01 Januari 2019 3:00 AM
MANILA – Angka kematian akibat ribut yang melanda Filipina selepas sambutan Krismas meningkat kepada 68 orang dan dijangka terus bertambah, kata pegawai pertahanan awam semalam.
Seramai 57 orang terkorban di wilayah pergunungan Bicol, tenggara Manila, sementara 11 orang lagi terbunuh di Pulau Samar, kebanyakannya disebabkan oleh tanah runtuh dan lemas, kata pihak berkuasa.
“Saya bimbang jumlah kematian akan terus meningkat kerana masih banyak kawasan yang belum diperiksa,” kata pengarah pertahanan awam, Claudio Yucot.
Ribut dinamakan Usman itu melanda Filipina pada Sabtu lalu. Walaupun tiada angin kencang, ribut itu membawa hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat dan melemahkan struktur tanah sehingga berlakunya tanah runtuh di sesetengah kawasan.
Ramai penduduk gagal membuat persiapan awal kerana ribut itu tidak cukup kuat untuk dikategorikan sebagai taufan di bawah sistem amaran ribut negara ini, jelas Yucot.
“Penduduk terlalu yakin kerana masih dalam semangat cuti Krismas, manakala tiada amaran ribut tropika dikeluarkan,” katanya kepada agensi berita AFP.
Walaupun ribut itu sudah meninggalkan Filipina, banyak kawasan masih mengalami hujan lebat sehingga menyukarkan usaha mencari dan menyelamat. Sekurang-kurangnya 17 orang masih hilang dan lebih 40,000 terpaksa dipindahkan di seluruh negara, jelas agensi pertahanan awam. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan