NEW DELHI - INDIA. Empat orang maut, manakala lima lagi parah dihempap bingkai papan iklan yang jatuh dari ketinggian 12 meter di Junna Bazaar, Pune, tengah hari kelmarin.
Hindustan Times melaporkan, bingkai terbabit menghempap 10 kenderaan termasuk sekurang - kurangnya enam beca roda tiga, dan sebuah kereta yang berhenti di lampu isyarat merah.
Kesemua empat mangsa yang maut merupakan pemandu dan penumpang dari dua beca berkenaan.
Ketika kejadian, papan iklan yang didirikan di atas tanah milik Jabatan Kereta Api Pune itu dalam proses diturunkan oleh kontraktor persendirian kerana kontrak pengiklanan telah tamat.
“Agensi yang diberi tugas mencabut papan iklan itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden ini.
“Kami akan melakukan inkuiri terhadap kejadian yang berlaku,” kata jurucakap jabatan terbabit.
Berikutan kejadian itu, Jabatan Kereta Api Pune mengumumkan pembayaran pampasan 500,000 rupee (RM28,000) kepada keluarga mangsa yang terkorban.
Pampasan berjumlah 100,000 rupee (RM5,600) turut dibayar kepada mangsa yang parah, manakala 50,000 rupee (RM2,800) kepada yang cedera ringan. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan