10 Jun 2015

Artikel Menarik Jun (2015) - Penternak Raja Sungai



SEORANG pemuda berbaju celoreng tentera dan berseluar pendek perlahan-lahan turun ke dalam kolam simen seluas kira-kira 27 meter persegi.
Dengan berhati-hati, pemuda itu meredah air kolam separas buku lali sambil di tangannya memegang sauk, manakala matanya liar memerhati gelagat puluhan ikan dengan sisik yang berkilat berenang cuba melarikan diri.
Pemuda itu kemudian perlahan-lahan menggunakan sauk yang dipegang menangguk ke dasar kolam hingga alat seperti tapis gergasi itu dipenuhi beberapa ekor ikan bersaiz sederhana yang menggelupur di dalam jaring.
Jelas terpancar senyuman kepuasan pada wajah pemuda itu, Ahmad Faris Mohd. Hanafi, 21, melihat hasil ikan kelah yang dipelihara bagi tujuan komersial membesar meskipun membela ikan jenis itu bukan suatu tugas mudah.
Ikan kelah atau mahseer adalah ikan kap dalam keluarga cyprinidae yang memiliki struktur sisik besar dan turut dikenali sebagi Raja Sungai.
Mudah ditemui di sungai atau tasik dan membiak di kawasan berbatu-batan, tidak hairanlah ikan kelah menjadi buruan kaki pancing kerana mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.
Selain terkenal kerana keenakan rasa isinya yang manis dan halus, ikan kelah turut memberi cabaran kepada pemancing kerana sifatnya yang agresif dan sukar ditawan jika terkena mata joran.
Bermula daripada ikan sungai yang mendiami kawasan pedalaman yang sukar dijejaki, kini spesies ini telah mula diternak secara komersial oleh sesetengah pengusaha terutamanya di Selangor, Pahang dan Kelantan.
Kebiasaannya, penternak ikan kelah sedia ada membina kolam tanah ataupun simen yang berdekatan dengan anak sungai bagi mendapat bekalan air yang sesuai dan boleh dipam terus dari sungai ke kolam mereka.
Berlainan pula dengan sebuah syarikat bumiputera dari Mersing, Johor yang berjaya menternak ikan kelah di dalam kolam simen yang bergantung kepada sumber air bumi yang digali.
Di bawah syarikat Far East Planet, Ahmad Faris yang mengusahakan ternakan ikan kelah bersama keluarganya telah membuktikan bahawa ikan jenis itu boleh diternak menggunakan pelbagai kaedah termasuk dipelihara di dalam kolam.
Pengurusan dan penjagaan
Melalui syarikat mereka, Ahmad Faris bersama bapa saudaranya, Said Ismail Abdul Karim, 49, bertanggunjawab mengurus dan menjaga kolam ternakan yang diusahakan di Kampung Air Merah, Mersing, Johor.
“Menternak ikan kelah kolam memerlukan penjagaan rapi dengan diberi makan setiap hari, merawat air dan mencuci kolam supaya sentiasa bersih dan tidak berkeladak,” tutur Ahmad Faris yang tidak pernah mendapatkan sebarang kursus dalam bidang penternakan ikan.
Menurut pemuda itu, ikan kelah akan diberi makan dua kali sehari iaitu sekitar pukul 8 pagi dan 5 petang mengikut kuantiti yang ditetapkan kerana makanan berlebihan boleh menyebabkan mutu air di dalam kolam terjejas.
AHMAD FARIS memegang seekor ikan kelah yang dipelihara di dalam kolam simen oleh syarikat miliknya, Far East Planet di Mersing, Johor.


Sementara itu, Said Ismail menjelaskan, kelah amat sensitif dan tidak boleh terkejut, malahan ikan air tawar itu mempunyai sifat kuat merajuk dan tidak mahu makan, sekali gus boleh menjejaskan tumbesarannya.
“Memberi makan dan menukar air kolam tidak boleh dilakukan sembarangan kerana ia merupakan ikan yang agresif dan mudah menjadi liar apabila dilakukan secara kasar.
“Air kolam yang tercemar dan tidak ditukar akan menyebabkan ikan kelah mudah diserang penyakit seperti jangkitan kulat dikenali sebagai tompok putih (white spot),” jelas Said Ismail sambil mengusap seekor ikan kelah di tangannya.
Saiz makanan juga, katanya, perlu mengikut usia ikan kerana penting bagi tumbesaran badan dan muncungnya menjadi cantik bagi menarik minat pembeli yang ingin menjadikan spesies itu sebagai ikan hiasan.
Harga ikan kelah yang dijual pula berbeza mengikut jenis dan saiz iaitu kelah biru paling mahal diikuti kelah merah dan kelah hijau yang dijual untuk tujuan dipelihara atau untuk dimakan.
Ikan kelah yang dipelihara di Far East Planet dijual pada harga pasaran semasa iaitu RM350 sekilogram dan menjadi tumpuan pembeli yang ingin merasai keenakan isinya termasuk pembeli yang mendapatkannya untuk dijadikan ikan hiasan di rumah.
Syarikat tersebut memiliki sembilan kolam simen pelbagai saiz dan sebuah kolam tanah berkeluasan 485 meter persegi dengan kos pembinaan lebih RM250,000.
Menurut Ismail lagi, pihaknya yakin dapat menghasilkan baka ikan kelah berkualiti tinggi untuk tujuan pemasaran.
Cabaran
Diajukan soalan mengenai cabaran mengusahakan kolam ikan kelah, Ahmad Faris memberitahu, aspek penjagaan kesihatan ikan yang dipelihara menjadi keutamaan pihaknya.
“Cabaran yang paling besar dan amat ditakuti oleh setiap penternak adalah apabila ikan diserang penyakit kerana ia boleh melibatkan kadar kematian yang tinggi dalam waktu singkat,” tutur anak ketiga daripada lima orang adik-beradik.
Dia yang juga Pengarah Far East Planet berkata, segala aspek berkaitan teknik-teknik pemeliharaan dan juga penjagaan ikan perlu dipelajari setiap penternak.
“Menternak ikan dalam kolam simen bukanlah mudah, apalagi melibatkan spesies kelah yang memerlukan air jernih dan sentiasa mengalir sama seperti di habitat asalnya,” ujarnya yang kini memiliki 10 buah kolam ternakan ikan kelah.
IKAN kelah mempunyai sifat yang agak agresif dan mudah merajuk jika tidak dijaga dengan sempurna.

Setelah tiga tahun melibatkan diri dalam bidang ternakan ikan kelah secara sepenuh masa sejak 2012, Ahmad Faris tidak terlepas daripada dugaan apabila sebanyak 2,000 ekor ikan kelah peliharaannya mati kerana diserang penyakit sekitar bulan Ogos 2013.
Menurut Ahmad Faris, pihaknya akan menuai hasil kelah pada hujung tahun ini.
“Ini memandangkan tempoh yang diambil bagi seekor ikan tersebut untuk matang ialah tiga hingga tiga tahun setengah,” ujarnya.
Cuaca yang tidak menentu apabila tiba musim tengkujuh di daerah Mersing memudahkan ikan diserang penyakit kerana taburan hujan yang tinggi dan sesekali cuaca kemarau menyebabkan suhu air naik secara mendadak.
Kaedah penjagaan kelah harus mengikut spesifikasi betul seperti cara memberi makan, merawat air dan menjaga kebersihan kolam bagi mengelakkan sebarang jangkitan kulat.
Jelasnya lagi, meskipun tanpa ilmu asas dan kursus berkaitan ternakan ikan, syarikatnya mampu bertahan dan semakin berkembang hasil bantuan serta tunjuk ajar daripada keluarga dan rakan-rakan.
Kajian berterusan
Sehingga kini, beberapa syarikat dari Johor dan Kuala Lumpur termasuk sebuah syarikat yang berpangkalan di China telah membuat tempahan untuk membeli ikan-ikan miliknya apabila ia mencapai tempoh matang atau pun mencecah berat satu kilogram.
Kejayaan Ahmad Faris itu hasil usaha berterusan membuat kajian tanpa jemu di kolamnya yang kini mempunyai lebih kurang 6,000 ekor kelah termasuk spesies kelah biru yang sukar diperoleh.
Baginya, dia berusaha menembusi pasaran di peringkat domestik dan antarabangsa kerana yakin permintaan ikan jenis itu semakin tinggi terutamanya dari Singapura, China dan Hong Kong.
Jelasnya lagi, setakat ini, pihaknya tidak berhasrat untuk menjalankan kerja-kerja pembiakan ikan dan hanya memberi fokus kepada penternakan bagi tujuan komersial memandangkan syarikat itu baru beroperasi sejak tiga tahun lalu.
Keenakan ikan kelah yang diternak di dalam kolam simen milik Far East Planet tidak dapat dinafikan lagi meskipun ia tidak sehebat rasa spesies itu yang hidup liar.
Seorang penduduk, Yanti Suhaila Abu Samah, 27, berkata, dia pernah merasai sendiri keenakan ikan kelah yang diternak di kolam Far East Planet dan ternyata rasanya sangat sedap bersesuaian dengan statusnya sebagi Raja Sungai meskipun diternak dalam kolam simen.


Rujukan :  http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3ccdsMSMj 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan