Kes seorang pakar perubatan hilang lebih RM10,000 daripada akaun bank seperti didedahkan media, beberapa hari lalu, adalah antara sekian banyak pelbagai jenis penipuan membabitkan hingga ratusan ribu dan jutaan ringgit.
Dalam kebanyakan kes, wang berkenaan tidak diperoleh semula,
malah mangsa mengalami trauma selepas melihat hasil penat lelah mereka lesap
akibat modus operandi 'scammer.'
Polis Diraja Malaysia (PDRM)
merekodkan lebih 71,000 kes jenayah komersial antara 2020 hingga Mei tahun ini
dengan 68 peratus berpunca penipuan dalam talian dengan kerugian lebih RM5.2
bilion.
Selain pengguatkuasaan undang-undang ketat terhadap penjenayah,
langkah pencegahan juga perlu diambil pengguna sendiri. Cara mengenal ciri-ciri
'scam' perlu diketahui dan diamalkan setiap orang.
Antara petanda amaran sepatutnya menjadi 'isyarat awas' ialah
alamat e-mel meragukan yang menawarkan ganjaran keuntungan segera atau berganda
dan kemenangan cabutan bertuah, selain pemanggil menggunakan telefon bimbit
serta mendakwa sebagai wakil pihak berwajib, syarikat terkenal atau ejen
penghantar barang.
Bagi pengguna telefon pintar, mereka juga perlu berhati-hati
dengan mesej menyarankan muat turun aplikasi tanpa melalui PlayStore atau App Store
dan aplikasi itu pula meminta kebenaran membaca dan menghantar khidmat pesanan
ringkas (SMS) bagi pihak pengguna.
Begitu juga panggilan rawak bersama ucapan tahniah sebagai
pemenang pertandingan yang tidak pernah disertai atau pemanggil memerlukan pengguna
memberi pengesahan data peribadi seperti alamat, nombor telefon, nombor kad
pengenalan dan kadangkala nombor akaun serta kad kredit berserta tiga digit di
belakang kad debit/kredit (CVV).
Elemen permainan psikologi
Apapun cirinya, ia banyak menggunakan elemen permainan psikologi
kerana panggilan telefon sangat efektif mencetuskan perasaan ingin tahu,
gembira, risau, panik dan cemas hingga pengguna bertindak segera tanpa berfikir
panjang. Semua tanda ini sepatutnya sudah cukup menjadi 'bendera merah' untuk
menamatkan panggilan serta-merta.
Bagaimanapun, ada juga kes berkait perlanggaran undang-undang
atau kompromi data peribadi hingga pemanggil dapat memberikan secara tepat
nombor kad pengenalan.
Contohnya, pada 12 Jun lalu pihak berkuasa menutup laman web
dikatakan mengandungi jutaan data peribadi kepunyaan rakyat Malaysia, namun
dalam tempoh beberapa jam sahaja, berkemungkinan banyak pihak sudah mengakses
atau memuat turun data.
Laporan daripada PwC's Global Economic Crime and Fraud Survey
2022 juga menyatakan syarikat turut 'diserang' untuk mendapatkan komoditi
berharga daripada pangkalan data mereka.
Penipuan menggunakan platform digital dinyatakan semakin
meningkat antara 2018 hingga 2022.
Walaupun kebanyakan serangan digital kebanyakannya berasal dari
luar, terdapat juga serangan melalui pakatan sulit antara penyerang dari luar
dengan pihak dalaman syarikat.
Pihak polis tidak mempunyai kawalan ke atas pangkalan data
kerajaan atau syarikat peribadi, malah mereka juga menghadapi kesukaran
menyiasat pelbagai kes penipuan.
Oleh itu, kita sendiri perlu menjaga keselamatan transaksi agar
peluang penipuan itu dapat dielakkan pada peringkat akar umbi dengan mengambil
beberapa langkah berhati-hati.
Semak e-mel jika kelihatan pelik
Pertama, semak e-mel diterima daripada pihak mengaku sebagai
bank, polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau mahkamah yang jika
kelihatan pelik dan tidak berakhir dengan gov.my atau com.my, sebaik-baiknya
e-mel itu dipadamkan sahaja.
Kedua, abaikan sekiranya e-mel itu meminta pengesahan nama
pengguna dan kata laluan kerana pihak bank atau pihak berkuasa tidak akan
berbuat demikian.
Ketiga, fakta mudah tetapi sering memerangkap pengguna yang
perlu sentiasa diingati adalah pihak berkuasa tidak akan menghubungi kita
melalui telefon peribadi atau e-mel melainkan diberitahu terlebih dahulu
melalui writ saman atau surat-menyurat berkenaan sesuatu kes.
Keempat, sekiranya menerima pakej dengan transaksi tunai semasa
serahan (COD), penerima boleh boleh memberitahu penghantar untuk menunggu hingga
maklumat disahkan terlebih dahulu atau meminta penghantar berkenaan datang
kemudian selepas penerima berada di lokasi.
Kelima, sebarang panggilan 'berita baik' seperti cabutan bertuah
perlu diselidik dahulu, termasuk masa dan ketika kita menyertai cabutan atau
pertandingan berkenaan. Siasat dan bertanya sebanyak mungkin mengenai butiran
berkenaan kerana penipu biasanya akan mengikut skrip disediakan, sekali gus
tidak mempunyai maklumat terperinci.
Keenam, sekiranya menerima mesej daripada rakan kononnya
terkandas di lapangan terbang atau negara asing dan memerlukan wang segera,
kita boleh menghubunginya dan bertanya khabar mengenai permintaan wang itu
sekiranya rakan rapat. Namun, jika rakan jauh yang jarang berhubung, kita boleh
bertanya lebih lanjut dengan rakan yang lain atau mengabaikan mesej berkenaan.
Ketujuh, sekiranya kita menerima tawaran pelaburan memberi
pulangan menarik, pengguna dinasihatkan menyiasat lebih lanjut mengenai
syarikat berkenaan sebelum melabur, termasuk memeriksa senarai syarikat
pelaburan berdaftar di negara ini di laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Hal itu juga boleh dirujuk dengan badan pengawalseliaan lain
seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengesahkan
status syarikat menerima deposit.
Kelapan, pengguna dinasihatkan untuk mengabaikan mesej meminta
untuk mengimbas kod QR, menekan link atau memuat turun aplikasi, walaupun
digula-gulakan hadiah atau barangan menarik. Tindakan itu boleh menyebabkan
kandungan mesej peribadi pengguna boleh dibaca.
Kesembilan, dokumen dan rekod peribadi serta kata laluan perlu
disimpan di tempat selamat, bukan di tempat yang mudah dicapai orang lain.
Akhirnya, simpan rekod secara tersusun seperti pertandingan
disertai termasuk tarikh pertandingan, penganjur dan data diberikan serta
hadiah utama ditawarkan supaya tidak terpedaya dengan sebarang panggilan
pemenang hadiah atau cabutan bertuah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan