10 Disember 2015

Artikel Menarik (November 2015) - Pipistrel peneraju pesawat elektrik



Pesawat elektrik dua tempat duduk keluaran syarikat Pipistrel ini mampu terbang sejauh 650 kilometer.


SELEPAS lebih satu abad pasangan adik-beradik Wright berjaya menerbangkan pesawat pertama di dunia, sebuah syarikat kecil dari Slovenia memasang impian untuk merevolusikan industri penerbangan global menerusi pesawat elektrik yang telah memenangi banyak anugerah.
Pesawat ringan dua tempat duduk, Taurus Electro yang direka Pipistrel dianggap sebagai satu nafas baharu dalam sistem penerbangan dunia yang didakwa menyumbang sebanyak 13 peratus kandungan karbon dioksida daripada keseluruhan kenderaan yang dihasilkan.
Sejak dilancarkan pada 2007, sebanyak 20 tempahan diterima setiap tahun untuk pesawat yang dibangunkan di sebuah kilang di bandar Ajdovscina bersempadanan dengan Itali.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pipistrel, dengan kos sebanyak ¤110,000 (RM502,155) tidak termasuk kos penyelenggaraan iaitu pada kadar 70 sen sejam, kos penerbangan pesawat Taurus adalah 10 kali ganda lebih murah berbanding pesawat tradisional seumpamanya.
Pengendalian pesawat itu sangat ringkas iaitu hanya perlu cas bateri masuk ke dalam kokpit dan tekan butang on untuk mengaktifkan kipas fiuslaj.
Pesawat yang mempunyai sayap yang lebar itu mampu membawa penumpang pada ketinggian 2,000 meter pada aras laut dan membelah udara seperti kapal layar walaupun setelah enjin dimatikan.
“Anda hanya ada dua butang, atas dan bawah serta kuasa penuh tetapi anda boleh menekan butang itu apabila ingin memperlahankannya,” jelas juruterbang Nejc Faganelj ketika menerbangkan pesawat itu di ruang udara Slovenia.
Di sebalik penggunaan yang mudah, ia memiliki rekaan yang sangat kompleks.
Elemen yang paling sukar dan memberi cabaran besar ialah penggunaan bateri litium yang memerlukan kajian lebih mendalam bagi mengelakkan ia terlalu panas atau berisiko mengeluarkan percikan api.
“Untuk meniru rekaan bateri yang digunakan pada kereta memang bukan sesuatu yang sukar tetapi untuk menjadikannya lebih ringan dan efisyen bagi industri penerbangan, ia sememangnya sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini,” kata jurutera Pipistrel, Jure Tomaciz.
Bagaimanapun, Pipistrel memasang cita-cita yang lebih besar iaitu mahu menjual pesawat elektrik empat tempat duduk pertama di dunia.
Pesawat prototaip Taurus G4 yang dibina hasil gabungan pesawat dua tempat duduk itu telah memenangi anugerah NASA Green Flight 2011.
Pesawat itu melakukan penerbangan sejauh 650 kilometer (km) selama dua jam dengan purata kelajuan 172 kilometer sejam (kmj).

Komponen enjin pesawat Taurus ini menggunakan teknologi kuasa elektrik.


“Di dalam industri kereta, walaupun semua wang telah dilaburkan dan tiada had berat, sehingga kini masih belum ada kereta elektrik yang mampu membawa empat penumpang sejauh 600km pada tahap kelajuan 200kmj.
Rendah karbon
“Namun, kami berjaya melakukannya menggunakan pesawat elektrik kami,” jelas pengasas Pipistrel, Ivo Boscarol.
Anak kepada jurutera mekanik yang menukarKARIER kepada pemandu uji pesawat itu telah menghabiskan masa sejak tiga dekad lalu untuk membangunkan ciptaan yang memenuhi spesifikasi rendah karbon.
Ketika mencipta pesawat pertama pada era 1980-an, dia telah mengujinya secara rahsia iaitu selepas zaman pesawat penumpang persendirian dilarang di Slovenia ketika pendudukan komunis Yugoslavia.
Boscarol mendapat inspirasi untuk memberi nama kepada syarikatnya daripada sejenis kelawar pipisterelle, sesuai dengan rekaan pesawat yang mempunyai rekaan aerodinamik pada bahagian sayapnya.
Kini, firma penerbangan Slovenia itu meneraju pasaran pesawat cekap kuasa dengan Boscarol muncul sebagai salah satu daripada berita hangat pada 2015 dalam Politico yang sangat berpengaruh di Eropah.
“Saya pasti, pesawat elektrik ini bakal menjadi sebuah pesawat yang standard. Ia mampu merentasi Atlantik, terbang lebih pantas dan membawa ramai penumpang,” jelasnya dengan yakin.
Bagaimanapun, wujud kebimbangan dalam kalangan syarikat penerbangan berskala besar yang mendakwa ia (pesawat elektrik) masih memerlukan tempoh yang panjang sebelum teknologi tersebut boleh digunakan pada pesawat yang lebih besar.
“Saya tidak rasa kami dapat melihat semua pesawat menggunakan teknologi elektrik walaupun dalam tempoh 50 tahun lagi,” jelas Philippe Petitcolin daripada Safran iaitu sebuah syarikat yang menyediakan enjin untuk Airbus.
Namun pegawai tertinggi Kumpulan Airbus, Tom Enders memberitahu, dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, orang ramai mungkin dapat merentasi wilayah berhampiran dengan menaiki pesawat berkapasiti 60 tempat duduk.


Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz3tsPPcDI1 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan