23 Ogos 2016

Artikel Menarik (Ogos 2016) - Imbauan bencana tasik pembunuh


WARNA air Tasik Nyos bertukar menjadi keruh kemerah-merahan kesan daripada mendapan besi yang naik ke permukaan.



TENGAH malam itu Joseph Nkwain yang sedang lena diulit mimpi dikejutkan dengan rasa panas luar biasa. Dia pada mulanya menganggap bahang yang dirasakan itu hanya salah satu daripada petanda hujan akan turun.
“Biasanya sebelum masuk musim hujan, kita akan rasa sedikit kepanasan dan itu yang saya rasakan pada malam berkenaan. Saya bangun dan ambil baldi untuk menadah air hujan di luar rumah sebelum sambung tidur semula,” ujarnya.
Bagaimanapun, tidur Nkwain kali ini diganggu dengan bunyi deruman kuat seperti enjin kapal terbang.
“Tiba-tiba kulit saya menjadi panas dan udara sekeliling terasa kering. Saya terbau sesuatu yang busuk jadi saya tutup hidung serta mulut dan duduk berdiam diri.
“Ketika itu, saya terdengar anak perempuan saya berdengkur dengan kuat. Bunyi dengkurannya kedengaran teruk dan sangat pelik,” ceritanya.
Dalam kesamaran, Nkwain berjalan perlahan-lahan menuju ke katil anaknya tetapi pandangannya tiba-tiba menjadi kabur dan tubuhnya terasa lemah.
Dia jatuh pengsan dan hanya terjaga pada keesokan hari kira-kira pukul 9 pagi selepas dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat pada pintu rumah.
Pun begitu Nkwain berada dalam keadaan mamai dan tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya.
“Salah seorang jiran saya datang ke rumah dan bertanya sesuatu kepada saya tetapi saya tidak ingat apa yang berlaku. Saya tidak mampu bercakap dan nafas saya tersekat-sekat.
“Kemudian saya tertidur semula pada pukul 11.30 pagi. Anak saya juga masih belum bangun. Saya fikir dia masih tidur sedangkan dia sudah mati pada waktu itu. Saya hanya terjaga pada pukul 4.30 petang dan ketika itulah saya mulai sedar ada sesuatu yang tidak kena,” tambahnya.
Gas beracun



TASIK Nyos pada asalnya berwarna biru sebelum kejadian letusan limnic berlaku.


Bercerita lanjut, Nkwain berkata, dia terkejut melihat seluarnya bertukar merah dan dipenuhi kesan kotoran seperti madu. Kedua-dua belah tangan dan mukanya juga dipenuhi kesan luka.
“Saya segera mendapatkan anak saya, namun sayangnya dia sudah tidak bernyawa lagi. Keadaan di luar rumah juga begitu sunyi tanpa suara jiran tetangga. Rupa-rupanya mereka juga sudah menemui ajal masing-masing,” katanya seperti dipetik Atlas Obscura.
Begitulah gambaran yang diceritakan Nkwain, salah seorang mangsa yang terselamat dalam bencana Tasik Nyos yang disifatkan sebagai bencana alam paling aneh pernah berlaku dalam sejarah dunia.
Dikenali penduduk tempatan sebagai Tasik Jahat, Tasik Nyos yang terletak di wilayah barat laut Cameroon, kira-kira 322 kilometer dari ibu negaranya, Yaounde, tasik itu dipercayai dihuni makhluk jahat yang hanya timbul ke permukaan untuk membunuh sesiapa yang mendekati tasik berkenaan.
Begitu pun, apa yang berlaku di Tasik Nyos 30 tahun lepas bukanlah suatu yang dongeng sebaliknya kisah malapetaka sebenar.
Dalam kejadian yang berlaku pada 21 Ogos 1986 itu, Tasik Nyos yang terletak dalam kawasan gunung berapi meletus dan membebaskan gas beracun sehingga meragut 1,746 nyawa selain mengorbankan 3,500 ekor haiwan ternakan.
Terbentuk hasil daripada aktiviti volkanik subterranean, tasik kawah gunung berapi biasanya memiliki kandungan karbon dioksida yang sangat tinggi.
Dalam keadaan normal, gas tersebut lazimnya dibebaskan ke atmosfera dari semasa ke semasa tetapi itu tidak berlaku di Tasik Nyos.
Tasik tersebut memerangkap gas karbon dioksida di bawah permukaan air selama beratus-ratus tahun lamanya sehingga ia seolah-olah menjadi unit simpanan gas bertekanan tinggi.
“Keadaan itu diibaratkan seperti bom jangka yang menunggu masa untuk meletup,” lapor portal berita New Indian Express.
Tasik keruh





SALAH seorang daripada enam mangsa yang terselamat dalam bencana Tasik Nyos melihat haiwan ternakannya yang telah mati.




Akhirnya, pada 21 Ogos 1986, sesuatu terjadi kepada tasik itu. Dikenali sebagai Letusan Limnic, Tasik Nyos meletup dan memancutkan air setinggi 91.5 meter ke udara sehingga mencetuskan tsunami kecil.
Namun, apa yang lebih membahayakan bukanlah pancutan air itu sebaliknya beratus-ratus ribu tan gas karbon dioksida yang terbebas ke udara.
Gas tersebut bercampur dengan air dan sedikit hidrogen sulfid beracun yang mampu membunuh kerana ia menggantikan oksigen dalam udara sehingga boleh menyebabkan kesesakan nafas.
Dengan kelajuan 96.5 kilometer sejam, gelombang besar gas karbon dioksida itu membunuh semua hidupan sejauh 25 kilometer daripada tempat kejadian dalam tempoh kurang dari 20 saat.
Kesemua penduduk kampung Kam, Cha dan Subum yang tinggal berdekatan tasik itu maut, manakala hanya enam daripada lebih 800 penduduk kampung Nyos selamat dalam kejadian terbabit.
“Rata-rata mangsa mati dalam tidur. Mereka yang terselamat menyelamatkan diri dengan menaiki motosikal ke kawasan lebih tinggi,” kata Nzwain.
Tasik yang sebelum ini biru warna airnya bertukar menjadi keruh kemerah-merahan. Perubahan warna tersebut berpunca daripada kandungan besi di dasar tasik yang bergerak naik ke permukaan air.
Sejak peristiwa hitam itu, ahli-ahli sains dari Perancis telah melaksanakan program nyahgas. Pada tahun 2001 mereka memasang paip di dasar tasik bagi membolehkan gas karbon dioksida dibebaskan pada kadar normal. Dua batang paip ditambah lagi pada tahun 2011.
Selain itu, sistem penggera berkuasa solar turut dipasang untuk memantau tahap gas karbon dioksida.
“Sekurang-kurangnya, ia akan memberi amaran kepada penduduk jika berlaku lagi letusan di tasik paling berbahaya di dunia ini,” ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4IB9AMkmf 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan