21 Februari 2017

Artikel Menarik (Februari 2017) - Jong-nam pemimpin yang tak diangkat

PEMIMPIN tertinggi Korea Utara, Jong-un (kanan) memiliki raut wajah dan fizikal yang hampir sama seperti abang tirinya, Jong-nam.


Isnin lalu, Malaysia menjadi tum­puan dunia apabila satu kes berprofil tinggi melibatkan abang tiri kepada pemimpin terting­gi Korea Utara, Kim Jong-nam yang mati dibunuh dalam satu kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Mangsa yang berusia 46 tahun dikatakan mati selepas diracun oleh dua ejen wanita ketika berada di terminal KLIA2 pada pukul 9 pagi 13 Februari lalu.
Berdasarkan laporan media, Jong-nam telah berada di Malaysia sejak 6 Februari lalu dan sedang dalam perjalanan pulang ke Macau pada hari kejadian.
Memetik laporan stesen televisyen Korea Selatan, TV Chosun, laporan awal menyebut Jong-nam telah disuntik de­ngan racun oleh seorang ejen pembunuh wanita semasa di KLIA2.
Bagaimanapun, pihak polis Malaysia melalui kenyataan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat memberitahu, Jong-nam dipercayai telah diserkup dengan kain yang mengan­dungi cecair kemungkinan beracun.
Mangsa kemudiannya dilaporkan meninggal dunia semasa dihantar ke Hospital Putrajaya.
Berita tentang kematian abang tiri kepada Kim Jong-un itu telah mendapat perhatian dunia sekali gus menimbulkan ba­nyak spekulasi yang mengaitkan tentang motif pembunuhan pemimpin dalam buangan Korea Utara itu.
Keluarga misteri
Beberapa pendedahan dibongkar satu persatu apabila agensi berita antarabangsa, CNN melabelkan Jong-nam yang merupakan anak sulung kepada Kim Jong-il, bekas pemimpin tertinggi Korea Utara itu, lahir dalam sebuah keluarga yang penuh misteri.
Dilahirkan pada 10 Mei 1971, Jong-nam merupakan anak sulung kepada Jong-il hasil daripada hubungan sulitnya dengan aktres terkenal Korea Utara, Song Hye-rim sehingga ia menjadi beri­ta sensasi media antarabangsa.
Seorang pengkaji sebuah pertubuhan yang menjalankan penyelidikan mengenai Korea Utara, Michael Madden dalam kajiannya mendedahkan Jong-il telah mengahwini Hye-rim terlebih dulu, namun dipaksa untuk bercerai.
Kajian tersebut diperoleh hasil penyelidikan yang dibuat melalui hubungan pihak terdekat yang mengenali Jong-il termasuk rakan-rakan pemerhati Korea Utara dan pakar-pakar lain.
Menurut Madden, pemikiran rakyat Korea Utara yang konservatif terhadap status anak luar nikah menyebabkan kelahiran Jong-nam dirahsiakan daripada pengetahuan awam oleh datuknya, Kim Il-sung yang merupakan pengasas kepada penubuhan negara Korea Utara.
“Jong-il melaksanakan perintah untuk menangkap dan menghukum sesiapa sahaja yang bercakap mengenai kehidupan periba­dinya,” kata Madden.
Adik perempuan kepada Jong-il, Kim Kyung-hee dalam pada itu ingin menjadikan Jong-nam sebagai anak angkatnya, namun tidak dipersetujui oleh Jong-il sebelum dia mengambil keputusan supaya Jong-nam dibawa dan dibesarkan di Geneva, Switzerland.
Membesar di luar negara, Jong-nam telah mendapat pendidikan ala barat dan menghabiskan zaman persekolahannya di Geneva sebelum berpindah ke Moscow, Rusia.
Menentang
Pada waktu yang sama, bapanya menjalinkan hubungan dengan seorang penari yang dijadikan isteri ketiganya dikenali sebagai Ko Yong-hui dan mempunyai tiga orang anak termasuk Kim Jong-un, pemimpin tertinggi Korea Utara hari ini.
Mengetahui hal tersebut, Jong-nam yang baru pulang ke Pyongyang selepas menamatkan pengajiannya di Switzerland berasa amat marah dan berpendapat bapanya telah membina sebuah keluarga baharu.
Seorang wartawan akhbar Tokyo Shimbun, Yoji Gomi yang pernah menulis biografi kisah Jong-nam berjudul My Father, Kim Jong-il and Me pada 2012 berkata, Jong-nam merupakan seorang yang pintar dan berfikiran terbuka.
Dalam satu temu bual yang dibuat menerusi kiriman lebih 150 e-mel, Gomi menyimpulkan bahawa Jong-nam merupakan seorang yang berpengetahuan tinggi terutama melibatkan hal-hal dunia.
“Disebabkan dia (Jong-nam) membesar dan mendapatkan pendidikan Barat, lelaki itu dilihat lantang menentang dasar kepimpinan ketenteraan yang diamalkan Jong-il,” ujar Gomi.
Perbezaan pemikiran itu mengakibatkan hubungan antara Jong-nam dan bapanya, Jong-il menjadi renggang sehingga ia menimbulkan syak wasangka terhadap idealogi Jong-nam yang inginkan pasaran terbuka.
Terdahulu, Jong-nam dinamakan sebagai pewaris bapanya sebagai pemim­pin Korea Utara, namun jawatan itu kemudian di­sandang oleh adik tirinya, Jong-un.
Perubahan kedudukan itu terjadi selepas Jong-nam telah ditangkap apabila cuba menyeludup masuk ke negara Jepun dengan menggunakan pasport palsu pada 2001 semata-mata mahu berseronok di Disneyland Tokyo.
Kejadian memalukan itu sekali gus menimbulkan kemarahan Jong-il terhadap Jong-nam sehingga dia dibuang ke China dan Jong-un diangkat sebagai pewaris kedudukan Jong-il pada tahun 2003.
Menerusi temu bual bersama Gomi, Jong-nam menafikan bahawa namanya digugurkan daripada menjadi pewaris ke­pimpinan Korea Utara ke­rana kesalahannya menggunakan pasport palsu dan menyeludup masuk ke Jepun.
Sebaliknya dia disingkirkan sebagai calon gara-gara dia dilihat lantang melakukan reformasi terhadap sistem pemerintahan diktator yang diamalkan di Korea Utara.
Kedua-dua adik-beradik tiri itu yang dibesarkan oleh keluarga berbeza de­ngan jurang usia 13 tahun menyebabkan kedua-dua mereka tidak sehaluan.
Cubaan bunuh
Jong-nam juga dilaporkan tidak pernah bertemu dengan adik tirinya akibat perbezaan fahaman selain dia banyak menghabiskan masa dan membesar di luar negara.
Dalam pada itu, rumah yang menjadi kediaman Jong-nam apabila pulang ke Korea Utara di ibu pejabat Persatuan Pekerja telah dirobohkan pada tahun 2009 yang kini menempatkan kediaman rasmi Jong-un.
Ibu tirinya juga yang bercita-cita untuk melihat anak kandungnya Jong-un menaiki takhta pemerintahan negara turut memainkan peranan apabila sangat rapat dengan keluarga mertuanya bagi mengukuhkan hubungan kekeluargaan.
Dalam satu temu bual bersama stesen televisyen Jepun, TV Asahi pada tahun 2010, Jong-nam telah menyua­rakan tentangan dan berpendapat kepimpinan adiknya, Jong-un akan gagal.
Menurut Jong-nam, dia melihat Jong-un tidak layak diangkat sebagai pe­mimpin tertinggi Korea Utara kerana masih mentah serta kurang pengalaman.
Selepas menjadi orang buangan, Jong-nam telah membina kehidupannya bersama keluarga di Macau dan mendapat perlin­dungan pihak berkuasa China selain kediamannya juga dikawal ketat pihak polis.
Kawalan ketat ke atas Jong-nam dilakukan ekoran satu cubaan membunuh ke atasnya pada tahun 2012.
Menurut agensi perisikan Korea Selatan, Jong-nam pernah merayu kepada adik tirinya supaya menarik balik arahan membunuhnya ke­rana dia dilihat sebagai pencabar yang boleh menjatuhkan rejimnya.
Di Macau, Jong-nam dilaporkan hidup dalam keadaan tenang bersama isteri serta dua anaknya walaupun didakwa pernah berpindah beberapa kali dari sebuah vila ke kediaman sederhana atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, lelaki itu akhirnya dipercayai dibunuh dengan racun oleh dua ejen wanita, Doan Thi Huong yang merupakan seorang warganegara Vietnam dan Siti Aishah, seorang rakyat Indonesia di KLIA2 selepas dikatakan diupah oleh empat lelaki warga Korea Utara


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0219&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4ZLDPA4Lw 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan