24 Julai 2015

Artikel Menarik Julai (2015) - Hiba lihat kanak-kanak lain


Anak yatim yang tidak mempunyai keluarga akan menyambut raya di pusat jagaan ini.


TATKALA kaki melangkah masuk ke teratak tiga bilik pusat jagaan anak-anak yatim Baitul Hidayah, Puchong, Selangor itu, kehangatan sambutan Hari Raya Aidilfitri jelas terasa apabila disambut oleh wajah-wajah gembira para penghuni yang siap berbaju Melayu dan kurung.
Begitupun, raut wajah ceria dan manis itu seakan-akan cuba menutup rasa sedih di dalam hati apabila mengenangkan nasib menyambut hari raya tanpa orang tersayang di sisi seperti kanak-kanak lain.
Bagaimanapun, anak-anak yatim yang berusia dalam lingkungan empat hingga 17 tahun itu seakan-akan reda dengan suratan takdir dan tetap cuba menghidupkan kemeriahan Aidilfitri.
Seorang anak yatim, Faizal Faino, 13, berkata, kesyahduan menyambut Aidilfitri cukup dirasai kerana kali ini merupakan tahun kelapan dia bersama enam lagi adik-beradiknya beraya tanpa bapa di sisi.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, pada pagi raya, kami adik-beradik dan emak pasti teringatkan arwah ayah kerana dia yang biasanya sibuk menyedia persiapan raya kami sekeluarga.
“Ketiadaannya amat dirasai walaupun dia telah pergi menghadap Allah hampir sedekad yang lalu,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berkata, dia bersama ahli keluarga tidak melepaskan peluang untuk menziarahi pusara bapa yang meninggal dunia akibat sakit jantung itu bagi mengubat kerinduan pada setiap tahun.
Katanya, air mata pasti mengalir laju saat membacakan surah al-Fatihah di hadapan kubur kerana tidak dapat menahan kesedihan dan mengenangkan detik beraya bersama-sama.
“Ibu kata, saya mesti tabah. Sebab itu, saya kuatkan semangat walaupun melihat rakan-rakan lain menyambut hari raya dengan ayah mereka.
“Sekurang-kurangnya, saya pernah melihat dan meraikan hari raya bersamanya sebanyak lima kali,” ujarnya dalam nada sebak dan suara yang perlahan.
Pelajar tahfiz di Kompleks Baitul Hidayah itu berkata, ibunya yang menetap di Sunway, Selangor merupakan insan paling sibuk menyiapkan pakaian sebelum menikmati juadah bersama-sama dan menziarahi saudara-mara pada pagi raya.
Jelas Faizal, dia sepatutnya bersyukur kerana masih mempunyai ibu, kakak dan abang berbanding segelintir rakan-rakannya yang lain.
“Saya begitu kasihan kepada ibu yang terpaksa membesarkan kami adik-beradik secara berseorangan.

Keprihatinan orang ramai untuk membantu anak-anak yatim dapat mengurangkan kesedihan mereka menjelang sambutan hari raya. – Gambar hiasan.


“Namun, saya tetap bersyukur kerana ada penghuni di sini yang yatim piatu dan tidak mempunyai adik-beradik lain,” terang remaja yang meminati juadah lemang itu.
Keletah dan tingkah laku kanak-kanak di pusat jagaan Baitul Hidayah itu seolah-olah tidak menggambarkan kesedihan beraya tanpa insan tersayang.
Hal ini kerana, sebahagian besar daripada mereka masih belum mengerti makna menyambut hari lebaran.
Bagi Arina Abdullah, 13, hari raya seolah-olah tiada memberi makna baginya kerana tidak dapat menyambut hari raya bersama insan tersayang.
Arina yang menjadi penghuni rumah tersebut sejak berusia lima tahun berkata, saban tahun, dia memilih untuk pulang beraya ke kampung halaman warden-wardennya.
“Saya sebatang kara di dunia ini, tidak ada ibu dan bapa. Jadi, setiap kali tibanya hari raya, saya pasti sedih mengenangkan nasib diri. Namun, mujur saya masih ada kawan-kawan dan warden.
“Saya selalunya akan pulang beraya bersama warden di kampung. Walaupun mereka tidak mempunyai pertalian darah dengan saya namun, layanan yang diberikan sangat baik dan mesra,” ujarnya.
Ujar anak tunggal itu, walaupun berpeluang menyelami kemeriahan hari raya, jauh di sudut hatinya tersimpan perasaan sedih setiap kali melihat orang lain beraya bersama ahli keluarga masing-masing.
Bagaimanapun, dia reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepadanya dan keprihatinan masyarakat sekeliling menjadikan hari lebaran disambut lebih bermakna.
“Siapa tidak mahu menyambut hari raya bersama keluarga di sisi tetapi sudah surat takdir, saya kena terima.
“Lagipun, keprihatinan masyarakat terhadap golongan anak yatim seperti pemberian kelengkapan dan duit raya memberi sedikit keceriaan kepada saya,” ujar kanak-kanak berkulit putih mulus itu.
Penubuhan
Pusat Jagaan Baitul Hidayah yang didaftarkan di bawah pendaftar pertubuhan sejak tahun 2010 itu kini dihuni 38 orang yang terdiri daripada anak yatim, anak tidak sah taraf, orang kelainan upaya, asnaf dan yang memerlukan pelindungan, asuhan serta kasih sayang.
Pusat jagaan itu tercetus hasil keprihatinan enam keluarga yang bersepakat menubuhkan sebuah pusat jagaan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.
Warden Pusat Jagaan Baitul Hidayah, Noraini Abd. Aziz, 46, berkata, tujuan penubuhan pusat jagaan tersebut adalah untuk membantu kerajaan menjaga kanak-kanak kurang bernasib baik.
“Rata-rata kanak-kanak ini dihantar oleh penjaga mereka yang kebanyakan tinggal di sekitar Lembah Klang.
“Mereka yang tiada penjaga ini akan tinggal di sini dan memulakan kehidupan baharu bersama kami,” katanya sambil memaklumkan, pusat jagaan tersebut diuruskan oleh lapan orang kakitangan tetap.
Aktiviti
Ujar Noraini, kanak-kanak yang tinggal di pusat jagaan tersebut akan diasuh daripada pelbagai aspek seperti pembelajaran, keagamaan, kebudayaan, ekonomi dan kendiri.
Menerusi aktiviti tersebut, pihaknya berharap dapat melahirkan insan yang mempunyai jati diri kuat dan mahir menyesuaikan diri dengan kehidupan yang penuh mencabar pada masa akan datang.
Jelas ibu kepada enam orang cahaya mata itu, ketibaan Syawal pada tahun ini tidak banyak bezanya seperti sebelum ini.
“Majoriti penghuni pusat jagaan ini akan menunggu kedatangan penjaga masing-masing untuk di bawa pulang beraya ke kampung bersama-sama.
“Penghuni yang pulang ke kampung itu selalunya terdiri daripada mereka yang masih mempunyai ahli keluarga terdekat,” katanya.
Terangnya lagi, bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai penjaga, mereka akan menyambut raya di pusat jagaan tersebut secara beramai-ramai.
Sekiranya terdapat warden yang pulang ke kampung, kanak-kanak ini turut dibawa bersama bagi mengurangkan kesedihan mereka.
“Kadang-kadang, saya lihat mereka menunggu di hadapan pintu sambil mengharapkan ada saudara datang mengambil untuk beraya seperti kawan-kawan lain.
“Di sini terdapat lapan orang penghuni yang hidup sebatang kara. Jadi, sekiranya kami pulang beraya di kampung, mereka akan dibawa bersama,” kata Noraini yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Pengalaman
Berkongsi pengalaman, beliau pernah mendengar salah seorang kanak-kanak yang pulang beraya ke kampung halamannya bercerita kepada rakan-rakan lain keseronokan beraya di kampung.
Namun, beliau mengerti yang kanak-kanak itu tidak mempunyai keluarga dan hidup sebatang kara di atas muka bumi ini.
“Kadang-kadang saya sedih bila mengenangkan nasib kanak-kanak ini berbanding kita semua yang mempunyai keluarga.
“Sebagai penjaga, kami sedaya upaya cuba memberikan yang terbaik kepada mereka agar perasaan hiba tidak terlalu dirasai,” katanya dalam nada hiba.
Sementara itu, Noraini mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk wang ringgit atau barang keperluan bagi kegunaan kanak-kanak di pusat jagaan tersebut.


Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0720&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz3gn9bkoSg 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan