22 November 2016

Artikel Menarik (November 2016) - Empayar Makanan saji 168 menu popular

LAKSA SARAWAK


Ppelbagai aktiviti menarik telah diatur khas buat para pengunjung sempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2016 yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bermula 1 hingga 11 Disember depan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, menerusi peganjuran MAHA 2016, orang ramai berpeluang menikmati sejumlah 168 sajian makanan popular yang dihimpunkan dari seluruh negara di ‘Empayar Makanan’ sepanjang 11 hari pameran itu berlangsung.
“Malaysia dikurniakan dengan kepelbagaian hasil pertanian, kekayaan budaya serta keunikan tradisi negeri dan ia secara tidak langsung membentuk satu ‘Empayar Makanan’ yang diwariskan dari generasi ke generasi mengikut cita rasa masyarakat negara ini.
“Himpunan sajian ini tidak mengira sama ada yang biasa, popular mahupun eksotik akan kita hidangkan khas buat pengunjung-pengunjung sepanjang MAHA 2016 berlangsung nanti,” katanya pada sidang akhbar Sajian Makanan Popular di Serdang, Selangor baru-baru ini.
Menurut Tajuddin, segmen Makanan Popular MAHA di bawah Kluster Agro Trade@Agro Premium MAHA 2016 menjadi satu platform dalam usaha memperkenal dan mempromosikan makanan popular di negeri-negeri dari seluruh Malaysia.
“Seramai 62 orang usahawan termasuk 19 usahawan belia dan 168 menu makanan popular dari seluruh negeri bakal dihimpunkan di bawah satu bumbung sejurus diperkenalkan kepada pengunjung pada MAHA kali ini,” ujarnya.

Sebahagian orang ramai yang hadir pada hari pertama MAHA 2014 di MAEPS.


Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pihaknya telah merantau ke seluruh negara bagi mencari menu serta juadah terbaik untuk dibawa ke MAHA 2016.
Bermula daripada situ, setiap FAMA negeri akan mencalonkan peserta dengan hidangan makanan popular dan proses pemilihan bermula berdasarkan penghakiman juri profesional yang terdiri daripada wakil Persatuan Chef Malaysia.
“Setiap usahawan yang terpilih perlu menyediakan makanan mereka dalam masa yang ditetapkan untuk dinilai oleh para juri termasuklah pakar masakan tradisi dari setiap negeri sebelum peserta itu dipilih sebagai pemenang untuk dibawa ke MAHA 2016.
“Antara 168 jenis makanan popular yang akan dipersembahkan sempena MAHA 2016 nanti ialah udang sanggol Perlis, asam pedas Melaka, pais ikan patin Pahang, nasi ulam seratus lauk Kelantan, kacang pool Johor, mi kolok Sarawak, moi sup Kedah dan lain-lain juadah,” katanya.
Bagi Dayang Nurfilzah Abdullah, 46, beliau berasa teruja kerana terpilih sebagai salah seorang pemenang daripada 62 peserta lain dalam Pencarian Sajian Makanan Popular MAHA 2016.
Menurutnya, bukan suatu perkara yang mudah untuk beliau memenangi dan terpilih dalam 168 peserta secara keseluruhan kerana setiap peserta ataupun usahawan mempunyai menu masing-masing dengan cita rasa tersendiri.

MUHAMMAD AMMAR bakal membuka gerai jualan nasi lemak berlauk pada MAHA kali ini


“Alhamdulillah, menu mi kolok dan laksa Sarawak saya dipilih oleh juri, sekali gus melayakkan saya untuk membuka gerai jualan bersempena dengan MAHA 2016,” katanya.
Ditanya mengenai keunikan rasa mi kolok dan laksa Sarawak yang dijualnya, Dayang Nurfilza memberitahu, kedua-dua menu itu menggunakan resipi yang digubahnya tersendiri, namun masih mengekalkan rasa asli makanan tersebut.
Ibu kepada empat orang cahaya mata itu kini mengusahakan perniagaan kedai makan di Pusat Penjaja Park and Ride, Sungai Besi, Kuala Lumpur sejak 12 tahun lalu.
Berlainan pula dengan seorang anak muda kelahiran Kuala Lumpur, Muhammad Ammar Hafiq Rauzan, 23, apabila beliau menyifatkan kemenangan dalam Pencarian Sajian Makanan Popular MAHA 2016 merupakan titik tolak baginya untuk lebih berusaha dalam mengembangkan perniagaan di bawah jenama Empire Nasi Lemak Kukus.
Menurutnya, perniagaan nasi lemak tersebut diwarisi daripada ibunya yang merupakan pengasas asal perniagaan tersebut.
“Minat yang mendalam untuk menjadi usahawan terutama dalam perniagaan berasaskan makanan secara tidak langsung mendorong saya untuk lebih berusaha dalam memasarkan perniagaan yang diusahakan.
“Menerusi pencarian yang diadakan FAMA juga, ia menjadi platform kepada saya selaku anak muda untuk mencuba dengan mempertandingkan juadah nasi lemak tradisi keluarga ini kepada umum,” katanya yang turut akan membuka gerai jualan nasi lemak berlauk sempena MAHA 2016.
Tambah anak ketiga daripada lima beradik itu, beliau berharap dapat mengembangkan lagi empayar perniagaannya pada masa akan datang.
“Saya menanam impian untuk mengembangkan jenama Empire Nasi Lemak Kukus ke seluruh negara selain dapat mengekalkan makanan popular nombor satu masyarakat Malaysia itu.
Bertemakan #OurFoodOurFuture, MAHA 2016 juga bakal menyediakan ruang untuk perdagangan, pelaburan, kerjasama dan pemindahan teknologi di samping platform untuk membangunkan pasaran import dan eksport antara negara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4Qmgizwca 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan