02 November 2016

Artikel Menarik (November 2016) - Diiringi pasukan bersenjata AK-47

DARI kiri: Wazi, Azman, Meor Azhar, Napiah dan Othman bergambar dengan berlatarbelakangkan Kaabah.

NAMA lelaki berusia 53 tahun itu cukup gah dalam kalangan penggiat dan penggemar aktiviti kembara merentasi benua menggunakan laluan darat.
Pengalaman Azman Baharuddin menyertai program Petronas Adventure Team selama 17 tahun merentasi benua Eropah, Asia dan Afrika cukup dikagumi.
Begitupun, pencapaian yang dilakar oleh anak kelahiran Gombak, Selangor itu seakan-akan tiada sempurna selepas dia bertemu dengan seorang rakan baiknya.
“Kamu telah menjelajah hampir ke segenap pelosok dunia tetapi tiada gunanya semua itu andai masih gagal menjejakkan kaki ke Mekah (Arab Saudi),” ungkap rakannya itu.
Tercabar dengan kata-kata itu, Azman bertekad untuk memulakan ekspedisi Kembara Bumi Suci pada 2010 sebelum melakukannya sekali lagi pada 2012 dan 2014.
Selepas tiga kali mengerjakan umrah, Azman terpanggil untuk menyertai kembara Road to Hajj yang bermula pada 30 Julai lalu.
“Ajakan rakan saya (Wazi Abdul Hamid) untuk menyertai konvoi Road to Hajj dianggap sebagai satu peluang keemasan untuk saya menunaikan ibadah haji.
“Kalau bukan sekarang, entah bila lagi saya akan memperoleh peluang sebegini,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Surau al-Hidayah, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Konvoi yang disertai oleh empat lagi rakan baiknya iaitu Meor Azhar Meor Raflan, 43, Napiah Mat Noor, 50, Othman Darus, 49, dan Wazi, 45, itu merangkumi jarak sejauh 13,000 kilometer (km).
Bermula di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, konvoi itu merentasi beberapa buah negara termasuk Thailand, India, Pakistan, Iran, Emeriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum berakhir di Arab Saudi pada 6 September lalu.
Pencapaian luar biasa yang dilakar Azman bersama rakan-rakannya itu telah memahat nama mereka sebagai rakyat Malaysia pertama yang menyempurnakan ibadah haji menggunakan laluan darat.
Kesukaran
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan para peserta kembara Road to Hajj di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Begitupun, kejayaan yang diraih oleh bapa kepada tiga orang cahaya mata itu tidak semudah yang disangka kerana mereka terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan cabaran dalam bentuk fizikal serta mental sebelum berjaya sampai ke destinasi yang dituju.
Azman selaku penasihat konvoi Road to Hajj itu berkata, sejak awal lagi dia sudah menjangka cabaran getir yang bakal ditempuhi kerana mereka berlima hanya menggunakan motosikal berkuasa rendah (kapcai) jenis Modenas GT128 Harimau Malaya.
Katanya, umum mengetahui bahawa motosikal kapcai tidak sesuai untuk perjalanan jarak jauh selain kelajuan yang agak terhad berbanding motosikal berkuasa tinggi.
“Sebelum ini, saya ke Mekah sebanyak tiga kali dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi. Ketika itu pun, banyak masalah yang terpaksa ditempuhi.
“Pastinya, konvoi kali ini lebih getir kerana kami ke tanah suci menggunakan motosikal kapcai standard hasil sumbangan pihak Modenas.
“Namun, keyakinan kami tetap tinggi. Andai ada perancangan yang rapi, tidak mustahil motosikal kapcai ini pun mampu sampai ke Mekah,” ujar Presiden Kelab Kembara Musafir itu.
Tambah menarik, konvoi itu memilih menggunakan laluan Myanmar-India berbanding kelaziman penunggang lain dari Malaysia yang gemar menggunakan laluan di sebelah China.
Jelas lelaki berkulit sawo matang itu, laluan Myanmar-India lebih dekat berbanding China, sekali gus dapat menjimatkan kos dan masa perjalanan.
“Saya sudah lama tidak menggunakan laluan ini. Ini kerana, sempadan antara Myanmar-India ditutup akibat pergolakan sebelum ia dibuka semula sejak dua tahun lalu,” katanya.
Ekspedisi ke Thailand berjalan dengan lancar tetapi kesulitan mula dirasai sewaktu tiba di Mae Sot iaitu sebuah pekan kecil di sempadan antara timur Thailand dan Myanmar.
Konvoi itu dihalang daripada memasuki Myanmar kerana permohonan permit kenderaan mereka masih belum mendapat lampu hijau.
“Akibatnya, kami tersadai di Mae Sot selama 12 hari kerana menunggu permohonan permit diluluskan. Masalah ini mengganggu jadual perjalanan asal kami.
Ubah jadual
pengalaman diiringi pasukan bersenjata AK-47 antara detik yang sukar dilupakan oleh Azman dan rakan-rakannya.

“Waktu ini, bibit-bibit rasa putus asa mula timbul dalam kalangan peserta konvoi. Sebagai penasihat, saya banyak memberi semangat kepada rakan-rakan dan percaya semua yang berlaku itu adalah ujian daripada Allah sebelum kami dapat menjadi tetamu-Nya,” katanya.
Menurut Azman, setiap perancangan Allah itu pasti ada hikmahnya. Ini kerana, mereka mendapat perkhabaran tentang Myanmar yang dilanda banjir besar pada hari mereka sepatutnya berada di sana.
Akibat daripada mengejar masa dan kejadian bencana alam di Myanmar, Azman dan rakan-rakan memilih untuk menggunakan plan B iaitu menaiki kapal terbang.
Katanya, mereka sepakat untuk menggunakan kapal terbang dari Bangkok ke Islamabad, Pakistan tanpa melalui Myanmar dan India.
“Kami terpaksa mengubah jadual asal disebabkan masalah banjir dan permit. Jadi, kami bawa motosikal naik kapal terbang.
“Walaupun kosnya agak besar, kami tiada pilihan lain. Ini bagi memastikan kami tidak terlepas hari wukuf di Arafah pada 9 September,” ulas bekas pelajar Sekolah Menengah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur itu.
Selepas motosikal sampai di Pakistan pada hari berikutnya, mereka meneruskan perjalanan seperti biasa dari Islamabad menuju ke Balichistan iaitu bandar bersempadan antara Pakistan dan Iran.
Ketika memasuki Pakistan, perjalanan bertambah sukar kerana terpaksa menempuh cuaca panas mencecah 48 darjah Celsius, debu selain ancaman keselamatan.
Malah, pada satu ketika, tiga daripada peserta konvoi itu terjatuh daripada motosikal sewaktu melalui laluan yang sedang diturap pada waktu malam.
“Semua masalah yang dihadapi di Pakistan dapat diselesaikan dengan mudah selepas memberitahu niat murni kami.
“Apabila mereka dengar perkataan Mekah, ramai yang ingin membantu. Ia satu perkataan yang sangat ajaib,” katanya sambil menceritakan pengalaman diiringi pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata AK-47 di Pakistan.
Antara pengalaman lain tidak dapat dilupakan ialah saat tidur bersama motosikal di belakang lori selama 12 jam.
Ceritanya, selepas seharian menunggang motosikal sejauh 600km dari Lahore, mereka berhenti seketika di sebuah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran bandar Multan.
Di kawasan R&R itu, terdapat beberapa buah lori yang turut berhenti.
“Daripada situ, timbul idea untuk naik dan tidur di belakang lori bersama motosikal. Tambahan pula, lori itu menuju ke destinasi yang kami tuju.
“Keesokan paginya, habis motosikal terbalik disebabkan jalan di sana (Pakistan) yang agak teruk tetapi yang penting kami dapat rehat dan jimat masa,” kenangnya sambil ketawa.
Selamat
Perjalanan di Iran selama tiga hari membawa kumpulan konvoi ke Bandar Abbas iaitu sebuah bandar pelabuhan sebelum memasuki UAE menaiki feri.
Di UAE, mereka memilih untuk tinggal selama beberapa hari sementara menunggu visa haji sebelum dibenarkan memasuki Arab Saudi.
Namun, hajat mereka untuk bermotosikal ke Arab Saudi terbantut selepas diberitahu oleh pihak berkuasa UAE bahawa Arab Saudi melarang kenderaan persendirian memasuki negara itu bermula 3 September.
“Kami tidak tahu sama sekali mengenai sekatan ini. Jadi, kami terpaksa menggunakan kapal terbang sekali lagi dan motosikal tinggal di UAE.
“Kami berjaya menjejakkan kaki ke Mekah pada 6 September bersama para tetamu Allah yang lain untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini,” kata Azman.
Katanya, konvoi itu tidak berjalan seperti dirancang, namun mereka sangat bersyukur kerana selamat dan berjaya menunaikan Rukun Islam kelima tersebut.
“Kami telah membuktikan, dengan motosikal kapcai dan modal RM16,000, kami mampu sampai ke Mekah,” katanya yang kini aktif berkongsi pengalaman Road to Hajj bersama masyarakat.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4Otc46ztS 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan