HIDUNG merah dan wajah yang diconteng dengan warna-warna garang membuatkan diri Richie Esposito, 32, kelihatan tidak ubah seperti badut yang sering dilihat di dalam televisyen.
Biarpun nampak pelik di mata umum, namun Esposito percaya ia mampu membuatkan dirinya kelihatan berbeza daripada kebanyakan manusia lain.
Disebabkan itu, Esposito sanggup mempertaruhkan wajahnya yang kacak dengan mengubahnya seratus peratus untuk kelihatan seperti badut.
Lebih mengejutkan, contengan warna-warna garang yang terlukis pada wajahnya itu tidak boleh dipadam. Sebaliknya, ia akan kekal sepanjang hayat Esposito kerana ia dibuat menggunakan dakwat kekal pencacah tatu.
Biarpun begitu, lelaki itu langsung tidak menyesali perbuatan yang dilakukan. Malah, dia berbangga apabila berjaya memiliki seraut wajah yang diidamkan sejak dahulu lagi.
Memorabilia
Menurut lelaki yang menetap di New York itu, keputusan untuk memiliki wajah baharu itu dilakukan selepas mempunyai obsesi terhadap badut sejak di bangku sekolah.
“Ketika kecil, saya begitu meminati badut. Setiap kali badut datang ke sekolah untuk membuat persembahan, sayalah orang yang paling teruja dan akan mengekori ke mana sahaja badut itu pergi.
“Sekembalinya ke rumah, saya sering melukis wajah menyerupai badut menggunakan alat solek milik ibu.
“Dari situ saya mula terfikir kenapa wajah tersebut tidak mampu kekal lama dan akan hilang jika berpeluh. Saya kemudian mencari jalan untuk menjadikan lukisan badut pada wajah kekal buat selama-lamanya,” jelas Esposito.
Menurut Esposito lagi, sekitar dua tahun lalu, dia mendapat ilham untuk mencacah tatu bermotifkan badut pada seluruh wajahnya.
“Selain mencacah tatu menggunakan dakwat kekal, saya turut menanam silikon pada bahagian bibir untuk menjadikannya tebal sekali gus membuatkan saya kelihatan seperti badut yang sebenar.
“Bukan sekadar bahagian wajah, saya turut membotakkan bahagian tengah kepalanya selain mewarnakan bahagian kiri dan kanan rambut yang dibiarkan panjang dengan warna merah. Hasilnya, saya begitu gembira kerana kelihatan seperti badut,” jelasnya.
Ternyata, obsesi Esposito terhadap badut benar-benar melampau apabila dia mengakui turut mempunyai sudut memorabilia badut di kediamannya.
Selain memiliki satu almari khas yang dipenuhi dengan baju dan aksesori badut untuk dipakai secara berganti-ganti setiap hari, dia turut meletakkan beberapa aksesori di tempat kerjanya.
Keadaan tersebut menyebabkan orang sekeliling menggelarkannya sebagai badut hidup.
Penarik rezeki
Menurut Esposito, biarpun pengubahsuaian itu kekal untuk selama-lamanya, namun dia langsung tidak menyesali perbuatan yang dilakukan.
“Saya rasa selesa menjadi badut kerana dengan kaedah ini, saya mampu menggembirakan orang ramai.
“Jika kanak-kanak menangis ketakutan melihat saya, saya akan cuba menenteramkannya dengan memberikannya coklat atau belon sehingga ketakutan tersebut hilang,” jelasnya.
Biarpun Esposito mengakui menjalani kehidupan yang berwarna-warni dan ceria, namun tukang gunting rambut itu mengakui tidak terlepas daripada dicaci oleh orang sekeliling.
“Saya rasa sudah tidak terkira dengan jari berapa kali dicemuh setiap kali berjalan-jalan di khalayak ramai.
“Saya juga pernah dibaling dengan sampah apabila berjalan pada waktu malam selain diejek sebagai makhluk aneh oleh sekumpulan kanak-kanak nakal.
“Bagaimanapun, saya tidak memberi sebarang reaksi. Sebaliknya, hanya terus berjalan sambil tersenyum. Teman wanita juga lari meninggalkan saya kerana tidak tahan melihat wajah aneh ini,” ujarnya lagi.
Biarpun begitu menurut Esposito lagi, dia bersyukur kerana keunikannya itu sudah mula diterima oleh umum.
“Lama-kelamaan, orang ramai sudah mula dapat menerima diri saya yang baharu.
“Lebih mengejutkan apabila imej ini merupakan penarik rezeki apabila ramai individu datang menggunting rambut di kedai kecil saya,” jelasnya.
Tukang gunting rambut sanggup melakukan pembedahan pada wajah dan mencacah tatu menggunakan dakwat kekal pada bahagian muka gara-gara mempunyai obsesi terhadap badut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan