AMALAN berdoa dengan mengenakan caj melampau dan dikomersialkan oleh pihak tertentu adalah tidak wajar.
ISLAM merupakan agama anutan ummah di seluruh dunia. Ia menjadi pegangan dan asas budaya hidup pelbagai bangsa. Agama Islam adalah satu agama yang lengkap. Dikenali sebagai agama yang menyusun cara hidup meliputi aspek keimanan, ibadah, muamalah, siasah, sosial dan ekonomi.
Bagi menangani isu-isu baharu dalam kehidupan manusia, Islam meletakkan dua sumber teras iaitu al-Quran dan hadis. Dua sumber tersebut adalah asas bagi menangani isu-isu yang mendatang di samping menjaga kemurnian dan kesucian agama Islam.
Baru-baru ini, hangat diperkatakan netizen di media sosial mengenai tindakan pihak tertentu mengambil kesempatan dengan menawarkan kelas mengaji al-Quran dalam jet mewah dan pakej khidmat kiriman doa secara berbayar di Mekah.
Menjual agama
Menurut Pensyarah al-Quran dan al-Qiraat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ustaz Syeikh Mohd. Rahim Jusoh, tindakan berkenaan sebagai tidak bagus dan seolah-olah cuba menjual agama.
“Memperdagangkan al-Quran dan doa untuk tujuan kepentingan peribadi dan wang semata-mata adalah tidak wajar. Malah, perkara ini perlu dielakkan daripada timbul salah faham mengenai ajaran Islam yang sebenar-benarnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Syeikh Mohd. Rahim memberitahu, nilai komersial sesuatu produk atau barangan itu perlu diasingkan dengan agama. Ia bertujuan bagi menggelakkan daripada pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap seseorang yang ingin mempelajari agama.
“Tidak salah untuk menaiki jet mewah dan terbang ke mana sahaja yang anda suka. Tetapi, ia tidak perlu sampai mengkomersialkan kelas menggaji al-Quran itu sebagai tarikan utama bagi mendapatkan tempahan mahupun pelanggan.
“Mengikut pengamatan saya, program ini sebenarnya dibuat khusus bagi jutawan yang berkemampuan demi untuk mendekatkan diri mereka pada al-Quran. Bagaimanapun, al-Quran itu tidak sesuai diperdagangkan untuk dijadikan sebagai promosi bagi melariskan produk atau barangan,” ujarnya.
Tambah beliau, sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kawasan perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah” – Riwayat Muslim, Tarmizi dan Ahmad, sepatutnya dijadikan teladan.
“Sebaik-baiknya kita hiasi rumah dengan memperbanyakkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan solat berjemaah bersama isteri dan anak-anak. Di samping, mendekatkan diri dengan Allah SWT, ia juga dapat mengeratkan silaturahim kekeluargaan,” katanya.
Dalam pada itu, amalan berdoa bagi pihak lain dengan mengenakan caj melampau dan di tempat tertentu yang cuba dikomersialkan oleh sebuah syarikat dalam laman sosial jugas disifatkan tidak wajar.
Jejas akidah
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan bahawa perkara seumpama itu seharusnya dielakkan kerana terdapat kesamaran yang boleh menjejaskan akidah dan sangat tidak sesuai untuk diamalkan.
“Orang ramai juga diharap dapat merujuk kepada pihak berwajib sekiranya terdapat amalan baharu yang mahu diamalkan di dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Perkhidmatan kiriman doa secara komersial menjadi tular di laman sosial apabila menawarkan pelbagai pakej ‘upah’ berdoa di Mekah dengan mengenakan bayaran serendah RM250 sehingga RM2,500.
Rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan individu berkenaan yang dilihat cuba mempergunakan agama bagi meraih keuntungan peribadi.
Mengulas lanjut perkara itu, Pensyarah Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kelantan, Ustaz Dr. Abd. Basit Abd. Rahman berkata, adalah tidak wajar untuk menjadikan doa sebagai produk atau perkhidmatan komersial kerana perbuatan tersebut mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian agama Islam.
“Hak termakbulnya doa adalah milik Allah semata-semata, bukan terletak pada manusia. Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah.
“Tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah. Pakej valet doa ini jelas menunjukkan unsur perniagaan dan menggunakan acara ibadah serta doa untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan oleh Islam,” katanya.
Beliau memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan individu atau pertubuhan tertentu yang menawarkan pakej khidmat valet atau servis doa di kota suci Mekah pada harga tertentu.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0220&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4ZL96bvF0
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan