04 November 2015

Artikel Menarik (November 2015) - Tenrog suka sorok budak




"KAMI percaya pasukan penyelamat gagal mendengar jeritan kanak-kanak ini kerana mereka sedang ‘dijaga’ oleh tenrog. Saya sendiri ada melakukan pencarian di kawasan mereka ditemui ini selepas empat hari hilang. Malah, ada malam yang saya tidur di dalam hutan tetapi tiada sebarang jejak ditemui. Kejadian ini memang membingungkan."
Demikian dakwa Akek Bahir, 46, salah seorang sukarelawan yang terlibat dalam usaha pencarian tujuh orang anak Orang Asli yang hilang selama 47 hari di dalam Hutan Rizab Balah, Gua Musang pada 23 Ogos lalu.
Daripada tujuh mangsa, hanya Mirsudiar Aluj, 11, dan Norieen Yaakob, 10, yang ditemui masih hidup dalam keadaan kurus kering sementara yang lain mati mereput selain lemas dihanyutkan arus deras Sungai Perias.
Seorang Tok Batin dari Pos Bihai, Alang Segan berkata, berdasarkan kepercayaan orang tua sejak dahulukala, tenrog atau orang bunian dalam bahasa Melayu dikatakan suka berkawan dengan manusia.

MASYARAKAT Orang Asli melarang kanak-kanak ke hutan seorang diri tanpa ditemani orang dewasa.


Bersifat ghaib
Menurutnya, tenrog yang menjadi penghuni hutan dipercayai mirip manusia kecuali mereka bersifat ghaib dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
"Ada yang menyedari kehadiran tenrog di sekeliling mereka menerusi bau wangi, malah ada yang terserempak dengan kelibat mereka seperti manusia berpakaian elok.
"Kita tak boleh berkawan dengannya sebab dia bukanlah manusia biasa tetapi makhluk ghaib. Ia dipercayai tinggal di sebuah perkampungan mewah yang mempunyai taman yang cantik selain makanan yang dihidangkan juga sangat lazat.
"Mengikut kepercayaan, kalau kita masuk ke dalam hutan sehingga tersesat jalan, tenroglah yang bawa kita tetapi ia hanya ingin mendampingi dan bukan untuk membuat khianat," cerita Alang.
Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Bihai, Abam Pedik, 55, mengakui, tenrog memang wujud dan tempat yang digemarinya adalah di dalam hutan, gunung dan bukit.
Abam berkata, masyarakat Orang Asli percaya ada pantang larang yang perlu dipatuhi jika mahu menjejakkan kaki ke kawasan hutan.
"Orang Asli percaya tenrog masih wujud. Oleh sebab itulah jika nak ke hutan secara berseorangan, kita kena berhati-hati. Kita mesti berdoa supaya minta dijauhkan dengan perkara buruk," katanya.
Tambah Abam, golongan kanak-kanak dilarang masuk ke hutan seorang diri tanpa ditemani orang dewasa.

GOLONGAN wanita Orang Asli yang mahir menghasilkan kraftangan akan membuat perhiasan kepala untuk upacara sewang untuk mencari orang hilang.


Disorok tenrog
"Masyarakat kami percaya manusia perlu mengetahui pantang larang jika mahu menjejak kaki ke kawasan hutan. Sekiranya peraturan ini dilanggar, penghuni hutan akan marah sehingga mengundang kejadian yang tidak diingini.
"Antara pantang larang utama ialah kita jangan cakap besar dan membuat kerosakan atau pencemaran di dalam hutan. Kita juga perlu memohon kebenaran daripada penghuni hutan terlebih dulu sebelum boleh memasuki kawasan itu," katanya.
Seorang lagi penduduk, Asona Arau, 36, memberitahu, tenrog suka bermain dengan kanak-kanak sehingga keadaan itu menimbulkan rasa takut dalam kalangan ibu bapa kerana bimbang anak mereka disorok makhluk itu.
"Tenrog amat menggemari kanak-kanak. Beberapa tahun lepas di kampung ini, ada seorang budak ‘disorok’ tenrog selama beberapa hari selepas mereka bermain di atas bukit.
"Dia membawa kanak-kanak berkenaan masuk ke alam mereka selama beberapa hari sebelum ditemui semula orang kampung di sebatang pokok besar," katanya.
Cerita Asona, ketika dibawa ke alam tenrog, mangsa selalunya tidak akan berasa lapar dan tidak ingat untuk makan dan minum.
"Kami percaya kanak-kanak yang tersesat itu diberi makan tenrog kerana ketika ditemui dia dalam keadaan sihat walaupun tersesat beberapa hari di dalam hutan.
"Jika berada di alam tenrog, mangsa seolah-olah berada di dunia asing. Mereka seperti berada di alam lain walaupun hakikatnya mungkin berada di kawasan semak-samun, dalam lubang gua atau di bawah banir pokok.
"Adakalanya, sehinggakan terkena duri atau disengat binatang berbisa sekalipun kita tidak menyedarinya," katanya.

MENGIKUT tradisi semua penduduk kampung terlibat akan berbincang secara beramai-ramai sebelum mengadakan upacara sewang


Sesat
Asona yang mendakwa, dirinya pernah sesat di dalam hutan angkara ‘kerja’ tenrog kira-kira empat tahun lalu memberitahu, pengalaman itu sukar dilupakan sehingga dia mengakui agak takut jika mahu masuk ke hutan.
Katanya, peristiwa berlaku ketika dia bersama rakan-rakannya ingin pergi berburu mencari haiwan di dalam hutan untuk membuat majlis kenduri padi.
Bagaimanapun, dalam keghairahan mencari binatang hutan, mereka tersesat sehingga tidak menjumpai jalan keluar.
"Kejadian berlaku sekitar pukul 8 pagi hingga 6 petang semasa saya bersama enam orang rakan masuk ke hutan berdekatan kampung ini. Kami membina sebuah khemah sebagai tempat untuk berteduh sambil berehat menunggu binatang terkena jerat.
"Agak lama kami berlegar-legar di kawasan yang sama. Ketika itu suasana sungguh hening dan tiba-tiba keadaan berangin agak kencang menyebabkan pokok bergoyang dan daun berguguran.
"Selepas itu, seekor lutong betul-betul terjatuh di hadapan kami. Kami percaya makhluk ghaib yang membantu kami mendapat rezeki pada hari itu.
"Saya pun cakap, ‘tok tinggallah lauk-pauk ni, tolong tinggal untuk saya sekeluarga nak makan’," katanya yang meminta izin daripada makhluk ghaib itu.


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3qVKlCb00 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan