08 Julai 2018 1:58 AM
PARIS – Saintis mengumumkan penemuan vaksin kepada sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) selepas hampir 40 tahun dunia menunggu perkembangan positif bagi membendung penyakit tersebut.
Menurut ketua penyelidikan, Dan Baraoch yang merupakan seorang profesor di Sekolah Perubatan Harvard, vaksin tersebut telah berjaya dalam ujian awal terhadap monyet.
Bagi membuktikan vaksin tersebut selamat kepada manusia, ubat itu kini dalam fasa seterusnya bagi proses percubaan prakelulusan dan akan diuji terhadap 2,600 wanita di selatan Afrika bagi melihat sama ada mampu menghalang jangkitan AIDS.
Walaupun keputusan setakat ini menggalakkan, pasukan penyelidik dan pakar memberi amaran tiada jaminan vaksin itu akan berfungsi dalam fasa percubaan seterusnya yang dipanggil HVTN705 atau Imbokodo yang bermaksud batu dalam bahasa Zulu.
“Walaupun data menunjukkan kejayaan, kami perlu terus berhati-hati. Hal ini kerana vaksin berkenaan hanya melindungi dua pertiga daripada monyet-monyet di dalam makmal. Ia tidak bermakna ubat ini akan melindungi manusia, kita perlu menunggu keputusannya.
“Selepas itu kita tahu apakah vaksin ini akan melindungi manusia atau tidak daripada jangkitan akibat virus Human Immunodeficiency (HIV)”, kata Baraoch kepada AFP.
Keputusan percubaan Imbokodo dijangka diumumkan pada tahun 2021 atau 2022.
Tambah Baraoch, ia merupakan vaksin kelima yang akan diuji untuk melihat keberkesanan terhadap manusia dalam sejarah 35 tahun mengenai wabak global HIV.
Setakat ini, hanya satu vaksin yang dikenali RV144 berjaya menghasilkan beberapa perlindungan.
Pada 2009, RV144 dilaporkan berjaya mengurangkan risiko jangkitan HIV dalam kalangan 16,000 sukarelawan Thailand sebanyak 31.2 peratus, yang dianggap tidak memadai untuk ubatan berkenaan diteruskan. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan