29 Disember 2017

Artikel Menarik (Disember 2017) - Beli barang sambil elak dirempuh kereta api



SAMUT SONGKRAM - THAILAND. Setiap hari, ratusan pelancong tempatan dan asing berkumpul di Pasar Kereta api Maeklong, untuk melihat lebih dekat satu daripada tarikan utama sektor pelancongan di Thailand.
Sambil memegang kamera digital atau telefon pintar, pelancong bersesak di celah-celah baldi berisi ikan atau meja menjual daging serta sayur-sayuran, untuk mengabadikan kenangan yang tidak dapat dilihat selain di negara Gajah Putih itu.
Bermula seawal 6.20 pagi (waktu tempatan) dan diulangi sehingga tujuh kali dalam sehari, kereta api akan melalui landasan yang pada masa sama merupakan pasar awam, yang sibuk dengan urusan jual beli penjual dan pelanggan serta pelancong.
Menurut Pihak Berkuasa Perlancongan Thailand (TAT), Pasar  Kereta api Maeklong, kira-kira dua jam dari Bangkok beroperasi di atas 1,000 meter landasan kereta api yang menghubungkan Wongwian Yai di Bangkok dan wilayah Samut Songkram.  
Hampir setiap barang keperluan penduduk dijual di pasar awam itu yang  dipanggil “Talad Hoop Rom” dalam kalangan warga tempatan atau “Talad Siang Tai” yang membawa maksud "Pasar erisiko Pada Nyawa" (Talad Risking Life).
Talad dalam bahasa Thai bermaksud pasar.
Pasar ini sememangnya amat unik dan berisiko terhadap keselamatan, kerana setiap kali kereta api melaluinya, peniaga terpaksa mengalihkan khemah kanvas dan barang jualan mereka, bagi mengelak menjadi mangsa rempuhan kereta api.
Lambat beberapa saat atau perbezaan beberapa sentimeter boleh menyebabkan khemah atau meja-meja yang menyaji pelbagai barang jualan menjadi mangsa rempuhan kereta api “State Railway of Thailand (SRT)” yang melalui landasan terbabit.
Untuk memastikan khemah dan barang jualan mereka tidak dilanggar kereta api, peniaga memasang roda-roda di kaki tiang khemah dan meja menempatkan jualan mereka untuk memudahkan mereka mengalihkannya dengan cepat apabila kereta api tiba.
Bukan sahaja peniaga terpaksa berhati-hati, tetapi para pelanggan juga perlu sentiasa peka agar  tidak menjadi mangsa rempuhan kereta api ketika leka membeli ikan, ayam atau sayur-sayuran di Pasar Kereta api Maeklong.
Sama juga keadaannya bagi pelancong yang berkerumun di Pasar Maeklong itu. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan