10 Disember 2015

Artikel Menarik (Disember 2015) - Menu halal cita rasa Hong Kong



Watak-watak Disney digunakan untuk menarik perhatian pengunjung kanak-kanak.


PERTAMA kali menjejakkan kaki ke Taman Tema Disneyland, Hong Kong perasaan penulis bercampur baur. Meskipun teruja dengan tugasan yang diberi, namun masih timbul rasa gusar kemungkinan sukarMENDAPATKAN makanan halal.
Hal ini kerana negara bekas jajahan kolonial British itu dihuni oleh majoriti penduduk beragama Kristian dan Buddha.
Malah, terlintas dalam fikiran untuk membawa bekalan makanan segera sebagai persediaan jika makanan halal tidak disediakan oleh pihak penganjur.
Namun, jangkaan awal tersebut ternyata meleset sama sekali sebaik menjejakkan kaki ke Hotel Hollywood. Ia merupakan salah satu daripada dua tempat penginapan di Disneyland.
“Hong Kong merupakan syurga makanan di Asia Timur. Walaupun begitu, kami tidak pernah lupa menyediakan makanan halal kepada pengunjung beragama Islam.
“Kami sentiasa mematuhi piawaian yang perlu dipatuhi dalam menyediakan makanan halal daripada penyembelihan haiwan sehinggalah bahan-bahan yang digunakan dalam masakan,” ujar Cef Eksekutif Disneyland Hong Kong, Rudolf Muller.
Antara menu makanan halal yang disediakan di taman tema yang terletak di Teluk Penny, Pulau Lantau itu ialah nasi ayam, gado-gado, nasi gulai ikan, bakso, nasi ayam rendang dan nasi lemak ayam.
Menurut Muller, pihaknya sentiasa menambah baik hidangan halal di taman tema bagi memenuhi selera pengunjung terutamanya dari Malaysia dan Indonesia.

RESTORAN Tahituan Terrrace menyediakan pelbagai menu halal di Disneyland Hong Kong.


Menu Asia Barat
“Kami mempunyai cef-cef beragama Islam yang berpengalaman dari Malaysia, Singapura dan Indonesia yang bertanggungjawab untuk menyediakan hidangan halal,” katanya yang telah berkhidmat di Disneyland sejak 2003.
Pada masa sama, pihaknya juga menambah beberapa lagi hidangan halal dari Asia Barat untuk menarik minat pengunjung dari rantau berkenaan. Disebabkan kebanyakan pelancong Disneyland terdiri daripada kanak-kanak, maka pihaknya telah menyediakan beberapa menu khas untuk kumpulan tersebut.
Antara menu yang disediakan termasuklah wafer, aiskrim, gula-gula kapas, bijirin coklat, susu, bubur dan bertih jagung.
“Kami sedar golongan kanak-kanak begitu gemar dengan watak-watak Disney seperti Mickey dan Minie Mouse. Bagi menarik minat mereka, kami menyediakan beberapa hidangan mengikut bentuk muka watak tersebut.
“Kami juga sentiasa memastikan makanan untuk golongan kanak-kanak sentiasa berkhasiat dan bebas daripada bahan perasa monosodium glutamate,” katanya lagi.
Mengulas mengenai hidangan istimewa sempena ulang tahun ke-10 Disneyland Hong Kong, Muller menjelaskan, dia menyediakan lebih 30 hidangan tambahan. Antara hidangan yang wajib dicuba oleh pengunjung ialah set teh, burger kombo BayMax, kek cawan bluberi, roti stim, serta kek keju limau dan strawberi.
“Hidangan ini dihasilkan khusus untuk meraikan tetamu Disneyland sepanjang sambutan berlangsung.
“Kami telah mencipta beberapa hiasan berkaitan sambutan ulang tahun ke-10 Disneyland. Hiasan ini sungguh cantik sehingga ada pengunjung yang tidak sampai hati untuk menikmatinya,” ujar Muller lagi.


Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3tsQfmK11 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan