11 November 2015

Artikel Menarik (November 2015) - Isu vape: Kutip duti eksais



SEHINGGA kini, lebih 1 juta pengguna vape dalam kalangan rakyat Malaysia. – Gambar hiasan


Kisah berkenaan penggunaan rokok elektronik atau vape bukanlah satu isu yang baru diperdebatkan.
Antara isu yang mula dibangkitkan ialah letupan rokok elektronik dalam pesawat, budaya vape dalam kalangan wanita, kandungan racun dan nikotin yang lebih tinggi serta fatwa pengharamannya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam baru-baru ini turut mengumumkan kerajaan sedang mengkaji untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik secara menyeluruh.
Kajian dijalankan bagi mencari rang undang-undang yang akan digunakan bagi mengharamkan penjualan serta penggunaannya oleh orang ramai pada masa hadapan.
Hampir serentak dalam kebangkitan isu ini ialah berita syarikat rokok menaikkan harga sekotak sekitar 40 peratus.
Penulis sempat membaca laporan kewangan yang dikeluarkan oleh beberapa buah syarikat pengeluar rokok yang tersenarai di Bursa Malaysia minggu lalu.
Seperkara yang dapat disimpulkan ialah kemerosotan pendapatan syarikat-syarikat rokok kebelakangan ini berpunca daripada rokok seludup yang berleluasa di seluruh negara.
Penulis bukanlah perokok. Maka, setiap isu yang timbul hingar bingar kebelakangan ini dirasakan tidak begitu relevan untuk diambil kisah.
Bagaimanapun, sebagai seorang ahli akademik, penulis berminat untuk melihat isu ini dalam konteks penentuan agenda pihak berkepentingan dan melihat kaedah penyelesaiannya.
Faktor kos
Berdasarkan tinjauan terhadap rakan-rakan penulis yang menghisap vape sejak beberapa tahun lalu, faktor kos menjadi tumpuan utama kerana mereka hanya perlu berbelanja kira-kira RM90 sebulan berbanding RM200 rokok biasa.
Itu tidak lagi termasuk 40 peratus kenaikan rokok biasa yang diumumkan baru-baru ini. Makanya, tidak hairanlah vape mula mencuri perhatian dan sehingga kini terdapat sekitar sejuta pengguna dalam kalangan rakyat Malaysia.
Mungkin sukar untuk membuktikan hipotesis yang mengaitkan antara kejatuhan pendapatan syarikat-syarikat rokok ini dengan meningkatnya kempen pengharaman penggunaan vape.
Begitupun, tidak sukar untuk kita memahami bahawa cukai rokok adalah antara penyumbang terbesar pendapatan negara.
Cukai
Populariti vape yang berjaya mencuri perhatian penghisap rokok secara langsung mengurangkan pendapatan negara khususnya dalam bentuk cukai.
Ia ditambah pula dengan berita Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa yang mengatakan penggunaan rokok elektronik ini haram.
Sudah pasti ia menimbulkan dilema dalam kalangan pengguna dan pihak berkuasa.
Persoalannya, sejauh mana respons golongan perokok tegar setelah rokok, vape dan shisha difatwakan sebagai haram?
Secara peribadi, penulis bukanlah ingin mempersoalkan soal hukum-hakam yang telah difatwakan, namun berasa agak skeptikal untuk melihat sejauh mana usaha pengharaman melalui penguatkuasaan undang-undang agama ini akan membuahkan hasil yang optimum.
Walaupun pihak berkuasa ketika ini giat mengadakan serbuan di kedai atau pasar malam yang menjual vape, peniaga yang kreatif ini pasti ada kaedah lain untuk memasarkan produk mereka khususnya dalam talian.
Kaedah ini pastinya akan lebih merugikan negara kerana kemungkinan urus niaga mereka langsung tidak dikenakan cukai.
Kandungan kimia yang terdapat di dalamnya juga gagal dipantau oleh pihak berkuasa, sekali gus mampu membahayakan kesihatan pengguna.
Penulis menyambut baik cadangan kerajaan untuk mengawal penggunaan vape atas alasan kesihatan. Ia seharusnya dihadkan kepada mereka yang sudah cukup dewasa untuk menilai buruk baik benda yang dimasukkan ke dalam tubuh mereka.
Bagaimanapun, pengharaman secara menyeluruh mungkin bukan langkah terbaik kerana terdapat banyak kajian yang menunjukkan keberkesanan vape untuk menggalakkan individu berhenti merokok.
Disebabkan dilema yang masih wujud antara faktor keagamaan dan ekonomi, maka kaedah terbaik untuk mengekang penggunaan vape adalah dalam konteks penggubalan dasar yang mendorong kepada pengenalan duti eksais.
Pengenalan cukai ini membolehkan pihak berkuasa mencapai objektif membendung penggunaan rokok elektronik dan memperoleh pendapatan cukai untuk faedah negara.
Pengenaan cukai dijangka mampu melaraskan harga vape di pasaran sekali gus membantu pengusaha rokok tembakau bersaing secara lebih kompetitif.


Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3rAW8U2Gi 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan