22 Jun 2015

Artikel Menarik Jun (2015) - Menyelam bebas uji pernafasan




BAGI Syafidatul Azua Shafii, 30, melakukan aktiviti menyelam skuba merupakan satu terapi terbaik untuknya. Dia yang mula menceburi aktiviti tersebut sejak enam tahun lalu sering menjadikan Pulau Tioman, Pahang sebagai destinasi pilihan untuk melepaskan gian.
Selain pulau-pulau di negara ini, anak jati Muar, Johor itu turut berkunjung ke Thailand dan Indonesia untuk melakukan aktiviti kegemarannya itu.
Namun, sejak mengenali Maslinda Abdul Talib, 34, kira-kira dua tahun lalu, Syafidatul mempunyai hobi baharu iaitu menyelam bebas. Dia kini lebih aktif menyelam bebas yang juga merupakan salah satu cabang dalam aktiviti menyelam skuba.
Cerita Syafidatul, ketika dia dan Maslinda mula-mula menceburi aktiviti tersebut, tiada jurulatih atau pakar yang boleh mengajar teknik-teknik yang betul untuk menyelam bebas di Malaysia.
Dek kerana minat yang mendalam terhadap aktiviti di dasar laut, Syafidatul sanggup ke Pulau Ko Tao, Thailand untuk mendalami aspek teknikal aktiviti itu dengan lebih serius.
“Sepanjang berada di Thailand, saya dibimbing oleh dua orang jurulatih dari Sepanyol dan Brazil iaitu Pepe Arcos, 39, serta Flavia Eberhard, 39. Sebelum menyelam bebas di laut, latihan banyak dijalankan di kolam renang. Ia merupakan asas latihan untuk menyelam dengan teknik yang betul,” ujarnya yang memegang lesen menyelam bebas peringkat tiga dari Sekolah Skuba Antarabangsa (SSI), Thailand.
Aktiviti menyelam bebas jauh berbeza dengan menyelam skuba terutama daripada aspek kelengkapan yang digunakan.
Bagi menyelam bebas, penyelam tidak menggunakan tangki skuba untuk ke dasar laut.
Setiap penyelam memerlukan ketahanan badan yang tinggi terutama keupayaan menahan nafas sewaktu berada dalam air.
Menyelam bebas juga terbahagi kepada lapan kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan dunia. Lima kategori di laut manakala tiga lagi di dalam kolam renang.
Kaki itik
Penyelam juga boleh menggunakan sepasang kaki itik atau kaki itik satu (monofin) untuk menyelam bergantung kepada kategori yang disertai.
Selain penyelam bebas, Syafidatul juga merupakan salah seorang daripada tiga instruktur bertauliah aktiviti sukan air tersebut di negara ini.
Syafidatul merupakan pemegang dua rekod kebangsaan kategori Free Immersion dan Constant Weight dalam pertandingan One Breath Jamboree di Bali, Indonesia dua tahun lalu.

Syafidatul pernah menyertai beberapa pertandingan menyelam bebas peringkat antarabangsa.


“Pada tahun 2014, saya dan rakan-rakan komuniti Divher ke Pulau Mabul, Semporna, Sabah untuk misi Just One Breath Mabul 2014. Ia merupakan sebuah misi percubaan untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam beberapa kategori menyelam bebas.
“Misi saya di Mabul untuk mencipta rekod menyelam bebas kategori Constant Weight dengan menggunakan monofin sedalam 57 meter yang merupakan simbolik 57 tahun kemerdekaan,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Sukan Petaling Jaya baru-baru ini.
Bagaimanapun, Syafidatul gagal mencipta rekod tersebut dalam misi yang dianjurkan oleh Divher itu. Namun, dia berjaya memecahkan rekod peribadi dalam kategori menyelam sedalam 40 meter kemudian naik ke permukaan air selama seminit 44 saat. Ia merupakan rekod terbaiknya berbanding yang dilakukan di Bali iaitu 28 meter.
Misi tersebut telah diadili oleh juri bertauliah dari pertubuhan dunia sukan menyelam bebas, Association Internationale pour le Developpement de l’ApnEe (AIDA International).
Mendekati ikan
Jelasnya, menyelam bebas bukan sekadar untuk mencipta rekod semata-mata. Bagi Syafidatul, dia dapat mendekati ikan-ikan di dasar laut ketika melakukan aktiviti menyelam bebas.
“Sekiranya menyelam skuba, kebanyakan ikan-ikan akan bertempiaran lari apabila penyelam mendekati mereka akibat buih yang terhasil daripada tangki skuba. Tetapi apabila menyelam bebas, ikan-ikan dan haiwan di laut lain tidak menyedari kehadiran kita.
“Walaupun dalam tempoh dua minit berada di dasar laut, ia sudah cukup untuk saya menyaksikan keindahan ciptaan Allah SWT secara semula jadi. Selepas tempoh itu, saya kembali ke permukaan air untuk mendapatkan oksigen secukupnya dan kembali turun ke dasar laut,” ujarnya.
Sebelum memulakan pertandingan atau sesi latihan, tali panjang akan dilabuhkan ke dalam laut. Di hujung tali itu terdapat bendera yang menunjukkan paras kedalaman. Penyelam perlu mengambil bendera sebagai bukti bahawa telah berjaya mencapai kedalaman yang telah ditetapkan.
Syarat penting bagi seseorang penyelam untuk melakukan aktiviti tersebut ialah mereka seharusnya mempunyai teman. Ia merupakan langkah keselamatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan sewaktu berada di dasar laut.
Walaupun nampak mudah, menyelam bebas merupakan sukan yang berisiko. Tanpa latihan intensif dan teknik pernafasan yang betul, tidak mustahil seseorang penyelam berdepan dengan maut.
Paru-paru
Mengikut teori para saintis pada tahun 1980-an, kajian mendapati paru-paru seseorang tidak akan berfungsi sekiranya menyelam melebihi kedalaman 50 meter.
Namun, penyelam Perancis, Jacques Mayol berjaya membuktikan kajian tersebut tidak sahih selepas berjaya menyelam bebas sedalam 80 meter dengan selamat.
Herbert Nitsch merupakan penyelam bebas dari Austria memegang rekod dunia AIDA International dengan menyelam sedalam 244 meter di Santorini, Greece tiga tahun lalu. Ekoran kejayaan itu, Nitsch digelar Deepest Man On Earth.
Di samping itu, rekod menahan nafas dalam air paling lama mengikut Guinness World Record dimiliki oleh Stig Severinse yang berasal dari Denmark dan dia mampu menahan nafas selama 22 minit pada 3 Mei 2012 di Sekolah Menyelam London, United Kingdom.
Beliau berjaya mencatat rekod tersebut dengan melakukan teknik hyperventilate atau bernafas secara laju di darat selama 19 minit 30 saat sebelum menyelam.

KELEBIHAN menyelam bebas ialah penyelam berpeluang mendekati hidupan di dasar laut.


Sementara itu, Eberhard memberitahu, seseorang itu tidak semestinya memerlukan bentuk fizikal tegap untuk menyertai aktiviti tersebut sebaliknya individu yang mempunyai tubuh kecil sepertinya juga mampu melakukan sukan berkenaan.
Jelas penyelam yang mula mengambil kursus menyelam bebas secara rasmi di United Kingdom pada tahun 2007, rasa percaya pada diri sendiri ketika berada dalam air adalah perkara paling penting yang perlu ditekankan kepada individu yang ingin mencuba sukan tersebut selain mempelajari teknik pernafasan dengan betul.
“Apabila seseorang itu menyelam ke dalam air, secara automatik mereka akan menahan nafas dan mampu bertahan untuk satu tempoh tertentu. Tindak balas tersebut dinamakan mammalian diving reflex yang dialami oleh semua mamalia termasuk manusia dan membuatkan badan kita mampu bertahan dalam keadaan tanpa oksigen. Itu adalah perkara pertama yang akan kita ajar kepada pelajar bagi menguatkan kepercayaan dalam diri.
“Setiap penyelam bebas akan sentiasa meningkatkan kemahiran menahan nafas dari semasa ke semasa. Peringkat pertama, seseorang itu perlu belajar menahan nafas di darat, kemudian di dalam kolam renang dan selepas itu di laut.
“Selepas berjaya melepasi ketiga-tiga tahap tersebut, ini bermakna mereka sudah bersedia untuk lakukan apa sahaja. Semuanya bergantung kepada latihan dan kesungguhan,” jelasnya.
Sudah terbiasa dengan dunia lautan sejak kecil, Eberhard menyifatkan menyelam bebas adalah cara semula jadi untuk berada di dalam air.
Orang ramai yang ingin merasai pengalaman menyelam bebas boleh mengikuti kelas khusus.
Terdapat empat jenis kelas yang perlu dilalui iaitu tahap asas atau pengenalan yang dijalankan dalam kolam renang sahaja, tahap satu untuk kedalaman sehingga 20 meter, tahap dua (30 meter) dan tahap tiga (40 meter).
Seorang lagi penyelam bebas yang aktif sejak tujuh tahun lalu, Teoh Kim Seng, 33, berkongsi pengalaman berkunjung ke banyak negara sepanjang berkecimpung dalam arena sukan itu.
“Pengalaman menyelam bebas di Pulau Kukuban, Sabah merupakan antara pengalaman manis. Saya berpeluang menyelam bersama obor-obor dan haiwan itu langsung tidak menyerang saya. Kelebihan menyelam bebas ialah penyelam dapat mendekati hidupan semula jadi di dasar laut,” ujarnya.
Jelas Kim Seng yang juga merupakan pengasas Persatuan Selam Bebas yang berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan, My Apnea Diver, aktiviti tersebut semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat sukan air negara.
Sebelum ini, penyelam bebas Malaysia hanya bergantung kepada persatuan-persatuan dari luar negara untuk mengadakan aktiviti.


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3dkRdZS29 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan