MARANG: Berbekalkan hasrat
ingin membantu masyarakat dalam menghadapi kenaikan harga barang dan
peningkatan kos sara hidup, sekumpulan sukarelawan mengambil inisiatif
mengadakan pasar percuma yang memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan
pelbagai barangan tanpa sebarang bayaran.
Pengasas program
Pasor Percuma Ganu Kite! Dr Muhammad Salehuddin Sulaiman berkata, program yang
berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang di Bukit Payong dekat
sini, disertai 35 sukalerawan yang menyumbang pelbagai jenis barangan termasuk
susu bayi, mainan kanak-kanak, baju dan buku.
Selain itu katanya, program Pasor Percuma Ganu
Kite! yang diadakan selama dua jam bermula 10 pagi tadi turut memberi peluang
kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak
masak dan bihun secara percuma. "Ini merupakan kali ke-23 kita
adakan pasar percuma sejak 2017. Konsep yang kita buat adalah 'daripada rakyat
kepada rakyat'... kita membantu meringankan beban golongan yang kurang
berkemampuan.
"Para
penyumbang pula terdiri daripada rakan-rakan saya dan mereka juga mengajak
kenalan mereka untuk menyertainya. Kami juga menghebahkan program ini dalam
media sosial untuk menarik lebih ramai penyumbang," katanya ketika ditemui
pemberita di SK Padang Mengkuang di sini hari ini.
Beliau berkata
program itu menerima sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran 1,000
pengunjung termasuk kanak-kanak yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan
pelbagai barangan yang mereka perlukan.
Seorang penyumbang
Ang Meng Siew, 40, berkata selain gembira dapat membantu masyarakat, acara
seumpama ini juga memberikan kepuasan buat dirinya apabila pelbagai barangan
dari rumahnya yang masih elok seperti mainan anak-anaknya, telah bertukar
pemilik.
"Kali pertama
saya sertai program ini pada 2020. Apabila kita dapat memberi ia bukan sahaja
menggembirakan hati penerima tetapi kita sendiri pun rasa gembira. Saya juga
dapat mendidik anak-anak untuk berkongsi rezeki dengan orang lain, barangan
antaranya mainan dan kasut mereka yang tidak lagi digunakan kini telah menjadi
milik orang lain dan tidak dibuang begitu sahaja," katanya yang menyumbang
kasut, baju dan mainan kanak-kanak.
Dalam pada itu,
seorang pengunjung Minah Musa, 71, berkata beliau sangat gembira kerana dapat
membawa pulang pelbagai barangan seperti beras dan minyak masak secara percuma
yang sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan keluarganya untuk minggu ini.
"Mak cik tahu
mengenai program ini melalui anak saudara yang turut membawa mak cik ke sini.
Syukur sangat kerana ada yang prihatin dengan nasib penduduk kampung seperti
mak cik.
"Lagipun mak
cik ini orang susah tiada pendapatan tetap dan setiap bulan hanya mengharapkan
duit belanja daripada anak-anak tetapi mereka pun tidak dapat banyak memberi
kerana hanya kerja biasa-biasa sahaja. Jadi apabila ada yang sudi beri
sumbangan memang mak cik sangat hargai," kata ibu kepada 10 orang anak
itu.
SUMBER: Astro Awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan