22 Jun 2015

Artikel Menarik Jun (2015) - Rumah baharu mangsa banjir



Che Mamat di hadapan rumah baharunya sumbangan RONIN.


MATANYA redup memandang ke arah rumah batu yang tersergam di hadapan mata. Perasaannya lega kerana penantian selama lebih empat bulan berakhir setelah rumah kekal yang dinanti siap sepenuhnya.
Sepanjang tempoh itu, mereka hidup bagai dalam pelarian dengan hanya berlindung di dalam khemah yang tidak selesa setelah rumah yang didiami musnah akibat banjir terburuk yang melanda Kelantan terutama di kawasan Manek Urai, Disember lalu.
Kini rumah setinggi 2.4 meter itu menjadi syurga baharu Satikah Hamzah, 26, bersama suami, Mohd. Faizal Abdullah, 31, serta tiga anaknya.
Wajah Nur Aliya, enam tahun anak kedua Satikah, ceria bermain di bawah rumah baharu mereka.
Sebelum ini, jalan kecil yang menghubungkan kampungnya, Kampung Mesek ke Manek Urai Lama menjadi tempat dia dan kakaknya, Fatmawati, sembilan tahun bermain selepas banjir.
Pencawang telekomunikasi yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak rumah asal menjadi tempat mereka berlindung daripada panas dan hujan.
Di situlah mereka mendirikan khemah setelah pulang dari pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai pada 1 Januari lalu.
Pada tengah hari, Satikah dan anak-anak terpaksa keluar mencari tempat yang redup kerana tidak tahan berpanas di dalam khemah terutama anak bongsunya, Mohd. Al Amin yang baru berusia satu tahun tiga bulan.
Berjaga
Apabila hujan, mereka terpaksa mengemas segala pakaian terutama baju sekolah Fatmawati kerana air akan masuk ke dalam khemah.
Pada waktu malam pula Satikah dan suami terpaksa berjaga bergilir-gilir kerana bimbang khemah mereka didatangi binatang berbahaya.
“Alhamdulillah...tak mampu nak cakap apa-apa, tak terkata bila ada rumah baharu untuk kami sekeluarga berlindung. Tak perlu lagi kami berpanas dan berhujan dalam khemah,” ujarnya yang reda dengan apa yang berlaku.
Dia antara 14 penerima rumah kekal bernilai RM50,000 sumbangan sekumpulan rakan daripada pelbagai profesion di bawah nama Rebuild & Organise Neighbourhoods in Need (RONIN) baru-baru ini.
Perasaan yang sama turut dikongsi Che Mamat Che Daud, 62, yang rumahnya rosak hampir 100 peratus. Terletak hanya kira-kira 50 meter dari Sungai Lebir, ia hampir dibawa arus ketika banjir berlaku.
Bapa tunggal yang hidup serba kekurangan itu berkata, air naik mendadak dan dia hanya sempat menyelamatkan ibu yang uzur serta seorang anak perempuan Orang Kelainan Upaya yang tinggal bersamanya.
“Air naik cepat sungguh, tak sempat buat apa-apa waktu tu... hanya sempat selamatkan nyawa saja yang lain semua habis,” katanya sambil menunjukkan ketinggian paras air kira-kira 12 meter yang boleh dilihat kesannya pada pokok-pokok kelapa di sekeliling rumahnya.
Hanya mencari rezeki dengan menoreh getah, Che Mamat berkata, untuk membina semula rumah baharu memang di luar kemampuannya.
“Apabila RONIN datang memberi bantuan makanan dan kemudian membuat bancian di kampung dan tengok keadaan rumah, mereka menawarkan rumah kekal kepada saya.
“Rasa macam bermimpi pula, saya bersyukur sangat-sangat...kalau tidak mungkin saya akan terus tinggal di bangsal sampai bila-bila,” katanya yang mendiami rumah baharunya pada Ramadan ini.

Keadaan bangsal yang menjadi tempat berteduh keluarga Che Mamat di Kampung Mesek, Manek Urai.


RONIN yang hanya ditubuhkan sebaik projek pascabanjir di Kelantan pada asalnya adalah individu prihatin yang bergerak sendirian bersama rakan-rakan terdekat yang diketuai oleh Razi Pahlavi Abdul Aziz.
Pengalaman luas Razi dalam bidang kesukarelawan di dalam dan luar negara menarik ramai rakannya terutama di Maktab Diraja Sungai Besi untuk terlibat sama dalam misi kemanusiaan di Kelantan.
Selepas melihat kerosakan teruk di Manek Urai Lama terutama di Kampung Mesek, Razi sebagai pengurus projek mula merangka bantuan pascabanjir.
Ia bagi membantu penduduk kampung yang kehilangan tempat tinggal melalui projek Pemulihan dan Pembinaan Semula Rumah Pascabanjir, Kampung Mesek yang turut mendapat kerjasama Yayasan Kurang Upaya Kelantan (Yokuk).
Satu kumpulan yang besar diwujudkan melibatkan 12 jawatankkuasa dalam kalangan mereka yang profesional termasuk doktor, arkitek, kontraktor dan jurutera.
Menariknya, daripada tugasan awal dengan menghasilkan reka bentuk rumah sehingga siap sepenuhnya semuanya dilakukan sendiri oleh jawatankuasa Ronin.
Pengurus projek, Zulkhibri Mohamed berkata. kepelbagaian profesian dalam kalangan anggota RONIN telah memudahkan projek pembinaan semula rumah mangsa banjir itu.
Daripada data yang diperoleh, 14 daripada 30 keluarga di kampung itu mengalami kerosakan rumah hampir 100 peratus ketika banjir pada 22 hingga 27 Disember itu.
Dana
Ujarnya daripada pemerhatian yang dibuat, rumah yang teruk terjejas adalah rumah yang dibina daripada papan manakala mereka yang tinggal di rumah batu kurang terjejas.
“Dari kesimpulan itu, kami memanggil rakan yang boleh reka bentuk rumah yang dapat disesuaikan dengan risiko banjir.
“Alhamdulillah dalam masa yang singkat, kami berjaya mengumpulkan dana daripada individu dan badan-badan korporat hingga mencecah RM1 juta,” katanya.
Pada fasa pertama ini, empat buah rumah telah diserahkan diikuti fasa kedua tujuh buah rumah yang dijangka siap pada Ogos dan fasa akhir, tiga buah rumah (penghujung tahun ini).
Setiap rumah berkeluasan 60 meter persegi itu mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur, satu bilik air dan dilengkapi dua tangga di pintu masuk dan pintu dapur. Rumah itu juga mempunyai anjung di bahagian depan rumah bagi mengekalkan konsep seni bina tradisional rumah kampung.
Direka sendiri oleh ahli jawatankuasa RONIN, Mohd. Roziat Ali, ia mengambil masa 75 hari untuk menyiapkan sebuah rumah.Stukturnya dibina dengan konkrit bertetulang bagi tahan arus banjir yang kuat dengan ketinggian rumah yang cukup untuk menghadapi musim banjir yang dihadapi setiap tahun di sini. – Bernama


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0622&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3dkVIkbD5 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan