13 Julai 2015

Artikel Menarik Julai (2015) - Bubur Harlem masyarakat Myanmar

GURU-GURU di Madrasah sedang bertungkus-lumus membungkus bubur Harlem untuk dijual

.



RUANG dapur Madrasah Hashimiah yang terletak di Kompleks Pasar Borong, Selayang kedengaran riuh-rendah dengan gelak ketawa anak-anak pelarian Rohingya.
Masing-masing kelihatan begitu sibuk membungkus bubur Burma atau lebih dikenali sebagai Buburma atau bubur Harlem yang baru dimasak oleh tiga orang gurunya.
Biarpun masih kecil dan dalam keadaan sedang berpuasa, namun kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 6 hingga 11 tahun itu kelihatan sungguh ceria dan begitu teruja untuk menghulurkan bantuan.
“Di Myanmar, ini merupakan bubur tradisi masyarakat kami setiap kali tibanya bulan Ramadan.
“Sejak madrasah ini ditubuhkan lebih 10 tahun yang lalu, kami akan memasak sendiri bubur Harlem untuk dijadikan juadah pada waktu berbuka selain dijual pada orang ramai, bagi menampung kos pembiayaan infrastruktur madrasah,” jelas Hashim Kassim yang merupakan pengasas madrasah tersebut.
Seperti di Malaysia, Myanmar turut mempunyai bubur tradisi yang menjadi simbolik bulan Ramadan.
Bagaimanapun, menurut Hashim, apa yang membezakan kedua-dua bubur ini ialah bubur Harlem mempunyai keunikan rasa yang tersendiri kerana ia menggunakan lima jenis kekacang sebagai ramuan utama.
“Dari segi rempah yang digunakan mungkin sama sahaja kerana setiap masakan semestinya menggunakan rempah ratus sebagai bahan penyedap selain penggunaan daging yang bertindak sebagai pelengkap rasa.
“Bubur Harlem ini menggunakan lima jenis kekacang iaitu kacang merah, kacang dal arhar, dal mung, bijirin faro dan kacang kuda kering sebagai ramuan utama yang akan dimasak sehingga sebati,” jelasnya.
Ubat rindu
bubur Harlem ubat kerinduan masyarakat Myanmar Islam terhadap kampung halaman.
Bercerita mengenai bubur Harlem, jelas Hashim yang juga merupakan pelarian Rohingya pertama di Malaysia, resipi penyediaan bubur tersebut dipelajarinya sendiri daripada seorang saudara terdekat.
“Saya mengambil masa tiga hari untuk mempelajari cara pembuatan bubur Harlem sebelum mampu menghasilkannya sendiri.
“Pada mulanya, percubaan awal menemui kegagalan memandangkan saya tidak dibekalkan dengan salinan resipi dan terpaksa menyukat mengikut anggaran sendiri.
“Bagaimanapun, disebabkan terlalu berminat untuk mempelajari kaedah pembuatan bubur Harlem ini, saya bereksperimen sendiri dengan bahan-bahan tersebut selama tiga hari berturut-turut. Percubaan ketiga akhirnya membuahkan hasil dan ia kini mampu dinikmati bukan sahaja dalam kalangan warga Myanmar yang menetap di Malaysia, malah juga orang tempatan,” ujarnya.
Jelas Hashim lagi, idea untuk menjual bubur Harlem mula timbul selepas melihatkan peningkatan bilangan masyarakat Islam Myanmar di Kuala Lumpur.
Secara tidak langsung, penghasilan bubur yang dijual ini bukan sahaja dapat mengubat kerinduan masyarakat Myanmar terhadap kampung halaman, malah juga membantu menampung kos pembiayaan madrasah tersebut.
Sepanjang bulan Ramadan, penghuni Madrasah Hashimiah akan memulakan aktiviti memasak bubur Harlem seawal pukul 10 pagi, sebaik sesi pembelajaran harian pada waktu pagi tamat.
Tradisi Ramadan
KACANG merah, kacang dal arhar, dal mung, bijirin faro dan kacang kuda kering merupakan ramuan utama bubur Harlem.

Menurut salah seorang penghuni madrasah tersebut, Nasirudin Samsudin, 16, dia begitu teruja untuk melibatkan diri dalam aktiviti memasak bubur Harlem setiap kali tiba bulan Ramadan.
Biarpun sudah lima tahun menetap di madrasah tersebut, namun Nasirudin mengakui tidak pernah melepaskan peluang untuk turut serta sepanjang proses memasak bubur tersebut.
“Selalunya setiap seorang di sini akan diberi tugasan khas. Ada yang ditugaskan untuk membeli barangan mentah, menyediakan bahan-bahan masakan, pembungkusan dan ada yang ditugaskan untuk menjual bubur di bawah madrasah.
“Sepanjang lima tahun menjadi penghuni madrasah ini, saya ditugaskan untuk membeli barangan mentah di Pasar Borong Selayang. Lazimnya, aktiviti ini akan dilakukan seawal 10 pagi iaitu sebaik sesi pembelajaran harian di kelas tamat.
“Saya berasa sangat teruja setiap kali menjejakkan kaki di pasar. Mana tidaknya, selain menggalas tanggungjawab yang diamanahkan oleh guru, saya juga boleh mempelajari selok-belok bidang masakan terutamanya bubur Harlem yang merupakan bubur tradisi masyarakat kami sepanjang bulan Ramadan,” jelasnya yang merupakan antara 3,000 Rohingya di Selayang, Kuala Lumpur.
Tambah Nasirudin, sepanjang tempoh lima tahun ditugaskan mencari barangan mentah membolehkan dia menghafal setiap ramuan dan sukatan yang diperlukan untuk memasak bubur itu.
Lima jam
SALAH seorang daripada pelajar madrasah mengangkat bubur untuk dijual.




Biarpun keseluruhan aktiviti memasak bubur Harlem tampak mudah, namun jelas Hashim, setiap bubur yang dimasak memerlukan sekurang-kurangnya lima jam sebelum ia sedia untuk dihidang.
Lebih memeranjatkan, sepanjang tempoh lima jam tersebut, bubur itu perlu dikacau sebati pada setiap saat.
Justeru, mereka terpaksa menggunakan tiga orang tenaga kerja yang rata-ratanya merupakan guru-guru di madrasah tersebut bagi membolehkan mereka bergilir-gilir mengacau adunan bubur yang sedang dimasak.
Ujar Hashim, kaedah tersebut dilakukan bagi mengelakkan bubur hangit atau dan tidak mempunyai keseimbangan rasa.
“Setiap hari, kami akan menggunakan 10 kilogram (kg) beras untuk dijadikan bubur.
“Selalunya, proses penyediaan bahan bermula sehari sebelum bubur di masak lagi. Ini kerana, salah satu kacang yang digunakan, iaitu kacang kuda kering perlu direndam semalaman bersama serbuk natrium karbonat supaya tekstur kacangnya mudah dimasak dan lembut apabila dimakan,” jelasnya.
Walaupun aktiviti memasak bubur bermula seawal pagi, namun kesemua bubur tersebut hanya selesai dimasak pada pukul 3 petang.
Ujar Hashim bagi 10kg beras yang digunakan, mereka dapat menghasilkan lebih 150 bungkus plastik bubur.
Kampung halaman
BUBUR Harlem menjadi juadah utama anak-anak di madrasah untuk berbuka.
Berbeza pula bagi Osman Hamid, 13, yang ditugaskan menjual kesemua bubur yang dihasilkan pada setiap petang.
Menurut Osman, biarpun bungkusan bubur tersebut dilihat banyak, namun dia hanya mengambil masa kurang daripada tiga jam untuk menjual kesemua bubur yang berharga RM3 sebungkus itu.
“Selalunya saya akan mula menjual bubur pada pukul 3.30 petang di bawah madrasah dan surau Al-Mukminin berdekatan pasar borong Selayang.
“Kebanyakan pelanggan yang datang merupakan warga Myanmar manakala warga tempatan yang datang membeli bubur Harlem ini hanyalah 10 peratus sahaja,” jelasnya.
Katanya, biarpun terpaksa berhadapan dengan cuaca panas, namun dia tetap teruja setiap kali melihat bungkusan bubur terjual satu demi satu.
“Seronok rasanya apabila orang datang membeli sehingga ada yang menjadi pelanggan tetap kami.
“Rata-rata mereka mendakwa, bubur ini mempunyai rasa yang unik dan kaya dengan ramuan dan mampu menggamit mereka terhadap kampung halaman,” jelasnya.


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3fjWnAu8D 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan