LONDON - Sekumpulan guru di Sekolah Menengah Saracens di sini meminta bantuan Persatuan Diraja Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (RSPCA) selepas seekor rubah ditemui dengan keadaan kepalanya tersangkut pada penutup tong sampah, lapor akhbar Daily Mail.
Anggota RSPCA, Mariam Adwan terpaksa menggunakan gergaji besi untuk memotong penutup sampah plastik itu selepas gagal mengeluarkan haiwan malang berkenaan.
“Anak rubah ini tersangkut sendiri, ia kelihatan seperti berada dalam ketakutan. Kami cubamembantu mengeluarkan kepalanya mengikut cara biasa, namun tidak berjaya.
“Saya cuba menenangkan haiwan itu untuk mencuba sekali lagi, namun ia masih tersangkut pada bahagian pipi. Kerja menyelamat menjadi sukar dan saya terpaksa mencari jalan penyelesaian secepat mungkin,” kata Adwan.
Menurut Adwan, dia menggunakan sebelah tangan untuk melindungi rubah tersebut sebelum membuat potongan berbentuk huruf T pada penutup tong sampah bagi meluaskan lubang yang mengapit pipi haiwan itu.
Doktor veterinar kemudiannya membuat pemeriksaan dan mengesahkan haiwan itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Rubah itu terus berlari menuju ke sarangnya yang terletak berdekatan lokasi ia ditemui sebaik sahaja dilepaskan. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan