“Tentera AS yang ditempatkan di Korea Selatan merupakan isu berkaitan perikatan antara Seoul dan Washington. Ia tiada kena mengena dengan menandatangani perjanjian damai,” kata jurucakap Blue House, Kim Eui-kyeom memetik Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita mengenai artikel yang ditulis oleh penasihat Presiden Korea Selatan, Moon Chung-in dan disiarkan awal minggu ini.
Dalam tulisannya, Chung-in berkata bahawa sukar untuk mempertahankan kehadiran tentera AS di Korea Selatan sekiranya perjanjian damai dimeterai susulan persetujuan Seoul dan Pyongyang untuk menamatkan Perang Korea pada satu pertemuan bersejarah minggu lalu.
Seoul sebaliknya mahu tentera AS kekal di Korea Selatan kerana ia memainkan peranan sebagai orang tengah dalam konfrontasi tentera dengan kuasa besar seperti China dan Jepun, kata seorang lagi penasihat Jae-in semalam.
“Chung-in diminta untuk tidak mencetuskan kekeliruan berhubung pendirian Presiden,” kata Eui-kyeom.
AS pada masa ini menempatkan kira-kira 28,500 askar di Korea Selatan di sebalik tuntutan Korea Utara supaya mereka berundur sebagai salah satu syarat untuk Pyongyang menghentikan program nuklear dan misilnya.
Bagaimanapun, isu tersebut tidak dibangkitkan dalam deklarasi bersama oleh Jae-in dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada minggu lalu.
Kedua-dua pemimpin tersebut sebaliknya bersetuju untuk mengakhiri konflik di Semenanjung Korea sekali gus menamatkan perang antara dua negara yang berjiran itu. – Reuters