Hari ini, kerajaan Malaysia dikuasai oleh PH untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun yang menyaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh. Sebaik kembali menerajui kerajaan, Dr. Mahathir tidak menunggu lama untuk merealisasikan manifesto sebagaimana yang dijanjikan PH sebelum memenangi PRU kali ini.
Sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri dalam majlis angkat sumpah di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu, Dr. Mahathir telah menyatakan komitmen beliau untuk mewujudkan satu suasana baharu di Malaysia yang mana pemerintahan negara akan dilaksana berdasarkan kepada lunas-lunas perlembagaan dan juga rule of law.
Beliau juga dilihat sangat komited untuk ‘membersihkan’ politik dan perkhidmatan awam di negara ini daripada sebarang bentuk salah laku, rasuah dan penyalahgunaan kuasa sama ada oleh pemimpin politik, ahli korporat dan juga penjawat awam.
Bagaimanapun, Dr. Mahathir terpaksa mengambil sedikit masa untuk meneliti dan membuat keputusan mengenai lantikan menteri kabinet. Semua itu dilakukan untuk memastikan setiap penyandang jawatan menteri kabinet terdiri daripada mereka yang benar-benar berkelayakan, berkemampuan dan ‘bersih’ daripada sebarang isu yang boleh menjejaskan imej kerajaan PH.
Untuk rekod, komposisi kabinet Malaysia dalam kerajaan yang baharu ini terdiri daripada 15 orang menteri kabinet termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Daripada jumlah tersebut, 11 portfolio telah disandang oleh ahli Parlimen keturunan Melayu dan beragama Islam manakala bakinya disandang oleh ahli Parlimen daripada kaum Cina (2), India (1) dan Sikh (1).
Berdasarkan kepada keadaan itu, secara umumnya kita boleh katakan bahawa kabinet kerajaan PH masih dikuasai oleh ahli Parlimen Melayu/ Islam yang pastinya dan secara tidak langsung akan memberi mesej bahawa pengaruh Islamik sememangnya wujud dalam barisan jemaah menteri yang baharu ini.
Kritikan
Sejak beberapa hari lalu sudah kedengaran kritikan pihak-pihak tertentu khasnya daripada kalangan penyokong parti pembangkang mengenai ketidakpuasan hati mereka atas lantikan beberapa orang menteri kabinet daripada DAP yang sebelum ini dilihat agak lantang bersuara mengenai isu-isu Islam di negara ini.
Kelompok ‘pengkritik’ tersebut dikatakan bimbang bahawa menteri yang dilantik tidak membawa agenda transformasi sebagaimana impian PH, sebaliknya membawa agenda DAP dalam kerajaan pimpinan Dr. Mahathir.
Menambahkan lagi tekanan di kem Dr. Mahathir apabila pelantikan ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan turut menjadi perdebatan. Pelbagai persepsi negatif dan tohmahan telah dilemparkan terhadap Dr. Maszlee sebagai asas penolakan pelantikan beliau. Ada yang menyifatkan Dr. Maszlee sebagai seorang yang berfahaman liberal manakala ada pula yang mengatakan bahawa beliau seorang pemimpin yang Islamik.
Pelantikan Dr. Maszlee sebagai Menteri Pendidikan sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang positif. Berdasarkan kepada latar belakang beliau, Dr. Maszlee bolehlah disifatkan sebagai antara ikon pemimpin muda Islam yang penting dalam kabinet kerajaan baharu ini. Sifat kepimpinan Islamik Dr. Maszlee sudah mula terserlah sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan lagi. Pengalaman sebagai pensyarah kanan di UIAM serta penglibatannya dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadikan Dr. Maszlee sebagai individu tepat menerajui Kementerian Pendidikan.
‘Nilai tambah’ yang ada pada diri Dr. Maszlee ialah beliau juga dikenali sebagai moderator debat dan wacana politik serta penganalisis politik Timur Tengah, pemikiran politik Islam dan juga gerakan Islam kontemporari.
Ikon pemimpin Islam yang terpenting dalam kabinet Malaysia pada hari ini pastinya Dr. Mahathir. Sikap, wawasan, disiplin dan perwatakan Dr. Mahathir sebagai seorang tokoh negarawan yang ulung dan juga sebagai Perdana Menteri menunjukkan kepada kita bahawa beliau sebenarnya ialah seorang pemimpin yang penuh dengan pelbagai ciri Islamik.
Kepimpinannya sebelum ini ketika menjadi Perdana Menteri di bawah kerajaan BN selama 22 tahun sudah cukup membuktikan Dr. Mahathir tidak pernah meminggirkan agenda Islam. Begitu juga kali ini, biarpun Dr. Mahathir menerajui kerajaan di bawah PH, beliau sudah pasti tidak akan mengetepikan agenda Islam.
Agenda
Walaupun ada pihak yang berpendapat agenda Islam tidak begitu jelas dalam manifesto PH, kita pasti ia akan terus diberi perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan baharu ini. Sebelum PRU-14 lagi barisan pimpinan PH telah mengakui bahawa betapa penting impak tsunami Melayu/Islam sehingga telah berjaya membawa mereka ke Putrajaya.
Harus diingat bahawa pengaruh Islamik yang wujud dalam kabinet baharu kerajaan kali ini agak berbeza dengan kerajaan terdahulu. Ia lebih bersifat kepada pengamalan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan negara yang telah diterapkan oleh Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri. Antara nilai-nilai Islam yang jelas terpancar dalam hal itu ialah bersih, cekap dan amanah. Inilah antara nilai-nilai Islam yang pernah diutarakan oleh beliau sewaktu menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri buat pertama kali pada awal tahun 1980-an.