Lelaki ini mula berminat untuk menjalani kehidupan seperti puntianak ketika berusia 12 tahun. |
SEORANG remaja lelaki sanggup menghabiskan usia mudanya menjalani kehidupan aneh apabila memilih untuk menjadi seperti puntianak.
Remaja yang dikenali sebagai Darkness Vlad Tepes, 25, itu telah menjalani kehidupan pelik sejak berusia 12 tahun lagi.
Lebih memeranjatkan, dia bukan sahaja memakai pakaian serba hitam dan meniru kehidupan aneh puntianak, malah turut sanggup tinggal di dalam sebuah keranda selain minum darah daripada lembu dan babi.
Kesemua itu dilakukan Tepes bagi memastikan dia menjalani kehidupan seperti puntianak yang sebenar.
Menurut Tepes, dia mula tertarik untuk menjalani kehidupan ala puntianak ketika berusia 12 tahun.
“Pada waktu itu saya menetap di Galway, Ireland.
“Pada suatu hari, ketika saya sedang membawa anjing keluar bersiar-siar di sebuah hutan berdekatan kediaman, saya ternampak sekumpulan gadis yang memakai serba hitam dan muka berconteng.
“Disebabkan takut melihat kumpulan gadis tersebut, saya kemudian lari ke rumah.
“Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, timbul perasaan ingin tahu dan tertarik untuk berpakaian seperti kumpulan gadis tersebut,” jelasnya.
Menurut Tepes, dia kemudian pergi ke lokasi yang menemukan dia dengan kumpulan gadis tersebut.
“Bermula dari saat itu, saya didedahkan dengan kehidupan puntianak.
“Kesemua gadis tersebut banyak memberi ilmu pengetahuan mengenai puntianak sebelum saya kemudiannya meneroka sendiri,” jelasnya.
Taring
Ujarnya lagi, untuk menjadi seperti puntianak, dia perlu berhati keras dan berani untuk mempraktikkan kehidupan semula jadi hantu tersebut.
Sebagai sebahagian daripada kepercayaannya, Tepes tidur dalam sebuah keranda seberat 25 kilogram yang ditempah khas untuknya beberapa tahun lalu.
Tepes juga mengenakan solekan pada bahagian muka bagi menampakkan wajah yang pucat seperti puntianak, memakai pakaian gelap, memakai taring palsu dan mengenakan gincu bibir berwarna hitam.
Bukan itu sahaja, dia juga menjalani rejim diet ketat yang diamalkan oleh puntianak dan menjauhkan diri daripada makanan berlemak selain menjadikan darah lembu dan babi sebagai minuman utama.
Alahan cahaya
Cerita Tepes, sepanjang menjalani kehidupan seperti puntianak, dia mengakui banyak perbezaan yang dirasakan. Terutamanya daripada bahan bacaan dan filem seperti Twilight serta Dracula.
“Saya selalu digambarkan bahawa kehidupan puntianak membuatkan mereka alah terhadap bawang putih dan juga cahaya matahari.
“Bagaimanapun, berbeza bagi saya kerana saya langsung tidak mengalami alahan terhadap kedua-dua perkara tersebut dan bebas bergerak dalam keadaan panas terik walaupun mengamalkan rejim diet yang ketat seperti puntianak.
“Mungkin kerana saya merupakan seorang manusia dan perkara tersebut menyebabkan alahan yang digambarkan terhadap puntianak tidak dialami oleh saya,” jelasnya.
Menurut Tepes, biarpun kehidupan yang dijalaninya kini agak sukar, namun dia begitu gembira menjadi puntianak.
Dalam pada itu, ibu Tepes, Sylvia Lancaster, 45, memberitahu, dia tidak kisah dengan kehidupan yang dipilih oleh anaknya, bagaimanapun, dia tetap berasa sedih apabila Tepes sering menjadi mangsa kutukan orang ramai.
“Saya tidak faham dengan pandangan negatif yang diterima oleh Tepes. Mereka perlu sedar bahawa itu semua merupakan hak individu dan setiap seorang daripada kita bebas untuk melakukan apa-apa sahaja,” jelasnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm#ixzz4IBBSyvRh
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan