10 Jun 2015

Artikel Menarik Jun (2015) - Perabot daripada dahan, ranting pokok


Pokok willow mengambil masa antara empat hingga lima tahun untuk dibentuk menjadi sebuah kerusi.

Terdapat satu pemandangan yang dianggap sangat pelik di sebuah perkampungan terpencil di England.
Deretan pokok yang ditanam dibentuk bagi dijadikan kerusi menerusi penjagaan teliti dalam tempoh jangka masa yang panjang.
Kira-kira 150 buah kerusi malas, 100 lampu meja dan pelbagai barangan termasuk bingkai cermin dihasilkan secara semula jadi menggunakan pokok menerusi satu proses yang agak pelik dalam industri rekaan perabot.
Hasil cetusan idea pemilik syarikat Full Grown iaitu Gavin Munro, 40, berjaya menghasilkan prototaip awal perabot padu dan tanpa sambungan.
“Ia lebih kurang sama seperti ladang anggur. Petani perlu menunggu beberapa tahun untuk membentuk dan melihat pokok itu membesar,” katanya.
Munro memberitahu, kaedah yang digunakan untuk menanam pokok-pokok tersebut agak sukar dan ia tidak boleh ditinggalkan untuk membesar dengan sendiri.
“Pokok-pokok ini tidak membesar dan menjadi bentuk kerusi dengan sendiri. Dalam masa yang sama, kami tidak boleh membentuknya sesuka hati,” katanya.
Ladang seluas satu hektar yang disewa itu terletak di sebuah kawasan padang rumput menghijau berhampiran pekan Wirksworth dekat Derbyshire, tengah England.
Munro menyemai dan melentur dengan penuh cermat pokok yang ditanam menggunakan kaedah pemangkasan serta percantuman ke dalam bentuk tertentu bagi tempoh yang panjang.
Pokok willow mengambil masa antara empat hingga lima tahun untuk dibentuk menjadi sebuah kerusi manakala pokok oak pula boleh mencapai sehingga sembilan tahun.
Selain itu, Munro turut menggunakan pokok ash, hazel, crab apple dan sycamore.
POKOK yang sedang membesar akan dilentur menjadi perabot dalam tempoh masa yang lama.

Kelainan
“Kebanyakan perkara yang kami lakukan ini telah digunakan sejak zaman batu lagi. Ketika manusia hidup di dalam gua, mereka menebang dan memotong pokok dalam pelbagai saiz.
“Ini adalah lanjutan daripada irama semula jadi. Semua yang kami lakukan ini adalah berasaskan kepada perkara tersebut tetapi memberikan sedikit kelainan. Sebelum ini, saya melakukannya dengan kasar dan ia tidak membuahkan hasil,” katanya.
Pada awal eksperimennya, Munro menggunakan racun rumpai yang menyebabkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Dia kemudiannya bertukar kepada kaedah organik seperti kulat debu pada batang pokok dihilangkan menggunakan susu manakala ulat beluncas diambil dengan tangan.
“Pada tempat-tempat tertentu di bahagian pokok, terdapat ranting yang sesuai untuk dibentuk dan kami perlu mencarinya.
“Setiap 100 batang pokok, terdapat 1,000 tunas dan ranting yang diperlukan serta 10,000 yang tidak dimahukan. Apa yang diinginkan tidak semestinya kelihatan jelas,” kata Munro.
Sebelum memulakan projek tersebut, dia sering memikirkan perkara yang boleh dilakukan dengan pokok.
Ibunya pernah menanam pokok bonsai dan pokok tersebut membesar seperti sebuah takhta.
“Sejak daripada itu, saya terfikir mengenai cantuman dahan dan bagaimana sesuatu benda itu saling bercantum,” katanya.
Munro merupakan graduan dalam bidang reka bentuk perabot di Leeds, utara England dan bekerja sebagai membuat arca daripada kayu hanyut di Carlifornia, Amerika Syarikat (AS).
“Saya pernah mencantumkan bahagian kayu hanyut yang besar dan ia memberikan satu kepuasan. Jika kami menanam sesuatu dan ia membesar untuk menjadi bentuk yang diinginkan, maka ia sangat berbaloi.
“Pada tahun 2005, saya kembali ke United Kingdom dan mendapat peluang untuk menanam beberapa batang pokok,” ujarnya.
Hampir sedekad berlalu, dia hanya perlu menunggu selama dua tahun untuk menuai hasil yang pertama.
KAEDAH untuk menghasilkan perabot ini mengambil masa lebih sedekad.




Kerusi pertama akan dituai pada akhir musim sejuk 2016. Selepas diberikan sedikit kemasan untuk kelihatan cantik, ia akan dijual pada tahun berikutnya.
“Saya tidak mampu melihat hasil semaian yang dilakukan hari ini dalam jangka masa kurang daripada lima tahun.
“Ia adalah latihan sebenar dalam menguji kesabaran saya untuk terus melakukannya. Saya percaya, ia akan menjadi lebih mudah di pasaran gelap,” ujarnya.
Dia bernasib baik kerana terdapat pembeli yang sudah menempah perabotnya sementara menunggu tanaman tersebut menjadi matang.
Prajualan
Sebuah kerusi akan dijual dengan harga £2,500 (RM14,105) manakala lampu meja pada harga £900 (RM5,078) dan bingkai cermin berbentuk segi enam sebanyak £450 (RM2,539).
Semasa sesi prajualan, kebanyakan pelanggan terdiri daripada warga Perancis dan AS tetapi dia turut menerima tempahan dari London, Hong Kong, Jerman serta Sepanyol.
Menurut Munro, sepanjang lapan tahun pertama, berita mengenai projek tersebut tidak pernah tersebar kepada masyarakat luar kecuali pengembara asing yang sesat melalui kawasan berhampiran.
“Di bandar ini, orang yang menyukai usaha seperti ini adalah sangat sedikit dan sesetengah penduduk mendakwa ini adalah kerja gila serta tidak masuk akal,” jelasnya. – AFP


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz3ccXhasKc 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan