Untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental yang baik sepanjang Ramadan penting untuk mereka mengamalkan gaya hidup.

"Antaranya adalah dengan amalan pemakanan yang seimbang dan sihat, kekal terhidrat, mendapat rehat yang cukup serta melakukan aktiviti fizikal untuk mengurangkan tekanan," katanya.

Ketika Ramadan boleh menjadi pengalaman lebih bermakna dari segi kesejahteraan rohani dan fizikal.

Pakar Perunding Neurologi, Hospital Diraja NMC, Dr Sushil Garg, pula berkata ketika bulan suci ini, mereka yang berpuasa akan mengalami perubahan dalam tabiat makan, corak tidur serta rutin harian, yang boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental.

Katanya, dengan mengambil langkah sewajarnya untuk menjaga kesejahteraan fizikal dan emosi, seseorang itu boleh memastikan mereka mendapat pengalaman Ramadan dengan cara yang sihat dan penuh rohani.

Langkah berjaga-jaga bagi pesakit kronik


Selain itu, pakar neurologi di Hospital LLH Abu Dhabi, Dr Bobby Baby Panikulam, berkata Ramadan membawa makna yang sangat besar kerana ia adalah tempoh detoksifikasi mental, fizikal, rohani dan peremajaan.

"Tetapi terdapat beberapa langkah berjaga-jaga yang mesti diambil oleh pesakit yang menghidap penyakit kronik untuk memerangi masalah neurologi seperti sakit kepala, migrain, dan sawan.

"Sesetengah masalah kesihatan mental mungkin menjadi lebih teruk semasa Ramadan kerana dehidrasi, perubahan kitaran tidur-bangun, penarikan kafein dan paras glukosa darah rendah yang berlaku semasa waktu puasa.

"Pesakit yang mengalami masalah neurologi kronik seperti multiple sclerosis dan strok tetapi berpuasa perlu memantau dengan teliti sebarang gejala baharu dan segera mendapatkan rawatan perubatan jika gejala berlaku.

"Semasa Ramadan pesakit migrain harus mengelakkan faktor pencetus migrain seperti terdedah kepada cahaya yang terang, bunyi kuat, tekanan fizikal dan psikologi. Juga kurangkan pengambilan kafein dan elakkan merokok secara berlebihan ketika dan selepas iftar," katanya.

Doktor juga menasihatkan mengambil makanan yang seimbang dan sihat, rendah natrium dan tidak mengambil makanan yang diproses atau bergoreng.

"Makan lebih banyak untuk memperbaiki gejala dan meningkatkan tenaga yang diperlukan sepanjang tempoh berpuasa.

"Cuba berehat beberapa jam sebelum berbuka puasa. Pesakit neurologi juga mesti memastikan mendapat tidur yang cukup. Berpegang pada meditasi dan solat semasa Ramadan boleh membantu kekal tenang, membolehkan anda mengatasi tekanan dan emosi negatif," katanya. – AGENSI

SUMBER: https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2023/04/1085884/puasa-kurangkan-gejala-kemurungan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan