Robot yang boleh menggoyangkan pinggulnya. Aneh tetapi realiti.
Itu robot versi terkini hasil ciptaan sekumpulan saintis dari bidang kejuruteraan di Sekolah Kejuruteraan Cockrell di University of Texas (UT) di Austin, Amerika Syarikat.
Hasil ciptaan tersebut menunjukkan bahawa pinggul adalah struktur yang menjadi kunci untuk membolehkan robot bergerak sama seperti manusia.
Ini kerana dengan keupayaan menggoyangkan pinggul, ia boleh digunakan untuk mengekalkan keseimbangan dan mengelak daripada terjatuh apabila sebagai contohnya tergesel dengan objek lain.
Pergerakan tersebut mengikut perkiraan teknik matematik khusus yang telah direka dengan mengambil kira keseimbangan seluruh tubuh robot.
Robot yang dinamakan sebagai Mercury itu berbeza dengan robot mampu berjalan sedia ada kerana teknologi yang direka khusus adalah memfokus terhadap kakinya.
Keseimbangan lebih baik bermakna robot yang lebih bagus dicipta termasuklah peningkatan dari segi keseimbangan pergerakan dalam khalayak ramai misalnya seperti di dewan tari menari.
Beroperasi di Human Centered Robotics Laboratory, profesor bersekutu di UT, Luis Sentis yang mengetuai kumpulan saintis kejuruteraan universiti tersebut telah berjaya menyuntik pendekatan baharu kepada keseimbangan manusia untuk diaplikasikan kepada robot.
Ia membolehkan robot untuk berkeupayaan bertindak balas dari segi mengawal keseimbangan dalam apa juga keadaan termasuk dalam situasi kecemasan, mempertahankan diri mahupun ketika menari dalam khalayak ramai.
Hasil kerja mereka dibentangkan pada minggu pertama bulan ini pada Persidangan Antarabangsa 2018 mengenai Robot dan Sistem Pintar (IROS2018), yang merupakan persidangan utama dalam bidang robotik.
Dengan menterjemahkan kemahiran dinamik fizikal manusia iaitu mengekalkan keseimbangan seluruh tubuh ke dalam perkiraan matematik, saintis dapat menggunakan formula berangka untuk memprogram Mercury.
Pemutar konsisten
Penghasilan Mercury termasuk untuk fasa binaan dan ujian telah mengambil tempoh selama enam tahun.
“Pada asasnya, kami telah membangunkan satu teknologi untuk ‘mengajar’ robot bagaimana untuk mengekalkan keseimbangan tubuh termasuk dalam situasi keseimbangan tubuh yang goyah secara tiba-tiba misalnya jika tergesel dengan objek lain.
“Ini adalah kemahiran yang sangat berharga buat kita sebagai manusia yang sering digunakan ketika melalui kawasan yang sesak dengan manusia lain,” ujarnya.
Sentis berkata, teknologi tersebut telah berjaya mengimbangi kedua-dua bahagian pinggul Mercury tanpa perlu dikawal oleh buku lalinya.
Pergerakan tubuh manusia yang dinamik jauh lebih sukar pada robot, jika ia tidak dikawal menerusi pergelangan kakinya.
Justeru, saintis membangunkan teknologi kawalan terhadap seluruh badan pada Mercury dengan mengintegrasikan pemutar konsisten (atau torques) yang cekap serta berupaya menghantar dan menerima data secara berkesan.
“Ia adalah bagi memaklumkan kepada Mercury tentang langkah terbaik bila untuk bergerak dan seterusnya sebagai tindak balas yang bersesuaian jika berlaku sebarang geselan atau perlanggaran dengan objek lain,” jelasnya.
Penyelidikan tersebut dibiayai oleh Pusat Penyelidikan Tentera Laut Amerika Syarikat dan UT, dengan kerjasama Apptronik Systems yang merupakan sebuah syarikat yang diasaskan oleh Sentis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan