Mutakhir ini, semakin banyak kajian dilakukan menunjukkan ancaman kepada perokok tertier. Golongan bapa mungkin berasa sudah selamat untuk merokok di dalam rumah atau kereta tanpa kehadiran isteri dan anak-anak, tetapi percayalah, ia masih belum selamat untuk mereka.
Ketahuilah bahawa sisa-sisa bahan kimia asap rokok yang melekat pada lantai, dinding, langsir, papan pemuka kereta dan lain-lain di kawasan tertutup masih boleh memberikan ancaman kesihatan.
Menurut The Washington Post, satu kajian yang dilaporkan tahun ini menunjukkan asap rokok tertier boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru manakala kajian tahun lalu mendapati ia meningkatkan risiko kerosakan hati dan diabetes.
Kajian terbaharu oleh Drexel University, Amerika Syarikat lebih membimbangkan apabila asap rokok boleh beredar dari luar ke dalam kawasan tertutup termasuklah bilik larangan merokok.

Gas bahaya

“Apabila kami mengukur komposisi udara di dalam sebuah bilik darjah, kami mendapati bahawa 29 peratus daripada partikelnya ialah berkait sisa asap rokok seperti nikotin dan tembakau,” kata pengkaji dari universiti tersebut, Peter DeCarlo.
Pengkaji kemudian mencadangkan partikel-partikel itu memasuki bilik darjah yang merupakan kawasan larangan merokok menerusi sistem ventilasi sekali gus menunjukkan cara baharu manusia boleh terdedah kepada bahaya tembakau.
Selain itu, terdapat juga kajian makmal ke atas tikus mendapati pendedahan secara tidak langsung dengan sisa tembakau di kulit, pakaian atau permukaan boleh mengganggu tumbesaran dan ketahanan tubuh.
Pengkaji dari University of California pula berkata, kebanyakan aduan yang diterima oleh mereka yang terdedah kepada asap rokok tertier ialah hidung tersumbat, kerengsaan mata dan simptom alahan.
“Mereka yang dilihat paling berisiko ialah kanak-kanak kecil yang merangkak di lantai dan gemar memasukkan sesuatu ke dalam mulut,” kata Craig P. Hersh dari Brigham and Women’s Hospital di Boston.
Pakar Perunding Kanan Psikiatri dan Pakar Berhenti Merokok, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin menerangkan, asap rokok tertier ialah situasi yang ditinggalkan oleh perokok selepas keluar dari tempat menghisap rokok.
“Bahan-bahan kimia daripada asap rokok yang melekat pada dinding, lantai dan tempat duduk itu apabila ia berinteraksi dengan sinar ultra ungu (UV) atau gas-gas dalam udara boleh membentuk satu gas lain yang berbahaya kepada kesihatan,” katanya.  
Menurut Amer Siddiq, kerana kebimbangan mengenai ancaman kesihatan oleh asap rokok tertier jugalah hotel-hotel melarang keras merokok di dalam bilik hotel.
“Disebabkan kebimbangan ini jugalah di negara-negara Barat dan Asia Pasifik seperti New Zealand sudah mewujudkan peraturan sesiapa yang merokok di dalam kereta walaupun ketika ketiadaan orang akan didenda,” katanya yang juga menganggotai kumpulan doktor di media sosial MedTweetMY. 

Perokok

Amer Siddiq juga bersetuju dengan kajian terbaharu berhubung penyebaran bahan-bahan kimia asap rokok melalui udara dari luar ke dalam bangunan.
“Itulah sebabnya seorang perokok yang menghisap rokok di luar rumah juga perlu mempunyai jarak tertentu dari rumah dan bukannya menghisap di depan pintu. Sekurang-kurangnya pergi ke luar pagar,” katanya.
Amer Siddiq berkata, ada dalam kalangan pesakitnya yang berhenti merokok kerana berasa bimbang dengan risiko asap rokok tertier ini.
“Di dalam rokok, terdapat 7,000 bahan kimia yang berbahaya dengan 69 daripadanya dibuktikan boleh menyebabkan kanser.
“Sempena Hari Tanpa Tembakau yang disambut Khamis lalu dan bulan Ramadan yang mulia ini, ada baiknya untuk para perokok berusaha berhenti merokok demi kesihatan diri dan orang-orang di sekelliling,” katanya.